KLIK JOM FOLO DI SINI

Jumaat, Oktober 09, 2009

BN naikkan papan iklan provokasi cetuskan ketegangan

KUALA LUMPUR: Pengarah Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS Pusat, Mohamad Firdaus Jaafar menyelar tindakan BN yang menaikkan papan iklan berbentuk provokasi terhadap PAS di beberapa kawasan sewaktu kempen Pilihan Raya Kecil Bagan Pinang.

Tindakan tersebut katanya bertentangan dengan jaminan yang diberikan Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Negeri Sembilan, Abdul Latif Baba, tidak ada seberang papan iklan yang berbentuk provokasi sepanjang proses berkempen.

Katanya, antara tulisan yang tertera di papan iklan tersebut ialah 'Tolak PAS, Parti Tanpa Pembangunan'.

"Melalui pemasangan papan iklan yang tertulis perkataan tersebut, secara terangan BN telah melanggar undang-undang SPR. Seharusnya SPR mengambil tindakan segera kerana tindakan tersebut mencerminkan ketelusan SPR dalam pilihan raya kecil di Bagan Pinang ini," katanya sewaktu dihubungi.

Firdaus yang juga Ahli Parlimen Jerai yakin dengan kepakaran teknologi maklumat di kalangan jentera pilihan raya PAS, akan dapat menangkis segala tohmahan yang dilemparkan terhadap PAS.

Beliau juga melihat pemilihan Tan Sri Isa Samad sebagai calon BN akan mematikan aspirasi golongan muda.

"PAS mengekalkan calon yang dilihat mampu mentadbir dan mampu memenuhi aspirasi golongan muda dan dalam masa yang sama juga boleh diterima golongan pertengahan atau veteran.

"Pemilihan Isa seolah-olah BN telah meletakkan calon yang telah 'luput tarikh' dan bukan menjadi pilihan anak muda. Dan Isa juga dilihat memberi tekanan kepada pentadbiran Dato' Seri Mohamad Hassan. Isa yang pernah menjawat jawatan sebagai Menteri Besar sebenarnya akan memberi tekanan kepada politik dalaman BN," katanya.

Tiada ulasan: