TELOK KEMANG: Bekas Yang diPertua PAS Kawasan Telok Kemang, Dr Rosli Yaakob menyifatkan calon BN, Tan Sri Isa Samad sebagai calon 'toksid' yang penuh dengan kekotoran tercemar dan menyangkal beliau anak tempatan Bagan Pinang.
Beliau yang juga bekas Pesuruhjaya PAS negeri itu mengungkapkan Tan Sri Isa Samad sebagai calon toksid kerana rekod rasuah yang dimiliki dalam pemilihan Umno selain kegagalan 22 tahun menerajui Negeri Sembilan.
"Calon Umno ini adalah calon toksid. Kalau yang banyak aset buruk ini samalah dengan toksid. Saya yakin rakyat akan tolak Isa Samad," katanya.
Ketika Isa menjadi Menteri Besar, beberapa isu mengelilinginya terutamanya sikap kekronian yang diwarisi dari tuannya, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Tanah-tanah yang kosong pastinya akan diintai Isa Samad untuk dijual kepada tauke dan pemodal Umno bagi mengisi kantungnya, kata Dr Rosli.
Walaupun ramai yang menyatakan kononnya Isa sangat rapat dengan penduduk di Bagan Pinang khasnya, namun rekod menjual tanah dan pesisir pantai pastinya menggamit minda pengundi.
Siapa yang tidak kenal dengan Menteri Besar yang menerima jolokan '10 percent (10 peratus)' ini? Setiap projek pembangunan yang mahu dilakukan pastinya mengutamakan kantungnya terlebih dahulu, tegas beliau.
Dr Rosli juga menyifatkan satu kesilapan besar pihak media yang mendakwa Isa Samad adalah anak tempatan Negeri Sembilan.
"Isa Samad bukan anak jati Negeri Sembilan. Dia lahirpun di Melaka iaitu di Sungai Udang. Kenapa pula dia nak kata di anak tempatan? Yang anak tempatan ialah calon PAS. Dia anak jati Negeri Sembilan lahir di Lenggeng," ujarnya.
Mengulas mengenai isu yang boleh dimainkan di Bagan Pinang, beliau yang tidak asing di Dun tersebut menyatakan, isu kebajikan rakyat, isu saliran, tanah, jalan raya dan janji kosong BN menjadi fokus utama.
Malah, isu ini juga katanya mula meniti dan membayangi pengundi di sini sejak terdedahnya beberapa kebobrokan Umno/BN. Isu Isa tidak sehaluan dengan Menteri Besar kini, Dato' Seri Mohamad Hassan juga boleh memberi 'nilai tambah' kepada calon PAS.
Tegasnya lagi, isu integriti calon yang sangat berbeza perlu menjadi pertimbangan pengundi yang kini dalam 'mood' mahukan perubahan setelah tertipu dengan BN selama 52 tahun.
"Dengan adanya wakil kita (Zulkefly) di Dun Negeri Sembilan, ia akan menambah kekuatan, dan sekaligus boleh menyampaikan rintihan rakyat terbanyak yang tidak diendahkan Umno sebelum ini," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan