KEMPEN Pilihan Raya Kecil Bagan Pinang masuk hari yang ketiga (5 Oktober 2009), dan kedua-dua parti yang bertanding terus memperkuatkan jentera penerangan dan kempen, ulas Wan Nordin yang bertugas di Bagan Pinang.
Di beberapa Unit Peti Undi (UPU) yang terletak tidak jauh antara satu sama lain, petugas-petugas masing-masing giat menggantung bendera, kain rentang dan tidak kurang yang mengedar risalah parti masing-masing.
Perang poster di tepi pantai sepanjang jalan Telok Kemang ke Pekan Port Dickson mula menghiasi liku-liku kempen kedua-dua calon.
Bermula sebelum penamaan calon lagi, kempen Umno-BN mula digerakkan dengan 'wang' diangkut ke sana ke mari dan janji-janji manis mujla dihamburkan kepada para pengundi dengan pelbagai gelagat.
Di Kampung Baru Sirusa, Desa Sirusa, Ladang Sua Betong, Ladang Atherton dan Telok Kemang serta di sepanjang jalan menuju ke pekan Port Dickson, jentera BN mundar mandir ke sana-sini dengan anak-anak mudanya menaiki motorsikal menunjukan aksi ala 'mat rempit'.
Walaupun akhbar milik Umno-BN menjalankan dakyah kononnya petugas Pakatan Rakyat ganas dengan dakwaan mengganggu jentera BN selain kes lakonan dipukul pemuda PAS yang disempurnakan oleh Ketua Putera Umno, Abdul Azeez Abdul Rahim, namun hakikatnya sebalik.
Jentera BN turut menggerakkan beberapa agensi kerajaan selain aksi liar anak-anak muda mereka melakukan provokasi setiap kali melintasi Markas Operasi PAS di Bagan Pinang atau terserempak dengan penyokong PAS.
Beberapa buah van dan kereta rasmi jabatan kerajaan dengan sengaja digunakan dalam program-program kempen BN, malah sekolah dan premis kerajaan dijadikan pusat menggempur minda rakyat.
Tidak kurang, kem-kem tentera yang begitu banyak menghiasi Telok Kemang terus menjadi sasaran BN dalam berkempen. Larangan agar kem tidak dimasuki unsur kempen tidak diendahkan. BN masuk dengan 'gambar' dan logo kementerian.
Kementerian Pertahanan antara yang menjadi sandaran kerana ia adalah kementerian yang menjaga hal ehwal anggota tentera.
Di sebelah malam, anggota polis dan pegawai cawangan khas (SB) dikerah seramai mungkin bagi mengawal ceramah PAS dan Pakatan Rakyat. Jalan raya sarat dengan kereta dan motorsikal berkuasa besar polis yang mundar-mandir semata-mata membawa VIP yang terdiri dari pimpinan Umno.
Paling menarik, petang 4 Ogos, ketika kempen diadakan berdekatan pusat penjaja di Batu 4, Jalan Pantai, seorang anggota pihak berkuasa tempatan dengan rakus membawa pisau untuk memotong kain pemidang kempen Pakatan Rakyat yang digantung.
Kain rentang yang mempunyai maklumat dan fakta penipuan Umno-BN terhadap rakyat Negeri Sembilan yang digantung oleh jentera yang dikepalai Ahli MT KeADILan, Badrul Hisham Shaharin mahu diturunkan. Difahamkan atas arahan atasan.
Namun berikutan sikap tegas calon PAS, Zulkefly Mohamad Omar mempertikaikan tindakan anggota itu yang bernama, Mohd Zulfikar, kain rentang itu tidak diturunkan.
Begitupun, tinjauan Harakah di sebelah malam pula mendapati sebaliknya. Kata Badrul Hisham kain rentang yang sama telah diturunkan dipercayai oleh petugas Umno-BN.
Di pihak Pakatan Rakyat khasnya PAS, kempen yang bermula agak perlahan, kini kelihatan semakin rancak. Kehadiran tokoh-tokoh besar seperti Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak, Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin di Batu 9, pada malam ceramah selepas penamaan calon mencuri tumpuan.
Kira-kira 1000 penyokong menghadiri ceramah beliau yang turut dikuatkan dengan kehadiran Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad dan beberapa 'figur' KeADILan dan DAP setempat.
Begitu juga ceramah umum yang membabitkan Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mat Akin dan Ahli Parlimen Padang Serai, N Gobalakrishnan di Telok Kemang yang mendapat tarikan ribuan penyokong.
Sementara di sebelah siangnya, kempen calon PAS banyak dibantu dengan pimpinan PAS, DAP dan KeADILan masuk ke kawasan kampung dan perumahan.
Program edar kueh bulan yang dijalankan oleh Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat yang dikepalai Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof Rawa dan pembantunya, Yau Con Seng mendapat sambutan baik pengundi Cina di Taman Orkid.
Kempen dijangka akan lebih rancak menjelang hari-hari terakhir termasuk pada 8, 9 dan 10 Oktober yang dijangkakan kehadiran Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim membawa 'misi' memugar minda pengundi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan