BAGAN PINANG: Kejayaan PAS mentadbir di Kelantan selama 19 tahun membuktikan parti itu mampu melaksanakan dasar 'Membangun Bersama Islam' seperti yang digariskan.
Calon PAS Pilihan Raya Kecil Dun Bagan Pinang, Zulkefly Mohamed Omar berkata negeri Cik Siti Wan Kembang itu berjaya dipimpin oleh golongan berstatus ulama walaupun dikenakan pelbagai sekatan dan tekanan.
"Kejayaan negeri yang dipimpin Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz membangunkan jiwa insan dan material di Kelantan membuktikan PAS dan Islam berupaya memerintah," katanya ketika berucap di majlis perasmian Pameran Kenali Kelantan bertema 'Kelantan Dinamik' di Unit Peti Undi (UPU) Bagan Pinang, baru-baru ini.
PAS sekarang, ujarnya bukan lagi sekadar sebuah parti politik biasa, bahkan ia sudah berupaya memerintah sebuah negeri.
"Ini merupakan bukti keupayaan PAS dan berharap pengundi memberi peluang untuk melakukan perubahan di Bagan Pinang pada kali ini," katanya.
Sementara itu, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato' Ustaz Ahmad Yaakob berkata program yang dianjurkan ini adalah bertujuan untuk memberi gambaran sebenar mekanisma dan program yang dilaksanakan Kerajaan Negeri Kelantan dalam membangunkan negeri tersebut berpandukan Islam.
"Ia adalah sebagai penerangan secara terus daripada kami bagi menjawab segala tohmahan dan fitnah yang dilemparkan pihak yang tidak senang dengan kami sebagai sebuah kerajaan Islam," ujarnya dalam ucapan perasmian program tersebut.
Selain itu, beliau yang juga Yang DiPertua PAS Tumpat menegaskan Umno-BN tidak perlu takut dengan Islam yang dilaksanakan dalam bentuk amalan kehidupan apatah lagi sistem pemerintahan.
"Apa yang kita takut ialah BN tidak suka kepada Islam kerana PAS kini menjadi pemerintah di peringkat negeri dan pembangkang Persekutuan kini berusaha untuk menjadikan Islam sebagai dasar.
"Cuma yang menjadi kebimbangan adalah tidak kira siapa yang menyampaikan Islam ianya perlu didokong," katanya kepada mereka yang hadir.
Tegasnya, apa yang penting adalah menjadikan Islam sebagai budaya untuk mendaulatkan Islam agar ianya dapat dibuktikan kepada umum dan bukan sekadar retorik atau omongan kosong.
Walaupun peruntukan dari Kerajaan Pusat disekat ke negeri itu, ia tidak menghalang usaha untuk melaksanakan apa yang telah digariskan.
Turut berucap pada majlis tersebut, Exco Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi, Dr Mohd Fadzli Dato' Hassan, dan Ketua Pegawai Operasi Perbadanan Menteri Besar Kelantan, Ir Abdul Ariffahmi Abdul Rahman.
Program 'Pameran Kenali Kelantan' yang diadakan di Bagan Pinang anjuran Kerajaan Negeri Kelantan merupakan kali pertama diadakan di luar negeri tersebut bagi memberi penerangan mengenai program dan inisiatif PAS sebagai sebuah kerajaan.
Hadir sama Exco Pembangunan Belia dan Sukan, Abdul Fatah Mahmood, Adun Bukit Tuku, Abdul Fatah Harun, Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusof, serta Timbalan Exco Urusetia Pembangunan Wanita dan Keluarga, Rohani Ibrahim.
Antara program menarik yang dianjurkan sepanjang program dari 3 hingga 10 Oktober itu termasuk pameran oleh agensi-agensi kerajaan seperti Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan, Perbadanan Menteri Besar Kelantan, urusetia Penerangan Negeri Kelantan, persembahan Dikir Barat, 'Bekwoh' atau Kenduri sekampung dan banyak lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan