KUALA LUMPUR: PAS akan mengadakan satu seminar khas bagi membincangkan halatuju parti itu bagi menggantikan Muktamar Khas atau EGM seperti yang dicadangkan oleh Mursyidul Amnya, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Seminar yang bakal disertai oleh lebih 1000 perwakilan dari seluruh negara itu akan diadakan 7 Disember ini di Dewan Dato' Fadzil Noor, Markas Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar, Kuala Lumpur.
Antara yang akan dijemput memberikan pandangan nanti adalah Profesor Dr Abdul Aziz Bari.
Demikian beritahu Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam sidang medianya jam 1.00 pagi tadi. Sidang media itu diadakan selepas mesyuarat khas Jawatankuasa Pusat yang diadakan di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut.
Selain itu, mesyuarat khas itu juga mengambil ketetapan agar Lembaga Disiplin PAS yang dipimpin oleh Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man menyiasat semua dakwaan terhadap PAS Selangor.
Lembaga ini akan mencadangkan tindakan disiplin kepada mana-mana pihak yang didapati bersalah melanggar disiplin parti.
Dalam sidang media itu juga, Abdul Hadi memaklumkan, isu Kerajaan Perpaduan ditutup sepenuhnya dan tidak akan berbangkit lagi.
Turut serta dalam sidang media selepas mesyuarat berjalan mulai jam 9.00 malam hingga 1.00 pagi itu adalah Naib Presiden, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man, Salahudin Ayub, Dato' Mahfuz Omar dan Setiausaha Agung, Dato' Mustafa Ali serta Ketua Pemuda, Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi.
Ibn Taimiyyah menegaskan: "Memimpin dan menguasai ummat adalah kewajipan agama yang terbesar. Tidak akan terdiri agama kecuali dengan (kekuasaan pimpinan) itu. Oleh kerana Allah telah mewajibkan (kaum muslimin) untuk menyuruh kepada yang baik, melarang dari yang mungkar, membela orang yang teraniaya, melakukan jihad, melaksanakan hudud, dan berlaku adil dalam menjatuhkan hukuman; semua itu tidak akan terlaksana tanpa kekuasaan dan teras kepimpinan." - (As-Siasah As-Syariah: 172-175)
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 ulasan:
Catat Ulasan