TELOK KEMANG: Menang atau kalah bukan ukuran kepada PAS, namun mesej yang jelas iaitu Umno/BN masih mahukan perasuah sebagai wakil mereka adalah sangat bertentangan dengan agenda perangi rasuah yang diuar-uarkan oleh Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak.
Kemenangan besar Tan Sri Isa Samad di Bagan Pinang dengan majoriti 5435 memberi gambaran, Umno menang besar dengan meletakkan calon perasuah sekaligus mengiktiraf perasuah mewakili mereka, kata Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar.
"Umno menang sorak dalam pilihan raya Bagan Pinang ini tetapi ternyata kalah dalam memerangi rasuah dan tergadai maruah. Kemenangan Isa Samad yang sebelum ini telahpun ditolak oleh Umno, mengakibatkan Umno akan terus angkuh mengamalkan rasuah," katanya kepada Harakah.
Bagi Mahfuz, kemenangan yang sudah dijangka ini sebenarnya tidak sedikit pun memulihkan kepercayaan pelbagai pihak tentang pelan basmi rasuah yang mahu dilakukan BN selama ini.
"BN sebelum ini terdesak memilih Isa Samad selaku calon untuk menang, dan mereka dapat kemenangan itu. Namun persoalannya, apakah kemenangan sangat bermakna kepada usaha memulihkan integriti kerajaan yang tercalar kerana rasuah?
"Saya rasa ini semua bertentangan dengan hasrat memulihkan kerajaan dari rasuah apabila sah seorang perasuah dipilih. Keputusan ini bakal menjadi satu lagi titik gelita dalam sejarah integriti negara," tegasnya yang juga Ahli Parlimen Poko Sena.
Sementara itu, Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Mohamad Ghazali ketika mengulas keputusan pengundi Bagan Pinang yang memberikan kemenangan besar kepada calon Umno, menyifatkan, pengundi Bagan Pinang telah terpilih tokoh rasuah.
Namun Dr Lo' Lo' percaya, keputusan pengundi Bagan Pinang ini bukanlah mewakili aspirasi seluruh rakyat Malaysia. Malah Pakatan Rakyat tetap yakin majoriti rakyat Malaysia masih menolak rasuah demi menjaga maruah negara, ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan