KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Oktober 19, 2009

Bagan Pinang: Rakyat terdampar lemas, BN dilambung ombak

PADA pagi hari Ahad 11 Oktober 2009 adalah hari mengundi bagi pilihan raya kecil (PrK) dewan undangan negeri (DUN) N.31 Bagan Pinang, Negeri Sembilan. Ia berlaku di dalam hujan yang sesekali lebat sepanjang pagi dan deruan ombak di pantai sepanjang Port Dickson sehingga ke Telok Kemang kedengaran agak perlahan.

Iringan cuaca yang redup turut memperlahankan minat para pengundi Bagan Pinang yang berjumlah 13,664 orang untuk keluar mengundi. Laporan laman web PrK Bagan Pinang yang dibangunkan oleh Unit IT PAS melaporkan jumlah keluar mengundi setakat jam 10 pagi hanya 23.9%.

Keadaan keluar mengundi yang lembab berterusan sehingga ke jam 4.00 petang, jumlahnya baru 70%. Namun, dalam masa sejam jumlah itu telah meningkat kepada 81.65. Suatu peningkatan agak cepat dalam tempoh sejam terakhir.

Jumlah itu, telah menepati ramalan awal Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), iaitu sekitar 80%. Namun, jumlah keluar mengundi seramai 11,157 telah melonjak kemenangan Barisan Nasional di kubu kuatnya.

Bagan Pinang kubu Barisan Nasional

DUN N.31 Bagan Pinang adalah satu daripada lima DUN di dalam parlimen Teluk Kemang, Negeri Sembilan. Dun lain ialah N.29 Chuah, N.30 Lukut, N.32 Linggi dan N.33 Port Dickson. Dalam pilihan raya umum 2008, parlimen Telok Kemang dimenangi KeADILan, Dun Chuah dan Port Dickson dimenangi KeADILan, dan Lukut DAP. Sementara BN (Umno) pula, menang di Linggi dan Bagan Pinang.

Kedudukan DUN Bagan Pinang adalah di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Port Dickson, sebahagiannya menghadap ke laut dan sebahagian lagi masuk ke pedalaman bersempadan dengan Dun Rantau, parlimen Rembau. Sosio-ekonomi utama penduduk adalah berasaskan perkhidmatan pelancongan, perniagaan, ketenteraan dan perladangan.

Sebenarnya DUN Bagan Pinang adalah kubu Barisan Nasional. Ukuran hegemoni Barisan Nasional amat kuat kerana Umno sudah mempunyai lebih daripada 3,000 orang ahli, belum lagi mengambil kira keahlian MIC dan MCA.

Disokong lagi dengan geopolitik di situ yang bersifat campuran kaum yang sebahagian besarnya penduduk Melayu di bahagian pantai, Cina di pekan dan India di ladang bahagian pedalaman. Di samping wujudnya penempatan bersejarah angota tentera yang merupakan pendukung kental kerajaan yang kebiasaan menjadi pengundi tegar BN setiap kali pilihan raya.

Kawasan pilihan raya Dun Bagan Pinang mempunyai 8 daerah mengundi dengan 18 saluran mengundi. Jumlah pengundinya pada pilihan raya umum (PRU) 2008 seramai 14,192 dengan 66% Melayu, 10.5% Cina, 19.9% India dan 3.5 % kaum lain. Sementara pembahagian jenis pemilihnya pula, seramai 5,171 (36.44%) adalah pengundi pos dan selebihnya adalah pengundi biasa.

Bagi pilihan raya kecil Bagan Pinang pula, kedudukan daftar pemilih semasa yang diwartakan pada 4 September 2009 adalah 13,664 yang terdiri daripada pemilih biasa 9,060 orang dan pemilih pos 4,604 orang. Sementara pecahan mengikut kaumnya adalah Melayu 8,577 (62.77%), Cina 1,498 (10.96%), India 2,834 (20.74%) dan Lain-lain (Bumiputera Sabah dan Sarawak) 755 (5.53%).

Pilihan raya lepas

Pilihan raya kecil N.31 Bagan Pinang, Negeri Sembilan diadakan berikutan kerana kematian Ahli Dewan Undangan Negerinya (Adun) Azman Mohammad Noor pada 4 September 2009. Pada PRU 2008, Allahyarham Azman mencipta kemenangan selesa dengan majoriti 2,333; PAS memperolehi 4,097 undi dan BN 6,430 undi. Kemenangannya merupakan penerusan tradisi hegemoni BN daripada pilihan raya sebelumnya.

Berpandukan analisis tiga pilihan raya yang terakhir, ternyata PAS kalah teruk kesemuanya, sebagaimana data pilihan raya berikut:

Berpandukan bandingan keputusan di atas, Dun Bagan Pinang bukanlah tempatnya bagi PAS mencipta kemenangan mahupun membuat apa-apa kejutan. Ternyata undi diperolehi PAS amat tercorot pada paras 20.68% (2004) dan terbaik 38.92% (2008). Ini bermakna purata undi PAS (dianggap modal) hanya kira-kira 2,000 undi sahaja.

Meskipun begitu, berdasarkan laporan keputusan PRU 2008 sahaja PAS hanya mampu menang tipis di daerah mengundi Ladang Atherton (+84), Pekan Siliau (+81) dan Sua Bentong (+46) yang kesemuanya tempat majoriti kaum India. Di atas asas inilah, PAS layak menaruh harapan untuk bertapak di Dun Bagan Pinang.

Walau bagaimanapun, kesemua harapan itu tidak tercapai dalam PrK pada 11 Oktober lalu, apabila PAS kalah teruk di semua daerah mengundi tersebut. Secara bandingannya, keputusan PrK dengan PRUU 2008 adalah didapati peratusan jatuhan undi PAS adalah daripada 36.60% kepada 24.34%, iaitu sebanyak 12.26%, iaitu jatuahn yang lebih teruk (sekali ganda) berbanding PrK Manek Urai.

Di Manek Urai, PAS mengalami jatuhan undi popular sebanyak 6.36%. Di antara punca utama menyebabkan kejatuhan pada paras 12.26% itu ialah disebabkan hambatan pengundi pos, pengundi bukan Melayu dan pengundi tegar.

Cabaran pengundi pos

Pengundi pos telah memberi ruang selesa apabila BN melaksanakan tindakan pengukuhan hegemoni melalui pendekatan ‘hidden agenda’ yang melibatkan pihak berkuasa tentera dan SPR. Maka, jentera BN telah berjaya memanipulasikan pendaftaran pemilih pengundi tentera dan prosedur pengundian – didapati pihak berkuasa kem telah meminda senarai pemilih yang diwartakan oleh SPR kepada suatu format baru (ikut selera pihak berkuasa kem).

Kesannya pihak polling agent PAS tidak dapat membuat pemantauan semasa pengundian (kerana senarai berbeza). Justeru itu, kedudukan pengundi pos bagi PAS adalah bermula dengan kosong undi, BN sudah mempunyai “aset tetap” kira-kira 3,000 undi.

Berdasarkan jenis pemilih yang terdapat di Bagan Pinang, terdapat 5,171 undi pos (36.44%) daripada keseluruhan undi pada PRU 2008. PAS hanya memperolehi 1,189 undi daripada pengundi pos, atau kira-kira 10.62% daripada keseluruhan undi sah yang berjumlah 11,195.

Ini bermakna PAS mendapat undi kalangan pemilih biasa 2,908 (sekitar 25.98%). Sementara pada PrK ini, PAS sekadar menguti 601 undi pos berbanding BN 3,521 undi. Maka, jelas cabaran bagi PAS adalah sokongan pengundi pos komuniti tentera yang terkenal wala’nya tinggi kepada pihak “state.”

Begitu pula, kelompok pengundi biasa kalangan bukan Melayu, khususnya orang Cina sejak dari awal pihak PAS telah diberi amaran, betapa orang Cina yang sebahagian besarnya dri suku Hainan itu amat setia dengan Mohd Isa. Meskipun dalam PRU 2008, PAS mendapat majoriti mudah di semua adaerah mengundi bukan Melayu, tetapi sekali Mohd Isa bertanding maka pastinya PAS akan terlepas undi mereka.

Munasabahnya BN berjaya meraih undi yang tertinggi di daerah mengundi Ladang Bradwall, Sua Betong dan Telok Kemang, kerana di situ terdapat antara 25-33% pengundi Cina. Demikian juga peranan pengundi India yang turut menyumbang lonjakan undi PAS pada PRU 2008. Namun, pada PrK kali ini, rentak sokongannya telah beralih kepada BN.

Sedangkan kedua-duanya (pengundi pos dan bukan Melayu) adalah fokus penting untuk mana-mana parti yang bertanding bagi mencapai kemenangan. PAS sedar perkara ini, maka pihak Pengarah Jentera Induk PrK, Salahuddin Ayub bersama-sama Pengarah Operasi PrK PAS bagi Bagan Pinang, Dr Zulkefly Ahmad telah mengambil langkah strategik mengenderai kempen yang dianggap terlalu kritikal ke arah menghadapi cabaran pengundi pos dan pengundi biasa.

Ia berlaku terlalu kritikal disebabkan peluang meraih undi baru bagi PrK kali ini dianggap cerah bersandarkan tradisi undi terayun di Bagan Pinang: perubahan undi dari tahun 2004 ke 2008 kepada PAS dengan lonjakan kira-kira 16%.

Atas andaian faktor isu semasa trend terayun itu dikatakan positif kepada PAS dan Pakatan Rakyat, terutama isu-isu yang melibatkan pengundi bukan Melayu yang berjumlah sekitar 30%. Walau apapun perkara sebaliknya terjadi apabila PAS mendapat jatuhan undi ketara disemua daerah mengundi, termasuk kalangan bukan Melayu.

Pengundi tegar pun demikian juga, apabila kajian dilakukan melalui sistem pesanan ringkas (SmS) oleh pihak Unit IT jentera PrK PAS mendapati 52% daripada respon yang diterima adalah bersikap tidak berpihak. Di samping, 22% adalah tegar menyokong BN, dan hanya 28% sahaja yang bersetuju dengan PAS.

Ini bermakna, 74% pengundi yang respon kepada BN dan bersikap berkecuali sebenarnya adalah mengundi BN. Ini terbukti apabila dibandingkan dengan prestasi undi, didapati tidak jauh perbezaan iaitu 75.66% adalah terayun kepada BN berbanding PAS 24.34%. Perkara ini bukan disebabkan strategi kempen PAS. Sebaliknya ia disebabkan asakan kuat pihak Barisan Nasional di segenap penjuru ruang berkempen.

Objektif betul, strategi tepat

Jentera PAS tetap meletakkan objektif untuk menang berpandukan ‘modal’ PAS yang sedikit. Walaupun begitu, semangat untuk memastikan kemenangan tetap kental. Maka strategi kempen telah dibina ke arah mencorakkan daya ayunan undi kalangan pengundi Melayu biasa agar menyebelahi PAS sebanyak 50% dan bukan Melayu sekitar 75% serta undi pengundi pos sekitar 35%.

Ekoran itu, strategi kempen terpenting bagi mencapai sasaran ayunan undi tersebut ialah program kempen ke arah menguasai pengundi Melayu, Bukan Melayu dan pengundi kalangan tentera. Bagi menjayakan strategi kempen, maka jentera PAS bersetuju mengaktifkan pasukan kempen konvensional yang melibatkan pasukan muslimat (HalWa), pemuda, ulamak dan pasukan penerangan PrK.

Setiap pasukan kempen telah diamanahkan kepada kepimpinan PAS peringkat pusat ketua bergandingan dengan kepimpinan PAS Negeri Sembilan. Maka, dari segi jentera ia tiada cacat dan celanya dan kesemua berjalan lancar.

Namun, strategi kempen PAS sudah tentu berdepan dengan jentera kempen Barisan Nasional yang disokong oleh aparatus kerajaan, terutama media perdana, jabatan kerajaan yang aktif dengan program ‘delivery system’ dan badan penguatkuasa termasuk polis, tentera dan SPR sendiri.

Sementara pimpoinan Barisan nasional yang turun berkempen adalah di atas jawatan kerejaan seperti menteri, timbalan menteri, setiausaha politik dan pegawai-pegawai kanan, sudah cukup untuk mengepung pemikiran dan keyakinan pengundi yang kaku dengan maklumat kebaikan perjuangan PAS dan Pakatan Rakyat.

Tambahan pula, pihak media perdana terutama telivisyen sebagai media paling rapat dengan pengundi sering memutarbelitkan isu-isu yang berlaku di negeri-negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat. Ia cukup melonggarkan kepercayaan terhadap fakta kempen yang dibawa oleh PAS dan Pakatan Rakyat.

Misalannya di dalam isu kemajuan dan pembangunan di negeri Kelantan selama PAS memerintah telah diputarbelitkan oleh Muhyiddin menerusi TV, sedangkan pada masa yang sama pengundi disekat malah disabotaj (dengan sekatan polis dan serangan ganas pemuda BN) bertujuan menghalang pengundi hadir menyaksikan sendiri pameran “Kenali Kelantan” yang diadakan di Bagan Pinang.

Ditambah lagi dengan kekangan tempoh kempen yang singkat, upaya pasukan kempen PAS dikatakan terdesak dengan hambatan masa serta tuntutan sasaran kempen yang sentiasa diganggu oleh tindakan ganas dan biadap pemuda BN.

Disokong lagi dengan pendekatan aparat kerajaan BN yang turut berkempen memaut sokongan ‘penerima’ pelbagai sumbangan menggunakan duit rakyat pada musim pilihan raya. Sementelah pula, pasukan kempen PAS dan Pakatan Rakyat turut berdepan dengan kekurangan logistik dan bahan sokongan yang sedikit sebanyak merencatkan kesampaian maklumat kepada semua pengundi.

Oleh itu, dari segi objektifnya kempen PAS adalah betul dan strateginya pula dianggap tepat. Cuma obektif dan strategi itu terpaksa berdepan dengan keseriusan “hidup-mati” pihak BN yang dianggap apa cara sekalipun (by hook or by crook) untuk menang.

Turut menghalang keberkesanan strategi kempen PAS bersama Pakatan Rakyat adalah sikap pengundi setempat yang bersikap tidak kisah dengan isu-isu yang berlaku di luar daripada kelompok kampung halaman mereka.

Meskipun pelbagai isu yang melbatkan kepentingan awam dan maruah nasional kesemuanya dianggap tidak penting di sisi mereka. Misi kempen PAS dan Pakatan Rakyat berteraskan penerimaan nilai-nilai berintegriti dan penolakan amalan rasuah dan kesedaran hak rakyat telah tidak dilihat secara serius oleh pengundi Bagan Pinang.

Hal sedemikian adalah selari dengan kajian dilakukan oleh Pusat Penyelidikan PAS Pusat menjelang penamaan calon yang dijalankan secara rawak mendapati kira-kira 56% daripada pengundi tempatan masih menganggap Tan Sri Mohd Isa sebagai tokoh popular meskipun beliau telah dikenakan tindakan disiplin dan dilucutkan jawatan oleh Umno.

Ia bermaksud, sikap pengundi itu tetap bersetuju kepada pemimpin yang sudah tiada integriti dengan alasan Mohd Isa dianggap seorang yang berjasa sebelum ini. Sekaligus menjelaskan, majoriti pengundi tegar di Bagan Pinang tetap menyanjung tinggi mana-mana pemimpin, walaupun pemimpin itu melakukan kesalahan, asalkan kesan kesalahan itu tidak menjejaskan kepentingan peribadi mereka.

Sikap tersebut telah menghalang mereka untuk membuka mata dan telinga kepada rayuan kempen PAS agar menolak calon yang terpalit dengan rasuah politik wang. Akhirnya, calon PAS yang bersih itu tidak dipandang langsung oleh pengundi tegar tersebut.

Jentera Pakatan Rakyat

PAS sebenarnya telah bersedia menghadapi asakan kempen BN. Oleh itu, penyertaan PAS dalam PrK Bagan Pinang dianggap sebagai suatu usaha pemerkasaan kerjasama erat Pakatan Rakyat dalam misi meneruskan agenda kejayaan sejak pilihan raya umum Mac 2008, diikuti dengan kemenangan siri PrK: Permatang Pauh (8 Ogos 2008), Kuala Terengganu (17 Januari 2009), Bukit Gantang-Bukit Selambau-Batang Ai (7 April 2009), Penanti (31 Mei 2009), Manek Urai (14 Julai 2009) dan Permatang Pasir (25 Ogos 2009).

Oleh itu, pihak KeADILan dan DAP atas nama kerjasama Pakatan Rakyat melaksanakan strategi kempen pimpinan terhadap pengundi sasaran.

Perlantikan Dato’ Mahfuz Omar sebagai penyelaras kempen pimpinan Pakatan Rakyat (dari KeADILan dan DAP) telah menggerak secara aktif semua kempen termasuk ceramah dan lawatan menemui pengundi bersama calon.

Melalui strategi kempen pimpinan, salah satu keutamaan bagi PrK Bagan Pinang ialah membina dan melaksanakan pendekatan kumpulan sasar yang terdiri daripada lima status sosial: Miskin, OKU, Sakit, Warga Emas & Armalah – MOSWA.

Turut membantu pendekatan ini ialah penglibatan pimpinan utama setiap negeri yang bertindak sebagai peneraju kempen mendekati pengundi. Bagi meicinkan urusan ini Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man, Naib Presiden PAS telah dilantik sebagai penyelaras penglibatan semua pimpinan PAS dari setiap negeri.

Mengukuhkan lagi pendekatan kempen pimpinan PAS itu ialah setiap PAS Negeri telah diarah membentuk kontingen negeri bertugas di daerah mengundi yang tertentu. Tumpuan utama kontingen ialah melaksanakan urusan kempen pengundi secara menyeluruh dengan gandingan padu pasukan kempen HalWa, pemuda dan ulamak.

Mereka dikehendaki bertugas di dalam tiga gelombang bermula 27 September sehinggalah hari mengundi, 11 Oktober. Walau bagaimanapun, keberkesanan kempen oleh kontingen negeri-negeri tersebut amat bergantung kepada bantuan dan koordinasi jentera tempatan. Oleh kerana teras PAS agak lemah, di situlah berlakunya banyak kecacatan strategi kempen dan persiapan dalaman jentera di peringkat daerah mengundi.

Tema kempen

Meskipun tema kempen “bersama kehendak rakyat” dianggap lunak dan sesuai dengan senario setempat di Bagan Pinang, namun pelaksanaan oleh pasukan kempen agak sederhana. Pengundi yang didekati dan dirapati adalah berasaskan pendekatan rambang dan strategi kempen MOSWA masih gagal dikenali berikutan teras maklumat di peringkat bawah gagal dikesan.

Realiti tersebut, didapati kempen PrK di Bagan Pinang senang dipintas oleh kempen Barisan Nasional dalam semua segi. Natijahnya di dalam kaedah pilihan raya, menguasai persaingan kempen adalah penentu kemenangan, pihak yang menguasai persaingan pasti mencapai kemenangan.

Dalam PrK Bagan Pinang pihak Barisan Nasional memberi tumpuan tertinggi kepada strategi kempen calon, penguasaan pemngundi sasar di sokong aparat rasmi kerajaan yang mengukuhkan keyakinan pengundi.

Sesungguhnya, pengalaman PrK Bagan Pinang telah mendedahkan realiti pengukuhan sokongan Barisan Nasional dan dalam masa yang sama memberi ruang bagi PAS dan Pakatan Rakyat memantapkan lagi persiapan dan kecacatan jentera pilihan bagi memastikan kejayaan misi PRU ke13.

Ditulis Oleh WAN NIK YUSOFF NGAH
Setiausaha Pilihan Raya PAS Pusat

Tiada ulasan: