KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad membidas kenyataan Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad negara akan menjadi malap dan buruk sekiranya pentadbiran kerajaan berpindah daripada BN kepada pembangkang.
Idris menyelar kenyataan Mahathir itu serta menyifatkan mantan Presiden Umno itu mungkin sudah 'nyanyuk', 'buta huruf' serta gagal membaca fakta yang sebenar tentang kejayaan yang telah dicapai apabila pembangkang berjaya memerintah beberapa buah negeri.
"Umno sahaja yang memerintah merupakan satu kenyataan khurafat Mahathir sedangkan telah terbukti rakyat telah menolak BN dalam Pilihan Raya ke 12 lalu apabila lima buah negeri jatuh ke tangan Pakatan Rakyat..
"Teori Mahathir itu perlu ditolak. Kita juga dapat lihat kerajaan Kedah
yang terpaksa memikul 'biawak hidup' Umno. Hampir RM2.3 bilion kerajaan Kedah terpaksa menanggung hutang yang begitu teruk," katanya.
Idris juga memberi contoh bagaimana kerajaan PAS dapat mentadbir Kelantan walaupun mendapat kekangan perbelanjaan daripada kerajaan Persekutuan.
Katanya, kenyataan Mahathir juga dianggap tidak berasas kerana sewaktu pemerintahan PAS di Terengganu, kadar kemiskinan di negeri tersebut dapat dikurangkan dalam tempoh empat tahun pemerintahannya.
Selain itu katanya, pemerintahan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang tidak menjejaskan kedatangan pelabur asing ke negeri tersebut dan diisyitharkan oleh Transparency International berjaya mengurangkan kos perbelanjaan sebanyak RM 36 juta.
Ustaz Idris juga menegaskan dakwaan Mahathir juga tidak relevan kerana pemerintahan Pakatan Rakyat di Selangor berjaya 'merakyatkan' ekonomi negeri tersebut.
"Sewaktu pemerintahan BN di negeri Selangor, kita dapat lihat bagaimana mereka menghabiskan wang rakyat. Khir Toyo membuat lawatan ke luar negara dengan perbelanjaan yang agak besar, menggambarkan bagaimana wang tersebut masuk ke kantung BN dan rakyat tidak mendapat apa-apa.
"Sebaliknya di bawah kepimpinan Pakatan Rakyat, kita merakyatkan ekonom sehingga rakyat dapat merasa. Kita memberi air percuma kepada rakyat. Wang tersebut dihabiskan untuk rakyat bukan untuk kroni-kroni," katanya.
Terdahulu, Mahathir dalam sidang media pada majlis wacana Dari Minda Tun, Ketuanan Melayu di Dewan Aspirasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, Terengganu menyatakan negara akan malap jika diperintah pembangkang kerana kebanyakan pemimpin pembangkang sanggup menukar pendirian semata-mata untuk mendapat populariti dan sokongan rakyat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan