TELOK KEMANG: Tindakan pihak berkuasa dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengganyang poster-poster DAP dan KeADILan yang banyak mendedahkan isu rasuah calon BN, Tan Sri Isa Samad dianggap tindakan terdesak BN.
Demikian ditegaskan Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Anthony Loke Siew Fook ketika bercakap dalam program Bertemu Pengundi di Markas Operasi PAS di Bagan Pinang 8 Oktober lalu.
Ujar Loke, DAP berhak menaikkan papan-papan tanda berkenaan selagi BN tidak menurunkan kesemua papan tanda yang antaranya ada tertera gambar bukan calon yang bertanding, Pengerusi Umno Negeri, Dato' Seri Mohamad Hassan dan PM, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak.
"Selagi semua papan tanda yang bersangkutan dengan BN diberi kebebasan dan kami diserang, selagi ada, selagi itulah kami berhak dalam demokrasi, dan atas padang sama rata, kami juga berhak mengangkat papan tanda Pakatan Rakyat," tegas beliau.
Malah Anthony berkata tindakan badan pemantau SPR ke bilik gerakan DAP di Batu 9 bagi menanggalkan papan tanda isu kematian A Kugan dan Teoh Beng Hock hanya mencetus kemarahan penyokong Pakatan Rakyat.
"Yang di luar sana (di seluruh Dun Bagan Pinang), banyak lagi poster yang tidak berkenaan pilihan raya kecil di sini diizinkan, antaranya gambar Najib, gambar Mohamad Hassan. Ada lagi banyak gambar kenapa tak diturunkan. Bendera Umno pun ada, yang bertanding bukan Umno tetapi BN," katanya.
Katanya, ini menunjukkan SPR dan pihak berkuasa dipergunakan bagi menekan pihak Pakatan Rakyat, sekaligus mencetus suasana 'tidak selesa' dan tidak demokratik dalam pilihan raya kecil kali ini.
"Saya tidak membenarkan penguatkuasa SPR turunkan, sebab kenyataannya isu yang kita bawa itu adalah (isu kematian) A Kugan dan Teoh Beng Hock. Kedua-duanya isu yang pernah berlaku dan bukan kita reka-reka. Ia adalah isu sebenar," katanya.
"Jadi apa yang menjadi sensitif? Ia (pemantau SPR) kata isu sensitif, saya tanya apa yang sensitif kerana itu isu yang telah berlaku. Jadi tidak ada sebab untuk kita tanggalkan," katanya, yang juga Ahli Parlimen Rasah dan Adun Lobak, Negeri Sembilan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan