KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, April 16, 2009

Artis Malaysia takut tanggung risiko bila sertai parti pembangkang? - Dr Abu Hassan



MEDIA di negara ini disaran memberikan ruang kepada artis-artis untuk menyatakan sokongan kepada mana-mana parti politik dan semua pihak perlu melihat tindakan ini secara lebih positif dalam menilai tindakan seseorang tanpa mengira siapa mereka, lapor Intan Abdullah.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Media, Fakulti Sains Sosial Universiti Malaya, Prof Dr Abu Hasan Hasbullah menegaskan tidak menjadi kesalahan bagi artis-artis ini untuk bertemu dengan mana-mana pemimpin politik sama ada dengan apa jua tujuan sekalipun.

"Kita sedia maklum, artis merupakan golongan public figure yang menjadi tumpuan dan mempunyai pengaruh seperti mana ahli politik tetapi mereka ini juga ada hak untuk menyukai dan menyokong mana-mana pihak," katanya.

Tambahnya, artis juga mempunyai pandangan mereka sendiri dan ia perlu dihormati oleh semua pihak sebagai satu proses keterbukaan dan demokrasi dalam negara ini.

Beliau yang merupakan salah seorang ahli dalam Zentrum Future Studies menentang sikap primitif sesetengah pihak yang tidak memberikan keuntungan kepada pembangunan tamadun.

"Secara peribadi saya berpendapat, tidak salah seorang artis bertemu dan bersalam dengan mana-mana tokoh politik yang disukai dan tiada siapa boleh memaksa mereka bertemu dengan siapa pun.

"Siapa yang menghalangnya dianggap tidak beradab dan tidak bertamadun malah setiap mereka sewajarnya mengamalkan prinsip budiman dalam penyebaran maklumat. Takkan kita nak paksa seseorang untuk bertemu dengan satu pihak sahaja," jelasnya panjang lebar.

Ditanya mengenai trend tersebut, beliau menegaskan sikap artis yang enggan mengakui sokongan mereka terhadap parti politik khususnya pembangkang adalah berpunca dari rasa tidak berani serta bimbang kesan tersebut akan memburukkan karier mereka.

"Saya berpendapat mungkin mereka belum berani untuk membuat deklarasi menyertai parti politik sebagai satu langkah berhati-hati setelah memikirkan tekanan terutamanya dari pihak industri dan peminat.

"Malah bukan sekadar golongan artis sahaja, malah para petani, nelayan bahkan ahli akademik pun turut sama bersikap demikian," katanya lagi.

Jelasnya, tindakan tersebut adalah kesan daripada pengalaman 'fear of factor' yang terhasil daripada kurun-kurun yang terdahulu.

Walau bagaimanapun ujarnya, masyarakat kini lebih memahami dan berupaya menilai sendiri pergolakan yang berlaku sekarang dalam situasi negara yang tidak stabil dari segi ekonomi dan politik.

"Masyarakat sekarang ini tidak perlu bimbang kerana setiap pihak patut meraikan pemikiran dan pandangan pihak yang berbeza. Jika sesiapa pun termasuklah artis mahu mengisytiharkan diri mereka sebagai pembangkang atau apa jua parti, itu bukanlah suatu jenayah bahkan ianya adalah hak mereka," demikian tegasnya.

Isu ini berbangkit ekoran permianan media yang menggembar-gemburkan penyertaan beberapa artis terkenal iaitu penyanyi nombor satu negara, Dato' Siti Nurhaliza dan lagenda rock, Amy Search ke dalam PAS baru-baru ini.

Pada 12 April lalu, bersempena program yang bertemakan ‘Jom Sertai PAS’, vokalis kumpulan rock Arrow Renggo atau nama sebenarnya Mohd Zin Ramli, 40 telah menyerahkan borang keahlian kepada Mursyidul Am parti itu, Dato' Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Tok Guru yang terharu dengan perkembangan itu turut didendangkan dengan tiga buah lagu yang disampaikan oleh Amy Seacrh itu iaitu 'Tiada Lagi', 'Mentari Di Ufuk Timur' (yang ditujukan khas buat Tuan Guru) dan 'Isabella'.

Bagaimanapun, Amy yang turut bersyukur dapat bersama lagi dengan Tok Guru yang menjadi 'idolanya', tidak menterahkan borang keahlian PAS. Katanya, pada waktu ini beliau ingin kekal imejnya sebagai seorang penyanyi rock dengan tidak menyertai mana-mana parti politik.

Tiada ulasan: