BAGAN PINANG: Partai Rakyat Malaysia (PRM) menyifatkan segala janji manis BN untuk memerangi rasuah dan mendahulukan rakyat tidak ubah seperti tirai asap dan gimik politik untuk terus menipu rakyat apabila Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak memilih Tan Seri Isa Samad sebagai calon BN di Bagan Pinang.
Menurut Presidennya, Hassan Karim, pada awal tahun 80an semasa Isa menjawat Menteri Besar Negeri Sembilan, telah dirangka satu projek untuk memindahkan penternak babi di negeri itu ke satu tapak pembelaan moden dan terkawal dari segi kesihatan dan persekitaran.
Untuk tujuan tersebut, dedahnya, tanah seluas 1520 ekar telah diambilalih, dan tanah berharga RM8500 seekar akan dijual terus kepada pengusaha penternakan berdasarkan konsep bayaran pampasan.
Projek ini untuk menjaga kebajikan dan kepentingan penternak, alam sekitar, pengguna dan penduduk, tetapi kesudahannya tidak berjalan seperti yang dirancang.
Dakwa Hassan, tanah tersebut telah dijual kepada sebuah syarikat Melayu yang dikaitkan dengan Umno Negeri dan syarikat ini tidak menjual tanah terus kepada pengusaha, tetapi kepada syarikat yang dimiliki orang Cina yang dikaitkan dengan seorang pemimpin MCA bernama Senator Dr Yau Chai Thian, Pengerusi MCA Negeri Sembilan.
"Dalam proses ini, tanah yang berharga RM 8500 seekar jika dijual terus kepada pengusaha, sekarang dijual oleh syarikat yang dikaitkan dengan MCA dengan harga RM 145000 seekar, iaitu melambung naik sebanyak 17 kali ganda. Pengusaha enggan membelinya.
"Akhirnya, rancangan untuk memodenkan kaedah memelihara babi terhalang. Apakah yang berlaku kemudian ialah tercetusnya virus Nipah yang bukan sahaja meragut nyawa penternak dan hangusnya harta benda, bahkan mengancam nyawa dan merugikan rakyat keseluruhannya," tegas beliau kepada Harakah.
Menurut Hassan, kes ini satu dari puluhan kes yang melibatkan rasuah dan penyelewengan kuasa dalam Umno dan BN demi kepentingan diri dan kroni-kroni dan sakat-sukut mereka.
PRM katanya, menyeru pengundi Dun Bagan Pinang menolak calon BN—UMNO yang terbukti terlibat dalam politik wang, menyokong calon PAS, memberi peluang kepada perubahan supaya udara Malaysia segar semula, barulah kebajikan rakyat jelata terjamin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan