KUALA LUMPUR: Tindakan tentera Thailand dibawah pimpinan Jeneral Sonthi Boonyaratglin yang mengulingkan Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra pada tahun 2006 wajar diambil iktibar oleh anggota tentera di Malaysia, tegas Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.
Katanya, PAS tidak menyeru anggota tentera merampas kuasa, tetapi tentera di Malaysia wajar mempelajari insiden itu dengan sebaiknya kerana tentera di negara itu telah menolak pemimpinnya kerana terlibat dengan rasuah.
Dalam Pilihan Raya Kecil Bagan Pinang, tegas beliau, calon BN, Tan Sri Isa Samad mempunyai rekod rasuah yang sahih dan telah digantung keahlian selama 3 tahun oleh Umno setelah didapati merasuah perwakilan bagi merebut jawatan Naib Presiden parti itu pada tahun 2004.
Beliau berkata, Thaksin yang belum dibuktikan bersalah oleh mahkamah telah ditolak oleh tentera, maka wajarkah Isa yang sudah dibuktikan bersalah tidak diundi oleh pengundi pos kalangan tentera di Bagan Pinang.
"Sebagai anggota keselamatan negara, tentera bukan sahaja wajib melindungi rakyat dari serangan musuh luar tetapi tentera juga wajib melindungi rakyat dari penguasaan pemimpin yang rasuah seperti calon BN di Bagan Pinang," tegas beliau.
PAS katanya, mengajak pengundi pos tentera di Malaysia khususnya di Bagan Pinang untuk melihat tindakan tentera Thailand itu sebagai satu cabaran buat mereka merubah landskap politik negara ke arah kepimpinan bersih dan amanah.
Ustaz Idris menyeru agar anggota tentera mengunakan kuasa undi mereka untuk membuat perubahan dan menolak pemimpin rasuah yang ditawarkan oleh BN melalui calonnya, Isa Samad.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan