KUALA LUMPUR: Kewujudan Dewan Ulama Umno hanya akan menjadi 'lipstik' kerana dewan itu tidak boleh berperanan sebaiknya melainkan Umno benar-benar bersedia mengubah dasar perjuangan mereka.
Naib Presiden PAS, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, dasar perjuangan Umno itu sendiri akan menyebabkan hala tuju ulama Umno tidak jelas.
Ini kerana, tegasnya dasar Umno bertentangan dengan Islam sekali gus menyekat para ulama untuk menjadi penasihat yang baik.
"Jadi saya lihat dalam konteks ini kalau sekiranya ulama-ulama dalam Umno mampu memperbetulkan perjuangan Umno selari dengan kehendak al-Quran dan hadis maka ia menjadi positif dan sangat baik," katanya kepada Harakah.
Justeru tegas beliau, jika peranan Ulama Umno sekadar untuk menjadi pesaing kepada Dewan Ulama PAS maka matlamat menubuhkan Dewan Ulama Umno tidak akan
menghasilkan sesuatu yang baik.
Ustaz Tuan Ibrahim berkata demikian sebagai mengulas cadangan Umno Pulau Pinang dalam perhimpunan Agung Umno baru-baru ini yang mahukan parti itu menubuhkan Dewan Ulama Umno serta mempergiatkan usaha untuk mendekati golongan agamawan.
Ketua Umno Bahagian Tasek Gelugor, Shabudin Yahaya berkata, ulama Umno boleh memainkan peranan dalam soal keagamaan kerana agensi-agensi agama rasmi sedia ada mengambil sikap 'jalan selamat' dengan enggan mengulas mengenai beberapa isu yang ditimbulkan.
"(Mursyidul Am PAS, Dato' Abdul) Nik Aziz (Nik Mat) dah merapu, agensi agama rasmi pula ambil jalan selamat kerana tak mahu komen atau jawab beberapa isu, maka perlulah diwujudkan Dewan Ulama Umno," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan