KLIK JOM FOLO DI SINI

Jumaat, Oktober 09, 2009

Pengundi Bagan Pinang diingat ambil serius isu integriti

KUALA LUMPUR: Rakyat Bagan Pinang perlu melihat skop yang lebih meluas iaitu isu peringkat nasional khususnya yang membabitkan integriti pemimpin BN berbanding isu tempatan yang boleh diselesaikan dengan segera.

Penyelarasan Suaram Arutchelvan berkata, isu tempatan yang berlaku di Bagan Pinang setakat masalah jalan raya atau longkang tersumbat boleh diselesaikan dengan segera berbanding isu nasional.

Katanya, isu nasional yang wajar dinilai oleh rakyat Bagan Pinang menjelang pilihan raya nanti termasuklah dasar BN selama ini dan calon mereka sendiri.

"Isu rasuah itu sendiri, yang mana ia cukup sinonim dengan calon yang bertanding, inilah yang dikatakan isu nasional," katanya kepada Harakah.

Jelasnya, rakyat Bagan Pinang seharusnya melihat antara Pakatan Rakyat dan BN yang mana lebih baik untuk masa depan Malaysia, inilah isu yang sebenarnya.

"Jika mereka mengutamakan isu nasional, undi-undi rakyat Bagan Pinang akan menjadi paltform untuk Pakatan Rakyat meneruskan agendanya," kata beliau yang juga Setiasausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Aru tidak menafikan Isa Samad sememangnya calon yang lama di Negeri Sembilan bagaimanapun ketokohan beliau tidak selamanya bertahta di hati rakyat.

Misalnya, kata beliau, dalam dua pilihan raya lalu ketika pembangkang bernaung dalam Barisan Alternatif mereka dihalang memasuki ladang untuk berkempen tetapi kini Pakatan Rakyat bila-bila masa sahaja boleh menyantuni masyarakat ladang.

"Kalau dulu memang kita tidak boleh masuk, sekarang dua per tiga masyarakat ladang khusunya kaum India sudah tinggal di taman-taman yang boleh mengakses berita alternatif, sekali gus mengubah persepsi mereka terhadap Pakatan Rakyat," katanya.

Justeru, katanya, pengaruh Isa Samad lebih kepada sentimen di kalangan mereka yang berusia, sebaliknya orang muda cenderung kepada Pakatan Rakyat.

Tiada ulasan: