‘BERSAMA kahendak rakyat’ dipilih sebagai ‘tema’ atau tagline Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil Bagan Pinang yang akan berlangsung pada 11 Oktober 2009.
Ini memberi gambaran bahawa rakyat memain peranan yang sentral dalam kehidupan bernegara. Rakyat merupakan asas (foundation) kepada negara. Ini juga bermakna negara (the state) dan aparat pentadbiran yang lahir darinya perlu akur kepada kehendak rakyat.
Ini amat bertepatan sekali kerana rakyatlah yang memberi kuasa kepada negara (melalui kerajaan yang ditubuh); maka sebagai balasan amatlah wajar bagi negara memenuhi tuntutan rakyat.
Secara umumnya terdapat dua bentuk tuntutan rakyat yang juga merupakan keperluan asasi (basic needs). Pertama, yang berbentuk kebendaan (material needs); dan kedua yang berbentuk bukan kebendaan (non-material needs).
Dalam sebuah masyarakat demokratik, tuntutan yang bersifat kebendaan ialah merujuk kepada keperluan makanan, pakaian dan tempat tinggal. Sekiranya rakyat diberi kebebasan untuk mengundi, maka secara logiknya mereka perlu turut dibekalkan dengan makanan yang sihat dan seimbang dan harga yang berpatutan.
Mereka juga perlu dibekalkan dengan pakaian yang sempurna. Akhirnya, mereka perlu dibekalkan dengan tempat tinggal (rumah) yang selesa.
Dalam konteks Malaysia, isu tidak cukup pakaian tidaklah begitu kritikal; tetapi isu perumahan dan makanan merupakan isu-isu yang amat penting untuk kehidupan rakyat.
Isu makanan masih tidak mampu ditangani secara berkesan oleh Umno/BN. Mereka seolah-olah tidak serius menangani isu yang begini penting untuk survival rakyat.
Isu kekurangan gula amat memalukan rakyat kerana ia mencerminkan kelemahan agensi penguatkuasaan kementerian berkenaan. Isu harga beras yang melambung tidak ditangani secara baik dan berkesan oleh kerajaan. Walhal, beras adalah makanan ruji rakyat.
Ini memperlihatkan kerajaan pimpinan Umno/BN tidak mempunyai perancangan jangka pendek dan panjang yang berkesan bagi menangani isu yang amat penting ini. Apa dah jadi kepada Dasar Makanan Negara? Isu keselamatan makanan (food security) seolah-olah tidak menjadi dasar teras negara.
Dalam hal ini kerajaan Umno/BN nampaknya lebih selesa untuk mengambil jalan pintas dengan mengimport beras dari luar negara (Thailand, misalnya) daripada meningkat prasarana pertanian bagi meningkat pengeluaran padi di negara sendiri atas pertimbangan kos.
Dasar ini mempunyai risiko yang tinggi. Dalam keadaan dunia yang tidak menentu dalam hal perubahan cuaca, mala petaka gempa bumi dan sebagainya, kita dapat gambarkan bahawa risikonya adalah lebih tinggi.
Memahami latarbelakang inilah dasar yang berkaitan dengan makanan yang akan digubal dan diperjuangkan oleh Pakatan Rakyat mengambil kira realiti ini agar ia tidak membebankan rakyat.
Dalam kes perumahan ia adalah juga serius. Harga rumah melambung dengan begitu cepat sekali berbanding peningkatan pendapatan rakyat. Bagi mereka yang berpendapatan sekitar RM5000 sebulan adalah agak mustahil untuk mereka memiliki sebuah rumah yang selesa di sekitar Kuala Lumpur dan pinggirannya.
Secara purata rumah semi-D berkembar telah mencecah harga sekitar RM1 juta untuk satu unit rumah. Pekerja awam kumpulan sokongan yang bekerja di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur dan sebagainya yang gaji bulanan mereka tidak sampai RM 2000 berhadapan dengan masalah yang besar untuk memiliki rumah.
Jumlah pekerja kumpulan ini agak besar. Bagi mereka yang miskin di peringkat luar bandar, pengagihan rumah-rumah mampu bayar dan PPRT seringkali dipolitikkan.
Pakatan Rakyat akan menggubal dasar-dasar perumahan agar sebahagian besar rakyat memiliki rumah mereka sendiri dengan mengambil kira harga rumah semasa dan tahap pendapatan rakyat.
Dalam ertikata lain, Pakatan Rakyat tidak akan membenarkan kuasa pasaran yang akan menentukan segala-galanya. Kuasa pasaran yang ‘songsang’ (atau ‘tidak sempurna’) adalah pada hakikatnya bikinan segelintir pemaju perumahan yang ingin mengaut keuntungan segera tanpa mengambil kira kesejahteraan rakyat secara keseluruhan.
Pentingnya rakyat memiliki rumah mereka sendiri dalam sistem demokrasi sehinggakan pemilikan rumah merupakan pra-syarat kepada kewujudan demokrasi itu sendiri sehingga terbit kata-kata seperti house-owning democracy.
Kehendak rakyat juga mencakupi keperluan yang bersifat bukan kebendaan (non-material needs). Ini termasuklah keperluan jaminan keselamatan (selain keselamatan makanan yang kita telah bincang di atas), rasa harga diri (self-respect) yang tinggi, jaminan sosial (social security) dan sebagainya.
Dengan memiliki jaminan-jaminan yang bersifat bukan kebendaan maka rakyat akan mempunyai harga diri yang tinggi dan ini membolehkan mereka menyumbang secara bermakna kepada kesejahteraan negara yang mereka sendiri membinanya.
Ini bermakna kesejahteraan negara dan rakyat merupakan satu simbiosis dan bersifat resiprokal. Semuanya ini akhirnya menyumbang kepada peningkatan ‘kedaulatan rakyat’ (people’s sovereignty) dan kedaulatan rakyat adalah juga merupakan teras kepada sistem demokrasi.
Dalam konteks kedaulatan rakyat ini, rakyat perlu secara rasional mengamalkan hak-hak asasi mereka sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan negara. Hak untuk bersuara secara rasional dan objektif berdasarkan fakta-fakta yang sahih perlu diberi kebebasan yang seluasnya.
Membudayakan hak ini akhirnya melahirkan satu sistem demokrasi yang mementingkan hal-hal sentral yang berkaitan dengan ketelusan (transparency) dan pertanggungjawaban (accuntability). Dua elemen ini penting bagi menghapus penyakit kronisme dan penyalahgunaan kuasa yang begitu berakar-umbi dalam budaya Umno/BN.
PAS sebagai sebuah Gerakan Islam, mempunyai sumbangan yang tersendiri bagi memperkukuhkan perspektif di atas. Di samping mengambil kira perspektif keperluan kebendaan (harta) seperti yang dirujuk dalam perbincangan di atas, Islam memberi jaminan keselamatan kepada agama, akal, maruah dan keturunan.
Malah keempat-empat angkubah ini adalah berkaitan di antara satu sama lain. Apabila selamatnya agama maka secara logisnya selamatlah akal, maruah dan keturunan. Keperluan maruah boleh dikaitkan dengan keselamatan sosial secara umum.
Warganegara yang terikat dengan nilai-nilai ini akan menjadikan mereka seorang warganegara yang bertanggungjawab dan berintegriti. Persekitaran sosio-politik ini yang ingin dibina oleh Pakatan Rakyat dan calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat mempunyai latarbelakang yang bersih, berpendidikan tinggi dan berintegriti secara umumnya.
Ini amat jelas apabila beliau dibandingkan dengan calon Umno/BN yang mempunyai latarbelakang yang boleh dipertikaikan. Dari sudut latarbelakang calon, contoh model (role-model) seorang ahli politik yang berintegriti jelas ada pada calon PAS dan bukan pada calon Umno/BN.
Kepimpinan politik yang tidak menitikberatkan faktor integriti dalam pimpinannya akan mendorongnya untuk menerima elemen-elemen negatif seperti kronisme dan rasuah sebagai sesuatu yang biasa.
Malah ia juga dilihat sebagai satu sistem yang integral dalam penerusan sistem tersebut. Ia telah diinstitusikan dalam sistem berkenaan. Ia telah membarah dalam sitem yang dimaksudkan.
Dari sudut ini, adalah sesuatu yang aneh dan kelakar apabila Umno/BN mengisytiharkan perang terhadap rasuah kerana secara hakikinya ini bermakna mengisytiharkan perang ke atas diri mereka sendiri!! Dalam bahasa yang mudah mereka bersendiwara.
Sistem politik bentuk ini sudah semestinya menafikan kehendak-kahendak asasi rakyat yang berbentuk kebendaan dan bukan kebendaan sebagaimana yang kita bincang secara ringkas di atas.
Dengan menggunakan tema ‘Bersama Kahendak Rakyat”, Pakatan Rakyat (melalui calon PAS) secara ikhlas dan bersungguh-sungguh untuk mewujudkan satu sistem alternatif yang bebas dari persoalan kronisme dan rasuah dan meletakkan kepentingan dan kesejahteraan rakyat sebagai tunggak perjuangan politik.
Dengan mengemukakan satu sistem politik alternatif yang berteraskan integriti, maka Pakatan Rakyat secara realistik dapat benar-benar merealisasi dan mendahului kepentingan rakyat. Ia memberi alternatif yang juga realistik kepada retorik politik tajaan Umno/BN yang sedang heboh ditaja iaitu ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’.
Ditulis Oleh DR WAN ABDUL RAHMAN WAN AB LATIFF
Penulis adalah Pengarah Jabatan Penyelidikan PAS Pusat
Tiada ulasan:
Catat Ulasan