KLIK JOM FOLO DI SINI

Jumaat, Oktober 09, 2009

Kempen mesra calon PAS, Zulkefly Omar cuit hati pengundi

LEBIH kurang sebulan lalu, Ustaz Salleh Man berjaya dalam percubaan kali keempat dengan memenangi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Permatang Pasir, Pulau Pinang, Lapor Wan Nordin Wan Yaakob dari Bagan Pinang.

Kini, di Bagan Pinang, Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkifly Mohamad Omar sedang mencuba nasibnya. Dun Bagan Pinang bukan asing bagi Zulkefly yang dipertaruhkan PAS bagi menentang Tan Sri Isa Samad yang kononnya popular di sini.

Pilihan raya bukan sesuatu asing bagi Zulkefly kerana beliau telah bertanding dalam pilihan raya umum tiga kali, sebelum ini di Dun Lenggeng. Walaupun tewas tiga kali, namun azamnya tetap tinggi membantu parti dan memperjuangkan dasar Islam serta kesejahteraan sejagat.

"Sebelum ini saya dah banyak kali bertanding, walaupun tewas namun bagi saya apa yang penting ialah mesej yang saya ingin sampaikan kepada rakyat. Kemungkinan keadaan belum untuk menang, tetapi bagi kita yang pentingnya, setiap kali berhadapan dengan pilihan raya, memang kita tidak mahu memberi satu laluan mudah untuk dimenangi Umno-BN," tegas Zulkefly.

Namun kata Pesuruhjaya PAS itu, apabila setiap kali ada pilihan raya, beliau sudah dapat mengurangkan majoriti BN. Sejak sebelum penamaan calon lagi, Zulkefly sudah mula 'berkampung' di Bagan Pinang, beliau tidak 'kekok'dengan masyarakat di sini.

Sebaik selesai langkah pertama iaitu penamaan calon dan sah menentang Isa Samad, beliau mula menjalankan kempen setiap hari di masjid dan surau dengan mengimarahkannya sebaik subuh meniti hari.

Seusai subuh, Zulkefly mula menggerakkan langkahnya beramah mesra dengan kariah masjid di beberapa buah masjid sekitar Bagan Pinang termasuk di Telok Kemang dan Sunggala serta di Garrison.

Menyingsing sahaja fajar, beliau mengatur langkah ke beberapa kawasan terutamanya di pasar-pasar kecil sekitar Telok Kemang bagi menyantuni peniaga dan pembeli. Sikapnya yang ramah dan mesra mudah mendekati setiap insan menyebabkan kempen berlangsung mudah dan lancar.

Sekitar jam 8.30 pagi, beliau akan singgah di kedai kopi untuk menyantuni sambil minum-minum pagi bersama pengundi.

Yang tua disapa mesra, yang muda disantuni penuh kasih sayang, wajahnya tetap ceria walaupun melalui jadual kempen yang sangat ketat hingga ke jam 12.00 tengah malam.

Di waktu tengahari pula, beliau masuk ke kampung-kampung untuk menemui pengundi, selain ke taman-taman perumahan. Setiap masalah penduduk didengar dengan teliti, janji tidak ditabur namun komitmen tetap diberi bagi membantu setiap yang mengadu.

Zulkefly yang sentiasa kemas berpakaian dan berkaca mata memberitahu pihaknya sentiasa bergerak tanpa menunggu pilihan raya umum atau pilihan raya kecil dipanggil.

"Gerakan kerja kita ini memang sentiasa dijalankan... sentiasa kita bergerak disemua peringkat, apatah lagi bila berlaku kejutan macam ini. Isu saya bukan anak Bagan Pinang tidak timbul. Ini kerana saya sering mengunjungi kawasan ini dan beberapa isu termasuk isu jalan raya dan tanah saya pernah kendalikan," tegasnya.

Menjengah kempen pilihan raya kecil yang memasuki hari ketiga (ketika ditulis) Zulkefly meneruskan gaya kempen yang mesra dan ramah. Mengenai peluang untuk merampas kerusi Dun Bagan Pinang, Zulkefly meminta rakyat melakukan perubahan dengan memberi peluang kepada PAS mewakili mereka di sini.

Sebaik disebut akan tanggungjawab yang besar dan menuntut komitmen yang tinggi dalam khidmat masyarakat sekiranya menang pada 11 Oktober ini, Zulkefly yakin beliau telah bersedia dengan pengalaman 'khidmat' kepada masyarakat tanpa sempadan yang terbekal sebelum ini.

Selaku pemimpin nombor satu PAS Negeri Sembilan, lokasi-lokasi jauh yang sering dikunjungi sekitar Negeri Sembilan bagi meneliti dan menyelesaikan masalah rakyat boleh membantunya dalam berkhidmat di Bagan Pinang.

"Saya sudah membuat persediaan. Sedikit lawatan untuk melihat di beberapa buah kampung. Analisis yang dibuat menunjukkan mereka mahu bersama PAS dan ingin sangat untuk melihat perubahan berlaku. Kita beranggapan mereka juga akan bersama-sama kita," tambah beliau.

Zulkefly juga menyentuh mengenai harapan rakyat khususnya pengundi kerusi Bagan Pinang.

"Kalau kita nak lihat, nak dibangkitkan isu pembangunan di Bagan Pinang ini sudah pun ada. Dari segi prasarana dan keperluan asas, tidak banyak yang boleh ditimbulkan."

Namun, isu kegagalan projek-projek pembangunan dan kesan pembangunan pelancongan yang tidak memihak kepada penduduk Bagan Pinang menjadi antara fokusnya. Begitu pun, Zulkefly tidak mahu menyerang peribadi Isa Samad yang terpalit rasuah dan salah urus tadbir ketika 22 tahun menjadi Menteri Besar.

Sebakliknya teman-teman pimpinan lain dalam PAS, DAP dan KeADILan yang menjalankan serangan-serangan bukan berbentuk peribadi, namun ia adalah satu pendedahan kebenaran.

Paling penting, usia yang muda dan rekod peribadi yang bersih, profesional, berjiwa rakyat dan memimpin boleh dipertaruhkan selain kejayaan Zulkefly mengusir projek Loji Insinerator di Broga aset terbaik.

"Saya difahamkan calon BN bukan orang tempatan di sini. Dia berasal dari Sungai Udang, Melaka. Sementara saya bukanlah anak tempatan Bagan Pinang, tetapi saya anak jati Negeri Sembilan," katanya.

Zulkefly yang melalui jadual kempen di sebelah petang dan malam dengan lebih bertenaga sudah melalui pelbagai ragam, tribulasi terhadap perjuangan dan politik.

Paling menarik sikap suka membantu yang dimiliki semula jadi dalam dirinya tertonjol, dan pada 4 Oktober ketika berkempen di tapak niaga Batu 4, Jalan Pantai kejadian penganiayaan terhadap peniaga diselesaikan secara spontan.

Ketika melalui kawasan peniaga, tatkala itu juga kontraktor yang mahu memasang kanopi yang menghalang kedai-kedai peniaga di situ cuba diselesaikan supaya ia tidak mengganggu peniaga yang telah lama mencari rezeki di situ.

Ucapan terima kasih bertali arus disampaikan dua peniaga yang dibantunya.

Zukefly meletakkan pencalonan ini sebagai satu amanah, yang penting baginya meneruskan kerjaya di samping untuk melaksana dan mengangkat selain menunaikan satu kewajiban dan tanggungjawab.

Sambil tidak menafikan Bagan Pinang sebagai kubu kuat BN di Negeri Sembilan, namun azamnya mengatasi kegentaran itu yang tidak menjadikannya tertekan. Amanah yang telah dipertanggungjawabkan oleh pimpinan PAS dan sokongan yang diberikan rakyat di Bagan Pinang menjadikan Zulkefly 'pejuang sejati'.

Tiada ulasan: