KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, April 16, 2009

Kontroversi: Apa yang terjadi di Pattaya, boleh juga tercetus di Perak?

PAS menggesa Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak mengambil teladan atas apa yang berlaku di Pattaya, Thailand beberapa hari lalu, lapor Irwan Muhamad Zain. Kebangkitan rakyat Thailand itu merupakan manifestasi dari rasa ketidakpuasan hati mereka terhadap rampasan kuasa dan usaha menjatuhkan pemimpin pilihan mereka.

Setiausaha Agung PAS Pusat, Dato' Kamaruddin Jaffar menegaskan tidak mustahil rakyat Perak akan melakukan perkara yang sama jika Dewan Undangan Negeri (Dun) tidak segera dibubarkan bagi membolehkan mereka memilih dan menentukan siapa pemimpin dan kerajaan mana pilihan mereka.

"Keputusan pilihan raya kecil Bukit Gantang merupakan referendum rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) yang telah merampas kuasa di Perak secara tidak bermoral Februari lalu.

"Jika Dun tidak dibubarkan, PAS bimbang apa yang berlaku di Thailand akan turut terjadi di Perak dan jika ianya berlaku ia akan memburukkan lagi keadaan. Perdana Menteri sendiri telah melihat kesannya di Pattaya bila rakyat tidak berpuashati dengan rampasan kuasa jadi seharusnya Najib perlu bertindak segera," tegas Kamaruddin.

Beliau juga menegaskan BN tidak seharusnya mengenepikan suara rakyat di Bukit Gantang yang jelas menolak mereka dan penolakan tersebut juga merupakan petanda mereka tidak menerima kerajaan haram yang diterajui oleh Umno di negeri tersebut.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-14 dibatalkan 11 April lalu, selepas penunjuk perasaan anti kerajaan merempuh pasukan keselamatan dan menggempur pusat media di lokasi sidang kemuncak itu berlangsung.

Penunjuk perasaan anti kerajaan yang berbaju merah telah menyerbu pusat media berhampiran Hotel Royal Cliff sambil mengibarkan bendera dan menjerit slogan-slogan anti kerajaan. Mereka turut memecahkan tingkap.

Berikutan itu, Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva mengisytiharkan darurat di Pattaya, resort tempat persidangan itu berlangsung, terletak kira-kira 150 kilometer dari selatan ibu negera Bangkok.

Beliau turut mengisytiharkan darurat di kawasan sekitar wilayah Chonburi selepas penunjuk perasaan menggempur lokasi tersebut. Pembatalan Sidang Kemuncak ASEAN itu merupakan kejadian memalukan buat kerajaan Abhisit yang mula memerintah sejak Disember lalu.

Sementara itu, seorang pemimpin pembangkang, Jakrapob Penkair menyifatkan, kumpulan anti kerajaan telah mencatat kejayaan melalui pembatalan sidang kemuncak itu, namun katanya, bantahan akan tetap diteruskan sehingga Abhisit meletak jawatan.

Tiada ulasan: