KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, April 30, 2009

Jika pentingkan diri, PAS sudah lama berkerjasama dengan BN - Salahuddin Ayub


JIKA PAS mementingkan diri sendiri dan tidak mengutamakan aspirasi rakyat, ia kini berada dalam kerajaan negeri Perak, kata Ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub.

"Ogos tahun lalu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak ketika itu, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali telah membuat pengumuman menawarkan satu perkongsian kuasa dengan PAS bagi membentuk kerajaan di Perak dan sanggup menerima Adun PAS sebagai Menteri Besar Perak.

"Jika kita mementingkan diri, sudah tentu kita menerima tawaran itu dan mencampak ke tepi aspirasi rakyat yang menolak Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya 8 Mac tahun lalu," katanya ketika mengulas dakwaan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang menuduh perjuangan PAS hanya untuk kepentingan diri sahaja.

Kemarahan Menteri Dalam Negeri itu berpunca dari tindakan kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang dilaporkan menarik balik cadangan pembentukan kerajaan perpaduan.

Salahuddin mengulangi penegasan bahawa PAS mahu membentuk kerajaan yang direstui rakyat dan bukan melibatkan diri dalam kerajaan bangsawan baru yang tidak tahu lagi memahami keresahan rakyat.

"Jika PAS mementingkan diri, sudah tentu ia akan berlari-lari mengejar dan menyertai kerajaan elit Umno BN yang disifatkan oleh rakyat sebagai lost touch dengan mereka - langsung tidak memahami atau buat-buat tak faham keresahan mereka.

"Jika PAS mementingkan diri, sudah tentu PAS menyertai kerajaan yang pernah dijangka oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai kerajaan perasuah sebelum pemilihan Umno dan selepas pemilihan pula beliau menyifatkan kerajaan pimpinan (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) sebagai kerajaan yang turut dianggotai oleh mereka yang berperangai keji," kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu.

Salahuddin juga membangkitkan kenyataan Dr Mahathir yang menyifatkan tindakan Umno BN yang mengambilalih pemerintahan di Perak sebagai sesuatu yang bertentangan dengan undang-undang (in conflict with the law).

"Kenyataan Dr Mahathir menunjukkan mereka yang mengambil alih kerajaan Perak adalah kaki langgar undang-undang. Adakah tidak mementingkan diri bermakna berkerjasama dan mewujudkan perpaduan dengan kaki langgar undang-undang?!" beliau mempersoalkan.

Salahuddin juga menunjukkan SMS yang diterimanya. SMS itu menyatakan, "Dulu kerajaan anak-beranak, kini kerajaan suami isteri".

"Saya tidak tahu SMS ini ditujukan kepada siapa. Tetapi adakah tidak mementingkan diri itu berkerjasama dengan kerajaan anak-beranak atau kerajaan suami isteri? Kalau kerajaan suami isteri, adakah buat keputusan atas katil dan kita pula mesti menjadi kuli kepada keputusan mereka supaya tidak dituduh mementingkan diri?"