BAGAN PINANG: Apa lagi yang mahu dibangga rakyat Bagan Pinang, sekiranya jolokan 'anak tempatan' yang diberikan kepada calon BN, Tan Sri Isa Samad hanya jolokan 'kempen' menyedapkan hati semata-mata.
Sedangkan Isa Samad sewaktu menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan selama 22 tahun gagal dalam menunaikan janjinya kepada rakyat, hatta di Dun yang diwakilinya sendiri iaitu Linggi tidak mampu mengadakan stesen bas.
Seorang penduduk Linggi, Sulaiman Akil 66, yang ditemui Harakah pada 4 Oktober lalu berkata, sejak 20 tahun lalu projek membina stesen mini bas Linggi di Pekan Linggi tidak disempurnakan.
Walaupun setiap kali pilihan raya umum berlangsung, janji untuk menyiapkan stesen ini diulang-ulang, namun hingga kini stesen bas yang dimaksudkan itu hanya tinggal jajni kosong sahaja, katanya.
"Dia (Isa) nak bertanding pula di Bagan Pinang. Mengaku nak bawa pembangunan dan macam-macam, tetapi di Dun yang diwakilinya sendiri tak selesai.
"Tengoklah stesen bas ini (sambil menunjukkan tapak stesen) hanya ada besi terpacak. Ini kita boleh sebut satu kubur Isa. Semuanya gagal tak siap-siap sampai sekarang," tegasnya yang juga seorang peniaga di Pasar Linggi.
Beliau menyeru rakyat di Bagan Pinang agar tidak termakan dengan kata-kata Isa dan janji kosong BN yang hanya akan merugikan rakyat. Sejak berpuluh tahun lamanya Isa Samad menjadi Menteri Besar, tetapi pembangunan hanya untuk kroninya sahaja, kata Sulaiman lagi.
Dalam tinjauan Harakah di Dun yang pernah diwakili Isa selama 22 tahun mendapati, projek stesen bas yang didakwa tidak disiapkan itu, terbukti hanya tinggal beberapa batang cerucuk besi dan simen lantai.
Besi yang sudah berkarat terbiar, menjadikan tapak itu dihuni oleh lembu dan 'orang kurang siuman' yang mundar-mandir di situ.
Tinjauan di sepanjang jalan Pasir Panjang menuju ke Pekan Linggi pula mendapati, keadaan jalan sangat teruk. Beberapa projek naik taraf jalan yang dibuat sejak beberapa tahun lalu gagal diselesaikan mengakibatkan permukaan jalan berlubang-lubang.
Ini termasuk usaha meluruskan jalan yang bersimpang siur juga tidak selesai, yang tinggal hanyalah kon-kon di bahu jalan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan