KLIK JOM FOLO DI SINI

Jumaat, Oktober 09, 2009

Kebimbangan PAS berasas, BN manipulasi lebihan kertas undi

BAGAN PINANG: PAS melahirkan rasa bimbang terhadap proses pengundian pos yang dijalankan pada 8 dan 9 Oktober ini, lebih-lebih lagi selepas pengundian itu selesai, kertas-kertas undi yang tidak digunakan kerana pengundi tidak turun mengundi akan dimanipulasi untuk memenangkan BN.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Pengundian Pos PAS Pusat bagi Pilihan Raya Kecil Dun Bagan Pinang, Suhaizan Kaiat berkata pada kebiasaan pengundian pos yang dijalankan sebelum ini, lebihan kertas-kertas undi yang tidak diguna akan dihantar semula kepada ketua-ketua kem tentera berkenaan.

"Kebimbangan kita adalah bila pengundi yang tidak keluar mengundi, kertas undi mereka akan diserahkan kepada ketua-ketua kem masing-masing dan ia boleh dimanipulasi pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya ketika ditemui Harakah.

Ujarnya, ketua kem tentera sepatutnya berhubung dengan pengundi yang tidak turun mengundi dengan memposkan kertas-kertas undi yang tidak digunakan.

Bagaimanapun, beliau membangkitkan kebimbangan terdapat risiko semasa proses menghantar kertas-kertas undi pos disebabkan tiada pantauan daripada agen-agen calon.

Suhaizan berkata hal demikian telah dibangkitkan ketika pertemuan yang dibuat bersama Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof baru-baru ini.

Beliau turut mengetengahkan mengenai isu tempoh pengundian yang dipendekkan kepada dua hari sahaja berbanding lima hari pada pilihan raya umum ke-12, Mac 2008 lalu.

"Semasa PRU 12, kira-kira lima hari diperuntukkan untuk proses pembuangan undi pos dijalankan tetapi kenapa kali ini hanya dua hari sahaja?

"Ia menjadi tanda tanya dan menimbulkan keraguan kepada Pakatan Rakyat, apatah lagi tempoh yang singkat ini boleh menyebabkan ramai yang tidak sempat mengundi sekaligus memberi peluang kepada insiden yang tidak diingini berlaku," tegasnya.

Beliau hairan mengapa tiada arahan khas dari Kementerian Pertahanan bagi mewajibkan tentera keluar mengundi.

"Walau bagaimana pun, saya merasakan tidak sewajarnya pihak penjawat awam saeperti tentera mengarahkan anggota bawahan untuk menyokong mana-mana pihak termasuk menggunakan teknik ugutan yang boleh menyebabkan pengundi berasa takut dan berasa tidak bebas untuk memilih," ujarnya.

Berdasarkan analisis daftar pemilih yang dibuat di Bagan Pinang terdapat sekurang-kurangnya 15 pusat berdaftar pengundi pos. Berikut jumlah pengundi pos yang berjaya dikesan mengikut lokaliti:

Pusat pemilih pos berdaftar dan jumlah

1. BALAI POLIS TELOK KEMANG = 28

2. IJED KEM KG SAWAH = 847

3. IJED KEM SI RUSA = 55

4. ILMI PORT DICKSON = 103

5. IPDA PORT DICKSON = 407

6. KAD KEM SUNGGALA = 1,130

7. KOMPENI KPD KEM SI RUSA = 265

8. MARKAS STAF GARISON = 1

9. MARKAS STAF STESEN PORT DICKSON = 98

10. PLATUN SERBA BHG. 1 KOMPENI ANGKUT = 2

11. PONDOK POLIS BATU = 2

12. PUSASDA KEM SI RUSA = 1,903

13. SEK. PENG. TENTERA DARAT PORT DICKSON = 57

14. SEKOLAH PERTUKANGAN PERINTIS = 105

15. WORKSHOP BRIGED KEM KG SAWAH = 165

Jumlah pemilih pos berdaftar di pusat = 5,168

Tiada ulasan: