KLIK JOM FOLO DI SINI

Jumaat, Oktober 09, 2009

RASUAH: Ayuh! Isa Samad mesti jawab kemusykilan rakyat ini!

EKORAN daripada Barisan Nasional mengemukakan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad selaku calon yang bertanding berdepan dengan Zulkefly Mohamad Omar dari PAS, maka banyak persoalan dapat dibangkitkan dan memerlukan jawapan.

Penjawab utama semestinya Mohd Isa sendiri selaku ‘tuan diri,’ kerana rakyat inginkan jawapan yang pasti. Kepastian itu adalah pemutus untuk rakyat bertindak sama ada mahu mengundi beliau atau menolak beliau.

Apa yang pasti, kesemua soalan adalah mencabar nilai-nilai integriti dan imej bersih (putih) atau kotor (hitam) peribadi Mohd Isa selaku calon pilihan raya kecil. Fakta dan persoalan yang dianalisis berikutnya merupakan titik-titik yang harus dilihat oleh pengundi secara khusus.

Ramalan Mahathir, Mohd Isa tidak menang

Dr. Mahathir meramalkan dalam blognya, di Bagan Pinang, saya percaya siapa juga yang dilantik sebagai calon, besar kemungkinan dia akan menang. Namun, realitinya imej Umno sekarang sudah banyak tercemar dengan politik wang semasa pemilihan Majlis Tertinggi.
Boleh dikatakan hampir semua yang dipilih terlibat dengan rasuah. Sesungguhnya orang ramai tidak lagi hormati Umno dan besar kemungkinan mereka tidak akan undi calon Umno dalam pilihan raya umum ke-13 nanti.

Pertikaian pencalonan Mohd Isa

Kata Dr. Mahathir, "jangan calonkan Mohd Isa Samad". Imej Umno akan terjejas kerana dianggap tidak serius dalam memerangi politik wang sekiranya masih meletakkan mereka yang sudah didapati bersalah dalam rasuah politik sebagai calon.
"Tan Sri Mohd Isa sudah didapati bersalah, kalau Umno letak dia juga bermakna bahawa Umno tak ambil berat tentang kes-kes macam ini."
Adakah rakyat sedia menanggung segala dosa Mohd Isa yang sudah melanggari hukum Umno itu sendiri?
Tengku Razaleigh pun menasihatkan Umno supaya mengambil iktibar daripada keputusan pilihan raya kecil Permatang Pasir, dalam memilih calon yang sesuai bagi mempertahankan kerusi DUN Bagan Pinang. Menurutnya, punca rasa tidak puashati rakyat terhadap BN itu adalah persepsi bahawa mereka yang memegang kuasa adalah angkuh dan korup. Korup bermakna ‘pengamal rasuah,’ apakah Mohd Isa tidak korup?

Mohd Isa sebenarnya ‘perasuah’

Pada pagi 24 Jun 2005, Panel Lembaga Disiplin Umno yang dipengerusikan oleh Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Ismail telah menjatuhkan hukuman penggantungan keahlian selama 6 tahun kepada Naib Presiden Umno, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.
Mohd Isa telah disabitkan bersalah atas 5 pertuduhan daripada 9 pertuduhan asal rasuah (politik wang). Antara pertuduhan yang dikemukakan adalah berhubung amalan rasuah termasuk membabitkan penganjuran pertemuan, mengadakan majlis makan dan memberi wang untuk membeli undi.
Perbuatan rasuah ini telah dilakukan oleh Mohd Isa melalui agennya merangkap Setiausaha Politik beliau, Salim Shariff ketika bertanding jawatan Naib Presiden Umno pada pemilihan September tahun lalu.
Dalam pertandingan tujuh penjuru bagi jawatan itu, Mohd Isa berada di kedudukan teratas dengan 1,507 undi diikuti Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam mendapat 1,329 undi, manakala Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tan Sri Muhyiddin Yassin di tempat ketiga dengan 1,234 undi.
Penggantungan ini telah mengesahkan segala desas desus berhubung kemenangan besar beliau dalam pemilihan Umno yang lalu. Ini sekaligus menunjukan bahawa UMNO bukan sahaja busuk diperingkat bawahan tetapi sememang membusuk dari peringkat atasan.
Keputusan yang dibuat oleh Lembaga Disiplin Umno ini benar–benar mencalarkan karier politik Mohd Isa. Beliau diminta berundur serta merta sebagai Ahli Parlimen. Meletakan jawatan sebagai Menteri Wilayah Persekutuan memandangkan beliau juga telah melanggar kod etika penjawat awam.
Jika dirujuk pada Akta Pencegahan Rasuah 1997, beliau kini seharusnya sudah merengkok didalam penjara. Perenggan ke 11, Akta Pencegahan Rasuah 1997 telah menyatakan bahawa;
11. Jika-
(b) mana-mana orang secara rasuah memberikan atau bersetuju untuk memberikan atau menawarkan apa-apa suapan kepada mana-mana ejen sebagai dorongan atau upah bagi melakukan atau tidak melakukan, atau kerana telah melakukan atau tidak melakukan apa-apa perbuatan berhubungan dengan hal-ehwal atau perniagaan prinsipalnya, atau bagi memberikan atau tidak memberikan sokongan atau tentangan kepada mana-mana orang berhubungan dengan hal-ehwal atau perniagaan prinsipalnya; dia adalah melakukan suatu kesalahan.
Perenggan ke 16 pula menyatakan bahawa;
16. Mana-mana orang yang didapati bersalah atas suatu kesalahan di bawah seksyen 10, 11, 13, 14 atau 15 boleh apabila disabitkan -
(a) dipenjarakan selama tempoh tidak kurang daripada empat belas hari dan tidak lebih daripada dua puluh tahun; dan
(b) didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau sepuluh ribu ringgit, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Malangnya Umno telah memutar belitkan perkataan RASUAH kepada POLITIK WANG dan menghalang Badan Pencegah Rasuah untuk membuat siasatan berdasarkan perundangan negara dengan alasan bahawa perbuatan itu terkandung dalam soal-soal peribadi Umno.

Rasuah kerana nak menang

Keputusan pemilihan jawatan Naib Presiden Umno pada 23 September 2004:
1. Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad - 1,507 undi
2. Dato' Seri Mohd. Ali Rustam - 1,329 undi
3. Tan Sri Muhyiddin Yassin - 1,234 undi
4. Tan Sri Muhammad Muhd. Taib - 1,177 undi
5. Dato’ Mustapa Mohamed - 1,059 undi
6. Dato’ Seri Adnan Yaakob – 690 undi
7. Dato’ Shahrir Abdul Samad – 651 undi

Namun, kedudukan pencalonan adalah berbeza. Susunan populariti pencalonan adalah sepertimana berikut:
1. Tan Sri Muhyiddin Yassin - 159 pencalonan
2. Dato' Seri Mohd. Ali Rustam – 119 pencalonan
3. Tan Sri Muhammad Muhd. Taib – 88 pencalonan
4. Dato’ Mustapa Mohamed – 66 pencalonan
5. Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad – 37 pencalonan
6. Dato’ Seri Adnan Yaakob – 35 pencalonan
7. Dato’ Shahrir Abdul Samad – 25 pencalonan

Namun kemenangan itu sekejap sahaja kerana pada 25 Jun 2005 beliau dijatuhkan hukuman gantung dan hilang haknya sebagai Naib Presiden selama 6 tahun. Laporan Utusan Malaysia (26 Jun 2005) berikut adalah menyatakan tentang hukuman tersebut.
Kenyataan akhbar sebelum ini (pada 24 Jun 2005) mengesahkan Mohd Isa dipanggil membuat penjelasan berhubung dakwaan rasuah politik kepada Lembaga Disiplin Umno; "Maka, keputusan penggantungan Mohd Isa dibuat oleh panel lembaga itu yang bermesyuarat kira-kira dua jam bermula pukul 11 pagi semalam di Menara Dato' Onn, PWTC yang dihadiri oleh semua anggotanya dan dipengerusikan oleh Ahmad Rithauddeen adalah tepat. Surat penggantungan itu yang ditandatangani sendiri oleh Ahmad Rithauddeen telah disampaikan dengan tangan ke pejabat Menteri Wilayah Persekutuan itu sebelum pukul 4 petang, tidak sampai 24 jam selepas Mohd. Isa dipanggil memberi keterangan, kelmarin (24 Jun 2005)."

Badan Pencegah Rasuah pembela Mohd Isa

Walaupun, Mohd Isa telah disabit bersalah sebagai perasuah oleh Lembaga Disiplin Umno, namun BPR (kini SPRM) tidak melakukan apa-apa siasatan terhadap Mohd Isa.
Seksyen 22 (1) Akta Pencegahan Rasuah 1997. Meskipun, akta berkenaan memperuntukkan bahawa "Seseorang pegawai Badan yang menyiasat sesuatu kesalahan di bawah Akta ini boleh -
(a) memerintahkan mana-mana orang supaya hadir di hadapannya bagi maksud diperiksa secara lisan berhubungan dengan apa-apa perkara yang mungkin dapat, pada pendapatnya, membantu dalam penyiasatan kesalahan itu;
(b) memerintahkan mana-mana orang supaya mengemukakan di hadapannya apa-apa buku, dokumen atau apa-apa salinan diperakuinya, atau apa-apa benda lain yang mungkin dapat, pada pendapatnya, membantu dalam penyiasatan kesalahan itu; atau
(c) dengan notis bertulis menghendaki mana-mana orang memberikan pernyataan bertulis yang dibuat dengan bersumpah atau berikrar yang menyatakan dalamnya segala maklumat yang dikehendaki di bawah notis itu, iaitu maklumat yang, pada pendapat pegawai itu, akan dapat membantu dalam penyiasatan kesalahan itu." Adakah rakyat boleh menerima hakikat ini?

Calon kitar semula

Calon BN, Tan Sri Mohd Isa Samad menolak tanggapan pembangkang beliau adalah calon 'kitar semula' tetapi sebaliknya berkata, label itu lebih sesuai untuk pemimpin pembangkang, Anwar Ibrahim.
Persoalannya, rekod peribadi Mohd Isa adalah tidak cemerlang. Kini dianggap cemerlang pula bila dicalon di Bagan Pinang. Rekod perkhidmatan beliau (Menteri Besar sejak April 1982–Mac 2004; Menteri Wilayah Persekutuan sejak 2004–2005; Jun 2005 dilucut jawatan kerana rasuah) adalah dinamakan kitar semula (recycle) apabila diberi peluang bertanding semula selepas dihukum kerana rasuah.

15 isu mendera rakyat

Apakah kemenangan Mohd Isa nanti akan menyelesaikan masalah rakyat di Bagan Pinang, ataupun setidak-tidaknya dapat mengubati penderitaan rakyat akibat salah urus kerajaan BN. Antara isu tersebut ialah:

1. KENAIKAN HARGA PETROL
2. KOS HIDUP RAKYAT YANG TINGGI
3. KRISIS POLITIK DIPERAK
4. SURUHANJAYA PENCEGAH RASUAH MALAYSIA BERPOLITIK
5. BN/UMNO MEMPERALAT MAHKAMAH
6. KES RASUAH MCA MELIBATKAN PORT KLANG FREE ZONE
7. POLIS GAGAL BERKECUALI
8. MEMILIH MOHD ISA SAMAD MEWAKILI IMEJ PERASUAH POLITIK WANG
9. MEDIA ARUS PERDANA BERAT SEBELAH
10. KONSPIRASI KES LIWAT ANWAR IBRAHIM
11. TERUS MENGEKAL AKTA ZALIM MOHD ISA
12. BN YANG TUNGGANG-LANGGAN – MCA, MIC & PPP BERPECAH
13. SISTEM PILIHAN RAYA YANG DIRAGUI KETELUSANNYA
14. SEMANGAT PERKAUMAN YANG ANTI PERPADUAN
15. SLOGAN SATU MALAYSIA (1Malaysia) MENGGADAI HAK ANTARA KAUM

Pengundi pos

Jika ingin menang, perlu pandang berat untuk menarik undi pos. Apa yang berlaku sejak beberapa pilihan raya kecil lepas ialah angin perubahan sedang berlaku di kalangan anggota tentera dan mula bertiup dari Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PULADA) Kem Sirusa, dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang.
Tersebar pula cerita di belakang tabir sebahagian pegawai tentera sudah kecewa dengan Zahid Hamidi selaku menteri yang gagal melayani secara terbaik kehendak pasukan tentera. Begitu pula, status kemewahan hidup keluarga tentera yang masih dalam kedhaifan.
Di samping janji retorik Najib yang ingin menjadikan Port Dikcson sebagai Bandar Tentera tidak lebih daripada omongan pancing undi. Kerana mereka tahu, yang bakal menikmati untung di sebalik projek itu adalah kroni dan bukannya warga tentera atau polis. Apakah jaminan Mohd Isa kedudukan tentera atau polis selaku pengundi pos akan terbela dengan seadil-adilanya?

Mohd Isa umpama dinosur

Pernah satu ketika Dr. Mahathir semasa menjadi presiden parti, mengingatkan ahli-ahli Umno agar jangan menjadikan seperti seekor dinosur – yang sudah tidak relevan dengan perubahan semasa.
Arus perubahan terkini dikenali sebagai globalisasi (dan mungkin telah berubah kepada pasca-globalisasi) dan tidak lagi lokalisasi. Mengungkapkan maksud yang sama, Najib pula mempopularkan perkataan Melayu glokal agar pemimpin Melayu terus maju ke hadapan.
Maka, keputusan mengangkat Tan Sri Mohd Isa sebagai calon, Umno/BN secara hakikinya telah menjadikan Umno parti yang tidak lagi relevan dengan perubahan zaman. Pencalonan Tan Sri Mohd Isa, mencetuskan persepsi betapa Umno/BN telah undur ke belakang dan memastikan imej Umno/BN bakal terkubur sebagai seekor dinosur yang hanya mempunyai nilai-nilai pra-sejarah yang tidak relevan dengan perubahan masa kini.

Ditulis Oleh WAN NIK YUSOF NGAH
Penulis adalah Setiausaha Jabatan Pilihan raya PAS Pusat

Tiada ulasan: