KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, April 23, 2009

Sidang Dun 7 Mei setelah kehakiman campur tangan dalam perundangan! Makin kusut - Nga Kor Meng



Nga Kor Meng sewaktu ditanyakan pelbagai soalan oleh Tarmizi Mohd Jam pada sesi intrebiu eksklusif bersama TVPAS.Com

Nga menyemak sepotong ayat al-Quran dari Ustaz Hassan Shukri untuk disampaikannya pada ceramah malam itu di Markaz PAS Pusat

Nga menghabiskan masa lebih satu jam di Restoran taqwa membicarakan pelbagai isu mengenai kemelut di Perak bersama kepimpinan PAS Kawasan Batu



Lebih 10,000 penyokong Pakatan Rakyat membanjiri Markaz PAS Pusat untuk mendengar penjelasan dan pembelaan "Ustaz" Nga Kor Meng sewaktu berceramah bersama Tok Guru Nik Aziz dan Sdra. Ann Wan Seng Ahad lalu.

PERKEMBANGAN terkini di Perak, makin rumit ekoran keputusan yang dibuat Mahkamah Persekutuan yang boleh dianggap menyebelahi BN. Ini kali pertama kehakiman campur tangan dalam urusan perundangan. Mengikut Artikel 72, Perlembagaan Persekutuan "no proceeding in the assembly shall be invalidated by any court in the country". Bagi mengupas isu ini, Pengarang Berita, TARMIZI MOHD JAM menjolok minda Setiausaha DAP Perak yang juga Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Meng pada satu sesi temubual eksklusif yang dihadiri sama TVPAS.Com di Bilik Mesyuarat, Markaz PAS Pusat, Taman Melewar.

Apa perkembangan terkini berhubung kemelut politik di Perak selepas Pilihan Raya Kecil Bukit Gantang? Keputusan Mahkamah Persekutuan telah memutuskan tiga calon yang melompat parti diisytiharkan sah dan gagal dikosongkan. Reaksi awal Saudara?

NGA KOR MENG: Ini lagi satu keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengecewakan khususnya berkaitan hak keistimewaan Tuan Yang diPertua DUN. Untuk mengisytiharkan kekosongan kerusi adalah termaktub dalam undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak dan juga perintah tetap. Di mana pihak yang berhak mengisytiharkan sesuatu kerusi kosong adalah Speaker Dewan.
Tetapi keputusan daripada Mahkamah Persekutuan adalah jelas, doktrin pengasingan kuasa di antara eksekutif, perundangan dan kehakiman seolah-olah sistem demokrasi berparlimen dalam negara ini sekarang menghadapi cabaran yang sengit.
Dulunya, kehakiman tidak pernah menceroboh ke bidang kuasa perundangan. Tetapi nampaknya kali ini, benteng pertahanan ini seolah-olah tidak wujud lagi. Saya percaya ini adalah satu permulaan atau kemerosotan yang amat membimbangkan kita khususnya kita yang mempertahankan sistem demokrasi berparlimen ini.
Keadaan ini juga menggambarkan rakyat yang dikhianati oleh mereka yang melompat parti tidak dapat dibela.

Perkembangan ini, mungkin bertitik-tolak dari campurtangan BN dalam SPR sebagaimana yang kita lihat di DUN Penanti. SPR membuat kenyataan akan mengkaji sama ada perlunya pilihan raya atau tidak, sedangkan mengikut peraturannya apabila kerusi di kosongkan maka pilihan raya mesti diadakan. Ini agak pelik?

Sebenarnya bidang kuasa SPR adalah jelas, di bawah Artikel 113 Perlembagaan Persekutuan iaitu undang-undang tertinggi tanah air kita. Tugas dan bidang kuasa SPR hanya untuk mentadbir supaya pilihan raya dijalankan secara licin, lancar dan bersih.
Tetapi seolah-olah kini SPR mengambil alih bidang kuasa Speaker dan membuat kenyataan berat sebelah. Misalnya semalam (18 April), semasa ditanya kenapa Pilihan Raya Kecil Bukit Gantang dibuat pada hari ke-58 selepas Allahyarham YB Roslan Shahrum meninggal dunia.
Setiausaha SPR yang dipetik berkata, "supaya Umno 'will be comfortable' untuk menyesuaikan jadual pemilihan parti". Ini telah menunjukkan seolah-olah SPR telah hilang pendirian berkecuali.
Dan hari ini (19 April) juga dipetik Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz dilaporkan berkata, jika pengundi di Dun Penanti tidak senang dengan pilihan raya kecil maka mereka boleh menghukum parti yang mengosongkan kerusi ini.

Nampaknya kenyataan itu berat sebelah?

Ini bukan kenyataan yang patut dibuat SPR. Ia sebagai pihak yang berkecuali. Ini menggambarkan integriti dan kewibawaan SPR sekarang memang perlu diperjelaskan lebih lanjut lagi.

Berbalik kepada keputusan Mahkamah Persekutuan yang membenarkan Menteri Besar Dato' Zambry Abdul Kadir dan enam exco kerajaan negeri yang lain, untuk masuk ke dewan pada 7 Mei ini. Bagaimana Saudara melihat perkembangan ini?

Mahkamah Persekutuan membuat keputusan dan mengisytiharkan keputusan speaker tidak sah di sisi undang-undang adalah satu peristiwa yang tidak pernah berlaku dalam sistem demokrasi berparlimen di seluruh Komanwel.
Ini kali pertama kehakiman campur tangan dalam urusan perundangan. Adalah jelas mengikut Artikel 72, Perlembagaan Persekutuan "no proceeding in the assembly shall be invalidated by any court in the country".
Tetapi nampaknya Perlembagaan Persekutuan kini sudah dicabul. Bagaimanapun setelah mengkaji lebih mendalam tentang keputusan Mahkamah Persekutuan, sebenarnya peguam Umno telah membuat sebelas permohonan. Yang dilaporkan oleh suratkhbar media arus perdana hanya dua sahaja dibenarkan. Sembilan lagi tidak dibenarkan tetapi tidak dilaporkan oleh media.

Apa maksud Saudara? Boleh jelaskan perkara "di bawah karpet" ini?

Ini adalah amat penting sekali untuk diperjelaskan. Peguam Umno telah memohon supaya Dato' Zambry dan enam exco dibenarkan masuk dewan. Permohonan ini tidak dibenarkan. Dia juga membuat permohonan supaya mahkamah mengisytiharkan persidangan tergempar di bawah "Pokok Demokrasi" diisytiharkan sebagai tidak sah. Permohonan ini juga tidak dibenarkan.
Dengan kata lain, persidangan di bawah pokok itu adalah sah. Maka tiga resolusi yang diluluskan semasa persidangan bawah pokok ini mempunyai kuasa terikat di sisi undang-undang.

Tiga resolusi yang diluluskan semasa sidang di bawah pokok?

Ya! Pertama, usul keyakinan terhadap Dato Seri Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak. Kedua, keputusan untuk membubarkan dewan dan memohon perkenan DYMM Sultan Perak juga dikekalkan. Ketiga, menerima laporan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Negeri untuk menggantung Dato' Zambry dan enam exco yang lain.
Ketiga-tiga usul ini adalah sah di sisi undang-undang. Maka jika kita percaya kepada rukun negara, kedaulatan undang-undang mesti diutamakan dengan satu jalan sahaja iaitu untuk menghormati resolusi yang diluluskan oleh persidangan Dun di bawah pokok. Bubarkan dewan, kembalikan hak rakyat! Ini adalah satu perkara sengaja dilupakan oleh media utama yang dikawal ketat oleh BN. Mereka tidak lapor dan tdak besarkan isu penting ini, kerana ia boleh gugat BN.

Apa tindakan lanjut Pakatan Rakyat, apabila keputusan ini memihak kepada BN? Dato' Zamry pun nampak "muka menang"...

Dengan tekad kita akan membela sistem demokrasi di negeri Perak. Pakatan Rakyat akan terus berjuang secara berhabis-habisan supaya hak rakyat dihormati, kerana kita percaya hanya rakyat adalah mahkamah tertinggi negara ini.
Mahkamah tertinggi negara ini bukan hanya Mahkamah Agung sebenarnya adalah mahkamah rakyat. Rakyat yang menentukan siapa yang harus mentadbir sesebuah kerajaan negeri bukannya oleh beberapa orang hakim ataupun satu pihak sahaja.
Kehendak rakyat mesti diberikan pengiktirafan dan penghormatan sewajarnya. Maka kita akan terus menyusun langkah tetapi tindakan kita akan adakan mesyuarat Pakatan Rakyat dalam masa terdekat untuk mengatur strategi menghadapi persidangan Dun yang telah dipanggil kononnya pada 7 Mei ini.

Tapi, bukankah Setiausaha Dun sudah hantar notis panggil sidang?

Ya betul. Seperti yang dilaporkan suratkhabar adalah jelas notis ini dikeluarkan oleh Setiausaha Dewan yang telah pun digantung tanpa pengetahuan dan persetujuan Tuan Speaker. Perkara ini tidak pernah berlaku dalam sejarah di Malaysia. Kita bayangkan di Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin tidak tahu di mana Setiausaha mengeluarkan notis panggil untuk bersidang.

Boleh jelaskan pembelaan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Abdul Rahman Hashim bahawa Setiausaha Dewan satu jawatan dibawah kuasa kerajaan negeri yang tidak ada kaitan dengan Speaker. Itu macam mana pulak?

Ulasan Dato' Abdul Rahman ini pada hemat saya kurang bijak. Ia menunjukkan pandangan yang begitu cetek sekali dan tidak faham perbezaan antara eksekutif, kehakiman dan perundangan.
Di mana-mana negara termasuk England 'House of Comman' ada staf sendiri. Di parlimen pun ada staf sendiri. Di dewan negeri pun sama juga. Maka setiausaha dewan ini walaupun dia penjawat awam tetapi dia tertakluk kepada kuasa dewan negeri. Dan pandangan Dato' Setiausaha Kerajaan Negeri ini, saya rasa amat kurang bijak sekali.

Saudara sendiri ketika berkempen di Bukit Gantang ada menyebut sepotong ayat Al-Quran dilaporkan sebagai salah dan menyeleweng oleh sekutu Umno/BN dan sehingga mereka membuat beberapa laporan polis. Bagaimana Saudara melihat isu ini digembar-gemburkan oleh BN?

Isu membaca ayat Al-quran ini sepatutnya tidak menjadi kontroversi. Sebagai anak Malaysia kita menghormati Islam sebagai agama rasmi, dan kita tahu kitab suci Al-quran mengandungi ilmu yang tinggi.
Adalah baik bukan sahaja muslim, tetapi mana-mana masyarakat patut menghayati dan memahami ajaran Islam supaya kita dapat memupuk perpaduan nasional yang padu dan muhibbah yang sejati. Apabila saya baca Al-quran saya baca dengan perasaan cukup hormat dan takzim.
Saya menggunakan ayat dari Surah An Nahl ayat ke-90. Intonasi saya mungkin kurang sempurna kerana baru belajar (membacakan ayat tersebut) yang bermaksud "Tuhan adalah mengajar kita berlaku dengan adil dan penuh dengan belas kasihan".
Saya menggunakan ayat suci ini untuk menjelaskan kepada pengundi di Bukit Gantang supaya jangan tertipu dengan tohmahan oleh Umno bahawa calon Pakatan Rakyat Dato' Seri Mohamad Nizar Jamaluddin adalah seolah-olah menggadaikan hak orang Melayu kerana memberi tanah Kampung Baru kepada orang Cina yang miskin.

Apa kaitan ayat itu dengan isu yang dibangkitkan?

Saya menggunakan ayat ini untuk mempertahankan bahawa dasar yang digubal oleh Dato Seri Nizar adalah untuk menjaga kebajikan semua kaum, kerana Islam mengajar kita berlaku adil dan penuh dengan belas kasihan khususnya mereka yang tidak bernasib baik dan miskin.
Maka salahkah memberikan rumah kepada mereka sebagai tempat berteduh. Tidak salah? Tetapi, ini menunjukkan Dato' Seri Nizar mempunyai keimanan dan kesedaran yang tinggi untuk membela nasih orang susah.
Oleh kerana, mungkin Umno sudah muflis politik dan tidak ada apa-apa isu lagi untuk dibangkitkan, maka isu ini kita tahu bukan sahaja mereka menggunakan laporan polis dan menakutkan masyarakat Tiong Hua yang cuba mengenali Islam maka saya diburuk-burukkan.

Pada waktu itu, apa yang Saudara fikirkan tentang Islam?

Saya nak tanya, jika masyarakat bukan Islam tidak dibenarkan membaca ayat Al-quran bagaimana mereka hendak menghayati Islam? Ini adalah satu pendekatan yang begitu menyedihkan rakyat Malaysia.
Kita bukan sahaja menggalakkan, misalnya apabila saya masuk universiti, kita kena baca Sejarah Islam begitu juga semasa tingkatan enam. Semasa di tingkatan enam, mungkin saya boleh kongsi sedikit, saya merupakan pelajar ACS pertama yang mendapat gred A1 untuk subjek Kesusasteraan Melayu.
Kita baca buku 'Hikayat Hang Tuah' dan 'Sejarah Melayu'. Kesusasteraan Melayu yang begitu cantik sekali, ada diselitkan unsur-unsur Islam di dalamnya maka jika kita (orang bukan Islam) langsung tidak dibenarkan baca maka selama-lamanya kita tidak akan memahami Islam.

Apa yang Sauadra harapkan dari tindakan Saudara itu?

Saya bukan sahaja menggalakkan bukan Islam mengenali Islam. Orang Islam juga patut diberi mengenali agama Buddha, Kristian dan lain-lain. Supaya mereka tidak lagi berlaku salah faham. Tidak ada lagi 'miss communication', tidak ada curigai antara satu dengan yang lain. Saya harap pihak yang tidak bertangunggjawab ini jangan lagi memutar belit keikhlasan saya untuk mengenali Islam.

Mursyidul Am PAS, Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat antara yang awal membela Saudara ketika Saudara digodam oleh BN dalam isu ini. Apa reaksi Saudara?

Saya benar-benar terharu serta mengucapkan ribuan terima kasih kepada Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat secara terbuka membela dan mempertahankan saya. Malahan memuji saya supaya tekun belajar. Saya ni... jika silap mohon ditunjuk ajar. Tetapi kita mesti belajar dan terus belajar untuk menimba ilmu.

Tiada ulasan: