KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, Oktober 24, 2009

Laporan polis bukti Genesan tiada kuasa sebagai speaker

IPOH: Tindakan Speaker haram, Dato' R Ganesan membuat laporan polis terhadap Speaker yang sah, V Sivakumar kerana mengeluarkan notis Sidang Dun pada 28 Oktober ini, membuktikan beliau tiada kuasa sepenuhnya.

Demikian ditegaskan Setiausaha Dewan Pemuda PAS Negeri Perak, Dr Raja Ahmad Al-Hiss kepada Harakah.

"Kami hairan dengan kenyataan Ganesan yang mendakwa beliau adalah ‘Speaker’ Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak yang sah dengan tidak memahami Perintah-Perintah Tetap Dun Perak itu sendiri tentang pemegang jawatan Speaker malah cuba membohongi rakyat Perak khasnya," tegas beliau.

Beliau menyifatkan Ganesanlah orang yang dipertanggungjawabkan mencemar dan merosakkan imej Dun Perak dan mesti diambil tindakan segera oleh polis kerana Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dun Perak yang dipengerusikan oleh V. Sivakumar telah menjatuhkan hukuman terhadap beliau.

"Dan polis adalah bertanggungjawab melaksanakan keputusan tersebut apabila telah diterima oleh sidang Dun.

"Pemuda PAS kesal jika polis hanya menerima laporan daripada Ganesan yang bukan melalui keputusan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dun Perak terus mengambil tindakan adalah amat malang bagi Dun Perak jika perkara ini berlaku," ujar beliau.

Dr Raja Ahmad menyifatkan tindakan tersebut bertentangan dengan Peraturan-Peraturan Tetap Dun Perak dan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak itu sendiri.

Persoalan yang rakyat perlu tahu, tegas beliau, seorang Speaker yang akan mempengerusikan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dun Perak boleh memanggil mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang didapati melanggar peraturan-peraturan berkaitan Dun untuk dihadapkan ke jawatankuasa ini.

"Apa yang menghairankan kita kenapa Ganesan hanya buat laporan polis sebanyak tiga kali semata-mata. Kenapa beliau yang mendakwa sebagai seorang ‘Speaker’ yang sah tidak mengambil tindakan mengikut peruntukan yang ada?" tanya beliau lagi.

Pemuda PAS Perak, katanya, masih menunggu perkenan untuk mengadap Paduka Seri Sultan Perak bagi memperjelaskan isu Speaker ini dan meminta supaya rakyat menilai sendiri kejadian yang telah berlaku semasa sidang Dun Perak 7 Mei yang lalu.

Tiada ulasan: