PERHIMPUNAN Agung Umno ke 60 baru sahaja selesai. Beberapa watak pelawak kelihatan muncul, sekadar mencukupkan kuota berucap dan memenuhi tuntutan pendaftaran pertubuhan supaya perhimpunan diadakan setiap tahun.
Paling melucukan, Ahmad Zahid Hamidi yang merupakan Naib Presiden nombor satu dalam Umno, ketika menggulung perbahasan, berkali-kali meminta perwakilan bangun untuk memberi tepukan kepada mentornya, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak, Presiden Umno.
Bukan itu sahaja, Zahid juga berkali-kali memuja-muji dengan kata-kata sanjungan yang meloyakan buat isteri Perdana Menteri, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor – puji-pujian yang semua orang tahu apa tujuannya dan kenapa ia dibuat.
Ketika bercakap soal perwakilan dari Negeri Sembilan, Zahid mengeluarkan kata-kata lucah yang tidak sepatutnya tidak terpancut dari mulutnya hanya kerana mahu membidas Datuk Ishak Ismail yang mendakwa Zahid tidak pandai berbahasa Inggeris.
Bercakap panjang lebar, Zahid sempat menggelar Ishak sebagai ‘queen control’ bagi mengelakkan dirinya menerima gelaran yang serupa setelah Zahid dilihat mempunyai isteri yang sudah berubah wajah, sebagaimana yang bekas Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Dr. Khir Toyo dan isterinya, Datin Seri Zaharah Kechik alaminya.
Paling menarik, perhimpunan Umno kali ini menyaksikan pembicara sibuk salah menyalahkan antara satu sama lain, seolah-olah memberi gambaran, mereka bergaduh sama sendiri dan rumahtangga mereka bergolak teruk.
Paling ketara, apabila perwakilan Kelantan, Dato' Norzahidi Omar membidas perwakilan Terengganu kerana dikatakan menghina Umno Kelantan yang sering tewas dalam pilihan raya hingga Kelantan kekal di tangan PAS.
Secara sinis, perwakilan Terengganu, Dato' Dr. Rosli Mat Hassan mencadangkan Umno Kelantan mendapatkan khidmat dari Umno Terengganu kalau mahu berhadapan dengan PAS di Kelantan – ternyata pemimpin Umno Kelantan, termasuk Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, Dato' Dr. Awang Adek Hussein mengarahkan jurucakap Umno Kelantan, menjawab balik.
Perhimpunan Umno kali ini dapat menggunakan ‘selimut’ kemenangan BN di Bagan Pinang. Mereka menutup sejarah kekalahan bersiri yang mereka alami dengan membawa cerita betapa besarnya kemenangan BN di Bagan Pinang yang kononnya boleh juga dikecapi di tempat-tempat lain jika berlaku lagi pilihan raya kecil.
Hakikat sebenarnya, Umno merasakan ‘kesunyian’ sekarang. Mereka benar-benar sakit menghadapi suasana sekarang. Ketika mereka mendakwa pembangkang sedang bergelut dan berbalah, mereka sendiri tidak dapat menyembunyikan ketenatan.
Hubungan tidak mesra dua bekas Presiden Umno, Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan Tun Abdullah Ahmad Badawi tidak dapat disembunyikan lagi. Dalam teks ucapan dasar Presiden Umno, tercatat ayat yang menyebut bahawa kedua-dua bekas Presiden ini akan datang.
Malangnya, ketika Dr. Mahathir ada di situ, di barisan depan – Tun Abdullah tidak kelihatan. Khabarnya Setiausaha Agung Umno, Dato' Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dimaklumkan bahawa Tun Abdullah batuk dan kurang selesa berada di Perhimpunan Agung Umno pagi itu.
Perwakilan bersorak gembira apabila Najib meninggikan suara ketika berucap, termasuk ketika menyindir bekas pemimpin yang tidak mahu faham ‘bahawa kereta kuda dan mesin telegeraf’ sudah jarang digunakan kerana zaman ini sudah berubah.
Seorang professor dari sebuah universiti yang berada di sekitar PWTC berkata, sungguh tajam sindiran Najib terhadap bekas pemimpin terdahulu, mungkin kerana Najib tersinggung dengan mereka yang terlalu banyak bercakap ketika Najib baru beberapa bulan menjadi Perdana Menteri.
Lebih menarik, sebuah buku bertajuk ‘Akhir Sebuah Impian’ tulisan Tan Sri Mohamed Rahmat yang dikatakan mahu diedarkan kepada semua perwakilan terpaksa ditarik balik kerana beberapa tegurannya terhadap orang-orang tertentu dikatakan kurang disenangi mereka yang sedang berkuasa di Ibu Pejabat Umno sekarang.
Ruang ligar PWTC tidak dipenuhi pemerhati seperti dalam perhimpunan terdahulu. Peniaga-peniaga mengeluh kerana ramai yang datang tapi kurang yang berbelanja. Cerita politik wang dikatakan menghantui mereka yang sepatutnya mendapat habuan.
Lagipun, cerita politik wang dan pindaan perlembagaan yang ingin menyekat merebaknya politik wang sedikit sebanyak menyulitkan mereka yang mahu berbelanja ketika menghadiri perhimpunan.
Ketika mengulung perbahasan, Najib memuji Tun Abdullah melebihi dari apa yang diberikannya kepada Dr. Mahathir. Najib mahukan bekas Perdana Menteri tidak terlalu banyak bercakap dan mengkritik kepimpinannya.
Beberapa perwakilan kurang menyenangi tindak-tanduk Najib yang berlebih-lebih apabila menyebut nama Tun Abdullah kerana dalam masa yang sama, Najib dilihat masih takut untuk melantik Ketua Pergerakan Pemuda Umno yang juga menantu Tun Abdullah, Khairy Jamaluddin menjadi Menteri atas kedudukannya dalam parti.
Ada yang mendakwa, Najib takut kepada serangan Dr. Mahathir jika beliau melantik Khairy. Dr. Mahathir masih tidak dapat menyembunyikan rasa bencinya kepada Khairy tetapi serangannya terhadap Najib berkurangan apabila Najib tidak memberikan apa-apa jawatan kepada Khairy.
Jika bukan kerana Dr. Mahathir, Khairy dipercayai sudah mendapat tempat dalam kabinet Najib – memandangkan Ketua Pergerakan Wanita dan Puteri diberikan jawatan sebaik sahaja mereka menang dalam pemilihan, Mac lalu.
Najib sendiri pernah menjadi Ketua Pergerakan Pemuda. Beliau diberikan jawatan penting ketika memegang jawatan itu. Begitu juga Dato' Seri Anwar Ibrahim dan Dato' Seri Hishammuddin Hussein – kecuali Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik dan Zahid, penyandang jawatan Ketua Pergerakan Pemuda adalah Naib Presiden, statusnya dalam parti itu.
Ketika perwakilan dari Negeri Sembilan bercakap soal pemimpin mesti berani, Najib dilihat dari segala sudut sekarang sama ada mempunyai cukup keberanian atau tidak di dalam menerajui kerajaan. Malahan, ketika MCA bergolak, Najib awal-awal sudah ‘meminta perlindungan’ tidak akan campur tangan tetapi Dr. Mahathir memintanya supaya cepat-cepat masuk campur.
Dari satu sudut lain, Timbalan Presiden Umno, Tan sri Muhyiddin Mohd Yassin dilihat berseorangan di dalam Umno kerana semua yang ada di kiri dan kanan Najib sekarang adalah mereka yang ‘satu kapal’ dengan Najib termasuk Zahid, Hishammuddin, Shafie Afdal, Tengku Adnan dan Ahmad Maslan.
Muhyiddin terpaksa bergantung kepada Najib dan kebergantungan Muhyiddin sehingga sampai satu masa dimana tarikh luput perkhidmatannya tiba. Muhyiddin tidak akan ke mana-mana, ketika ada perwakilan menyebut ‘watak-watak Setiausaha Politik’ kadang-kadang lebih sombong dari menteri dikatakan ditujukan kepada Muhyiddin kerana Setiausaha Politiknya di Kementerian Pelajaran dikatakan sudah popular dengan gelaran ‘ustaz angkuh’.
Ditulis Oleh IDRIS SAMAD
Tiada ulasan:
Catat Ulasan