TELOK KEMANG: Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan tidak mustahil PAS boleh menang dalam Pilihan Raya Kecil Bagan Pinang, walaupun laluannya sukar.
Menurut Ustaz Hadi, senario dalam pilihan raya umum lalu di Dun ini menunjukkan berlakunya lonjakan atau peningkatan undi yang ketara.
PAS melalui calonya, Ramli Ismail berjaya meningkatkan lebih 4000 undi, berbanding beberapa pilihan raya terdahulu, katanya.
"Kita berjaya capai lebih 4000 undi, sementara BN menang sekitar 6000 undi. Ini pencapaian yang kita tengok maju ke hadapan. Kita sedar payah menang tetapi tak mustahil kita menang di sini. Kita akan cuba mencapai kemenangan, " katanya kepada pemberita semasa ditemui di Pusat Penamaan Calon Dun Bagan Pinang dekat sini.
Ujar Ustaz Hadi lagi, semuanya terpulang kepada rakyat kerana merekalah yang berhak menentukan siapa wakil mereka di sini.
Bercakap mengenai calon PAS pula, Ustaz Hadi menyatakan isu Zuklefly Mohamad Omar bukan orang Bagan Pinang tidak timbul sebenarnya.
Ini kerana Zulkefly adalah anak watan Negeri Sembilan yang ditawarkan PAS sebagai calon dengan wibawa yang tinggi, bersih dan profesional.
Mengulas isu dan method kempen, Ustaz Hadi berkata pihaknya akan menjalankan kempen dari rumah ke rumah disamping ceramah penerangan isu-isu semasa.
"Nasihat saya kita kempen secara menerang bukan menyerang, sebarang ketegangan hendaklah dielakkan," katanya.
Sementara itu, Naib Presiden KeADILan, Mustaffa Kamil Ayub yang ditemui di lokasi yang sama turut yakin, peluang PAS tetap ada.
KeADILan katanya akan membantu sebaik mungkin jentera PAS bagi memastikan riwayat Umno di Bagan Pinang khasnya, Malaysia amnya tamat.
Mengulas mengenai pencalonan Isa Samad sebagai wakil BN, Mustaffa menyifatkan Umno ketandusan dan terdesak mencalonkan perasuah mewakili mereka.
Apa yang pasti, Umno/BN kini tertekan dengan kekalahan demi kekalahan sejak lapan pilihan raya kecil lalu,katanya.
Namun, dengan mood rakyat yang memihak kepada Pakatan Rakyat sejak 2008, beliau yakin peluang PAS melalui calon yang bersih dan berwibawa ini tetap ada.
Dalam pada itu, Setiausaha Parti Sosialis Malayisa (PSM), S Arutchelven pula menyatakan keyakinan PAS akan menang di Bagan Pinang.
Dengan mood pengundi yang ada, ditambah peratusan undi bukan Melayu yang mencecah 33 peratus, peluang Pakatan Rakyat melalui calon yang bersih tetap ada, katanya.
Beliau sendiri telah mengadakan tinjauan pandangan dan isu di beberapa ladang termasuk di Atherton dan Sua Betong menunjukkan peningkatan sokongan yang agak baik kepada Pakatan Rakyat.
Isu gaji minima dan kebajikan pekerja ladang menjadi fokus PSM dalam kempen di Bagan Pinang khasnya di UPU yang memiliki pengundi bukan Melayu yang ramai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan