LEBUH raya Utara–Selatan menghala ke Seremban menjadi sendat 3 Oktober lalu. Hari itu hujung minggu. Hari tidak bekerja di negeri-negeri sebelah pantai barat. Tambahan pula kesyahduan Syawal masih lagi terasa.
Jam menunjukkan jam 4 pagi. Biasanya hanya bas ekpress atau lori panjang yang menguasai lebuh raya tahkala itu. Namun, pagi 3 Oktober dipenuh kereta dan van. Pemandu dan penumpang ramai beralas kopiah di kepala. Di Nilai dan Seremban, masjid dan surau tiba-tiba dilimpahi tetamu.
Itulah fenomena yang berlaku Sabtu minggu lalu. Ke mana mereka menghala, rupa-rupanya Bagan Pinang, Port Dickson. Kelibat mereka semakin jelas selepas fajar semakin menyinar.
Mereka bersesak-sesak mulai jam 8 pagi menghala ke Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson. Orang yang ditemui di lebuh raya awal pagi tadi rupa-rupanya kumpulan anak yang membawa semangat politik baru dari Kuala Lumpur.
Mereka tidak menghiraukan arahan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya setiap parti mengawal penyokongnya di hari penamaan calon. Kenyataan itu berulang kali disebut SPR. Alasannya bagi menutup aib parti BN-Umno.
Kehadiran penyokong Pakatan di setiap tempat penamaan calon pasca Mac 2008 begitu merimaskan parti BN. Sokongan terhadap Pakatan Rakyat tidak pernah surut. Ia bermula di Permatang Pauh pada 26 Ogos 2008 dan sebelum ini di Permatang Pasir, 10 Ogos 2009.
"Ramai yang memberitahu kehadiran penyokong Pakatan di Bagan Pinang jauh lebih ramai berbanding di Bukit Gantang pada 7 April lalu," kata seorang kakitangan kerajaan dari Kedah.
Beliau turut berada di Bagan Pinang Sabtu lalu. Situasi itu seakan-akan menggambarkan fenomena tujuh pilihan raya kecil di Semananjung sedang berulang di Bagan Pinang.
Sedangkan ramai memberi gambaran awal Umno sudah menang di atas kertas. Penganalisis politik, Dato’ Cheah See Kian hanya minat berbicara sebesar mana majoriti BN, lapor sebuah laman web.
Bagaimanapun beliau melihat undi bukan Melayu menjadi faktor penentu pilihan raya kecil terbabit. Bagan Pinang mempunyai 20 peratus pengundi India dan 10 peratus Cina.
Manakala Dr Sivamurugan Pandian dari USM berhujah BN boleh memenangi kerusi terbabit tanpa banyak sokongan bukan Melayu.
"BN menang dengan majoriti 2,400 undi hasil sokongan pengundi Melayu manakala undi India dan Cina pergi kepada PAS," katanya.
Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM, Prof Dr Ahmad Atory Hussain tidak menolak faktor aura dan populariti Isa boleh membawa kemenangan kepada BN. Mereka sebenarnya cuba menyembunyikan fakta sebenar. Umno mempunyai kelebihan di Bagan Pinang kerana undi pos. Di Teluk Kemang terdapat banyak kem tentera.
Di Si Rusa mempunyai Ijed Kem Kampung Sawah, Ijed Kem Si Rusa, Ilmi Port Dickson, IPDA Port Dickson, Kem Sunggala, Kompeni Kem Si Rusa, Markas Staf Garison, Markas Staf Stesen Port Dickson.
Selain itu Platun 1 Kompeni Angkut, Pondok Polis Batu, Pusasda Kem Si Rusa, Sekolah Pengurusan Tentera Darat Port Dickson, Sekolah Pertukangan Perintis dan Workshop Briged Kem Kampung Sawah. Kesemuanya berjumlah 4,574 pemilih pos.
Dan apabila dicampur di Bagan Pinang ada 4,604 pemilih pos. Maka tanpa sembunyi lagi ramai pemerhati politik memberi kemenangan percuma kepada BN.
Namun, ia tidak semudah itu apabila diambil kira gelombang rakyat yang berlaku di bawah. Pemimpin Umno yang merasai fenomena tersebut hanya Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah.
Dr Mahathir dari awal lagi menasihatkan, "jangan calonkan Isa Samad. Tan Sri Isa sudah didapati bersalah, kalau Umno letak dia juga bermakna Umno tak ambil berat tentang kes-kes macam ini," kata Perdana Menteri ke-4 itu.
Ku Li pula menasihatkan Umno mengambil iktibar keputusan Pilihan Raya Kecil Permatang Pasir. Menurutnya, punca rasa tidak puas hati rakyat terhadap BN di situ kerana sikap angkuh dan korup calon.
Isa disabitkan dengan korupsi pada 24 Jun 2005 oleh Panel Lembaga Disiplin Umno. Pengerusinya, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Ismail menjatuhkan hukuman penggantungan keahlian selama enam tahun terhadap Isa.
Sebelum itu pada Perhimpunan Agung Umno, Isa menang jawatan Naib Presiden Umno. Bagaimanapun dia telah disabitkan bersalah atas 5 pertuduhan rasuah (politik wang). Antara pertuduhan yang dikemuka membabitkan penganjuran pertemuan, mengadakan majlis makan dan memberi wang untuk membeli undi.
Ketika itu, Isa merupakan Menteri Wilayah Persekutuan sejak 2004. Namun pada Jun 2005 jawatan menteri miliknya dilucut. Sebelum bertanding di kerusi parlimen Jempol, Isa mengetuai kerajaan Negeri Sembilan sejak April 1982 hingga Mac 2004.
Isa bertapak di Dun Linggi sejak 1978 - 2004
Nasib Isa sebenarnya begitu malang dalam Umno. Pada 1993 Isa pernah mencuba nasib bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno, namun tewas kepada Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik.
Dan pada pemilihan berikutnya beliau bertanding jawatan Naib Presiden Umno tetapi tewas. Isa hanya berjaya dalam Umno hanya kerana rasuah politik. Pada 2005 Isa meninggalkan Tan Sri Muhyiddin Yassin di kedudukan tiga selepas Dato’ Seri Ali Rustam di kerusi Naib Presiden.
Mengambil kira realiti yang berlaku itu, mampukah 13,664 pengundi Bagan Pinang bersekongkol dengan pemimpin yang terjebak dengan rasuah. Sedangkan pengundi di tempat lain menolak pemimpin yang dipalit rasuah.
Di sudut lain kemunculan Isa menjadi satu hambatan baru buat Dato’ Seri Mohamad Hassan. Kenyataan Menteri Besar Negeri Sembilan itu yang cuba menafikan berkali-kali renggang dengan Isa menjelaskan keadaan sebenar.
Di bawah Mohamad, BN Negeri Sembilan kehilangan banyak kerusi pada pilihan raya umum lalu. BN hanya bertahan di 21 kerusi Dun berbanding Pakatan (15 kerusi).
"Kekurangan enam kerusi membuktikan kepemimpinan Mohamad sudah tidak lagi diterima rakyat," kata pegawai penyelidik dari Pusat Kajian Strategik (PKS) Negeri Kelantan, Zainal Abidin Hussin.
Mohamad juga enggan mengulas sama ada Isa akan dilantik sebagai Exco kerajaan negeri sekiranya menang di Bagan Pinang pada 11 Oktober ini.
"Saya tidak mahu komen. Tunggulah menang dahulu," kata Mohamad seperti dilaporkan media.
Kini calon PAS, Zulkefly Mohamad Omar merapatkan saingan dengan Isa. Biar pun Bagan Pinang dilabel kubu kuat Umno dan kampung Isa, namun rakyat semakin dahagakan integriti dan keadilan.
Umno sudah terbukti gagal melahirkan pemimpin berintegriti. Isa antaranya produknya. Dosa Isa usah dibiarkan bermukim di Bagan Pinang. Kini hanya Zulkifly satu-satuanya pilihan yang ada.
Seperti kata Saiyidina Abu Bakar, ‘taatilah saya selagi saya taat kepada Allah’. Inilah jejak perjuangan Zulkefly. Dia tidak rela noda Umno terperap di Bagan Pinang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan