PORTAL berita mSTAR.Oneline melaporkan, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak hari ini mengumumkan Kabinet yang diistilahkan sebagai "Pasukan Baru" dengan dianggotai 28 orang sebagai menteri penuh dan 40 yang lain dilantik timbalan menteri.
Umumnya, saiz Kabinet baru ini yang diumumkan tujuh hari selepas Najib dilantik Perdana Menteri keenam adalah lebih kecil - hanya terdiri daripada 25 portfolio dengan perubahan banyak melibatkan wakil Umno termasuk dari Sabah dan MCA serta Gerakan.
Kabinet baru ini memperkenalkan dua kementerian baru iaitu Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dan Kementerian Perpaduan. Najib juga mengumumkan pembubaran dua kementerian dan pelantikan seorang Penasihat Ekonomi Negara bertaraf menteri diwujudkan. Ia diterajui oleh Najib sendiri.
Kementerian Penerangan kini dikenali sebagai Kementerian Penerangan Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan dengan diterajui Datuk Seri Dr. Rais Yatim. Ia diumumkan oleh Najib pada sidang media khas di sini pukul 3 petang tadi.
Najib dalam sidang akhbar 25 minit itu menekankan bahawa "sesungguhnya, Kabinet baru ini bukan sahaja merupakan satu pasukan baru dengan wajah baru, malah ia sebenarnya satu penyusunan semula peranan dan portfolio."
Malah katanya, Kabinet ini turut menjadi tanda kepada satu pendekatan baru pentadbiran kerajaan yang lebih telus, bertanggungjawab serta berfokus mendahulukan rakyat. Hadir sama pada sidang media Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dilantik Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran yang baru.
Sebelum ini, Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno, merupakan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri. Najib kekal portfolio Kementerian Kewangan I, Datuk Ahmad Husni Hanadzlah dilantk sebagai Menteri Kewangan II.
MUKA BARU
Antara muka baru yang dibawa masuk ialah Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin sebagai Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Anifah Aman sebaia Menteri Luar, Datuk Kong Cho Ha (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Tan Sri Koh Tsu Koon dan Mejar General Datuk Jamil Khir Baharom sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Koh bertanggungjawab ke atas hal ehwal perpaduan dan prestasi Kabinet manakala Jamil Khir berhubung hal ehwal agama Islam. Koh merupakan Presiden Gerakan yang turut dilantik sebagai Senator manakala Kong pula ialah Naib Presiden MCA.
SHAHRIZAT KEMBALI
Kabinet ini juga menyaksikan Ketua Wanita Umno yang baru, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil kembali menganggotai Kabinet dengan dijangka dilantik sebagai anggota Dewan Negara 4 petang tadi. Shahrizat kekal sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Turut bersama Kabinet baru ini ialah anak bekas Perdana Menteri, Datuk Mukhriz Mahathir yang tewas dalam pemilihan Ketua Pemuda Umno dua minggu lalu. Naib Ketua Pemuda Umno, Datuk Razali Ibrahim juga menganggotai Kabinet ini.
Bagaimanapun Ketua Pemudanya, Khairy Jamaluddin tidak disenaraikan. Ketua Puteri Umno yang baru, Datuk Rosnah Rashid Shilin turut disenaraikan dengan diberi tanggungjawab sebagai Timbalan Menteri Kesihatan.
NAIB PRESIDEN UMNO TUKAR PORTFOLIO
Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dilantik, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pula dilantik sebagai Menteri Pertahanan.Kedua-dua mereka kini Naib Presiden Umno ditukar portfolio berbanding jemaah menteri lalu.
Seorang lagi Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri manakala Datuk Mustapa Mohamed akan mengetuai Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
Seorang lagi Naib Presiden MCA, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen pula dilantik sebagai sebagai Menteri Pelancongan. MCA mengekalkan dua lagi jawatan Menteri iaitu Datuk Seri Ong Tee Keat sebagai Menteri Pengangkutan manakala Datuk Liow Tiong Lai kekal di Kementerian Kesihatan.
2 ulasan:
Salam Perkenalan...
www.qanunfiatdunia.blogspot.com
Tok Sago,
Selepas ini kita sama-sama lihat kerenah polis terhadap rakyat terutama pada penyokong parti pembangkang... adakah lebih berdisiplin atau lebih teruk lagi seperti pernah dilakukan oleh bekas menteri dalam negeri Syed Hamid Albar...?
Catat Ulasan