KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, Oktober 10, 2009

Pemuda Umno cetuskan pergaduhan halang guna padang

BAGAN PINANG: Kekecohan tercetus apabila petugas PAS yang datang untuk memasang poster dan bendera di Padang Permainan Taman Dato' Abdul Samad, Bagan Pinang mendapat bantahan daripada Pemuda Umno yang datang secara tiba-tiba dengan tiga buah kereta.

Persiapan tersebut dibuat bagi Program Hi-Tea bersama ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat di padang permainan terbabit yang dirancang pada jam 5 petang.

Walau bagaimanapun, Pemuda Umno tidak berpuas hati dengan mendakwa padang permaianan tersebut adalah kawasan mereka. Kemudian mereka bertindak memaksa petugas PAS beredar dan merobohkan empat khemah yang didirikan di kawasan itu.

Salah seorang petugas PAS yang ditemui berkata, padang berkenaan bukan terletak di dalam kawasan Bilik Gerakan BN walaupun ianya berhampiran.

"Dan pada kebiasaannya, taman permainan merupakan tempat awam yang bebas digunakan oleh sesiapa. Lagipun kita menjalankan aktiviti yang baik dan bermanfaat untuk penduduk setempat," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Ketika perbincangan diadakan antara penganjur program dengan Pemuda Umno, datang seorang pemuda yang berpakaian seperti penyokong PAS menumbuk salah seorang Pemuda Umno.

Pemuda yang dikatakan penyokong PAS itu mendakwa adiknya telah dipukul penyokong Umno sebelum ini namun beliau tidak dikenali oleh petugas PAS. Mereka kemudian dileraikan pemuda-pemuda PAS dan Umno yang berada di tempat kejadian.

Kira-kira jam 3 petang, Pemuda Umno mengambil tindakan meruntuhkan sendiri khemah berkenaan sambil mendesak petugas PAS agar segera meninggalkan padang tersebut. Pihak polis tiba di padang itu pada jam 3.20 petang dengan tiga buah trak kecil.

Mengulas isu ini, AJK PAS Pusat, Dato' Kamaruddin Jaafar melahirkan rasa kesal berhubung insiden yang membabitkan pertelingkahan antara kedua-dua belah pihak.

"Saya kesal dengan sikap pemuda Umno yang biadap menghalau dan tidak menghormati kebebasan menjalankan program. Kawasan itu merupakan kawasan awam yang tidak mengganggu mana-mana pihak untuk menjalankan aktiviti kempen dalam pilihan raya," ujarnya.

Tegasnya, pihak PAS telah cuba mengadakan perbincangan bagi tujuan kebaikan kedua-dua belah pihak tetapi ianya tidak diendahkan malah PAS diminta untuk meninggalkan kawasan berkenaan.

Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar juga diminta tidak masuk campur dalam perbincangan tersebut dan diarah segera meninggalkan tempat kejadian oleh Pemuda Umno.

Tiada ulasan: