BAGAN PINANG: Pengarah Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Firdaus Jaafar merayu anggota tentera agar menolak calon Barisan Nasional, Tan Sri ISa Samad pada Pilihan Raya Kecil Bagan Pinang, 11 Oktober ini.
Anggota tentera yang akan mengundi 8 Oktober ini perlu memikirkan tradisi tentera yang cukup bersih dari segala unsur rasuah atau penyelewengan, katanya.
"Mereka perlu memberi undi kepada calon PAS, Zulkefly Mohamad Omar yang ternyata bersih, berwibawa, tidak terbabit dengan rasuah dan tidak terlibat dengan salah urus tadbir. Yang penting seorang yang berjiwa rakyat," tegasnya.
Katanya, sikap dan keterampilan calon PAS ini bersesuaian dengan naluri anggota tentera yang bersih dan amanah serta menjunjung tinggi soal integriti.
"Calon BN sah seorang perasuah. Dalam pemilihan Umno empat tahun lalu beliau disahkan menggunakan rasuah untuk menang jawatan jawatan Naib Presiden Umno. Dalam pentadbiran selama 22 tahun banyak tanah tergadai, janji tidak ditunaikan, pelbagai penyelewengan berlaku.
"Justeru Isa Samad perlu ditolak penduduk Bagan Pinang," katanya lagi.
Mengulas mengenai kempen jentera Pemuda PAS di Bagan Pinang, Firdaus memaklumkan sejumlah 600 petugas pemuda sudah berkampung di Bagan Pinang. Pemuda dari seluruh negara diturunkan bagi membantu kempen dan mengerakkan jentera Pemuda PAS di sini, katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan