KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, April 16, 2009

Vokalis kumpulan rock Arrow, Renggo terpanggil sertai PAS bila dengar amanat spontan Tok Guru Nik Aziz!


Kunjungan Tok Guru Nik Aziz dan makan tengahari di Restoran Cheng Ho milik Amy Seacrh di Wangsa Maju tahun lalu

Renggo dari kumpulan rock Arrow menyerahkan sendiri borang menyertai PAS kepada Musryidul Am PAS, Tok Guru Nik Aziz Nik Mat

PROGRAM 'Jom Sertai PAS' gempar apabila vokalis kumpulan rock Arrow, Renggo atau nama sebenarnya Mohd Zin Ramli, 40 telah mengejutkan ribuan hadirin apabila beliau menyerahkan borang menyertai PAS kepada Mursyidul Am, Dato' Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat pada majlis tersebut, lapor Salmah Mat Husin yang membuat liputan program tersebut.

Renggo menyerahkan sendiri borang itu kepada Tok Guru Nik Aziz yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri di atas pentas sebelum majlis berakhir.

Turut menyaksikan majlis yang penuh bersejarah itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS, Dato’ Ahmad Yaacob, Exco Kerajaan Negeri, Haji Abdul Fatah Mahmood, Ahli Parlimen Kota Bharu, Dato’ Wan Abdul Rahim Abdullah di samping beberapa orang pimpinan peringkat parti.

Renggo yang berasal dari Tanah Merah Kelantan terkenal dengan jolokan 'Raja Syahdu' adalah antara 50 orang anak muda yang turut menyertai PAS dalam kempen "Jom Sertai PAS" yang julungkali diadakan di peringkat negeri.

Menurut Renggo, beliau bersedia sertai PAS setelah tertarik dengan ucapan Tok Guru ketika merasmikan majlis berkenaan, walaupun ringkas namun padat serta berisi dengan mesej yang baik. Beliau yang tidak pernah mendengar ceramah agama dari pimpinan PAS sebelum ini, mengakui ucapan Tok Guru hari itu cukup meresap ke dalam jiwanya.

Renggo hadir pada majlis itu bersama 'Raja Rock', Amy Search sempena majlis Himpunan Belia Sambutan Jubli Emas Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan.

Bagaimanapun Amy Serch yang menjadikan Tok Guru sebagai 'idolanya' tidak berbuat demikian. Katanya, untuk ketika ini beliau ingin kekal imejnya sebagai seorang penyanyi rock dengan tidak menyertai mana-mana parti politik.

"Namun pada masa hadapan saya belum dapat tentukan lagi keadaan saya, jika itu (sertai PAS) kehendak Allah tidak mustahil saya akan berbuat demikian," ujarnya.

Sambungnya, beliau bersedia menerima undangan Dewan Pemuda PAS Negeri atas dasar tanggungjawabnya tanpa melihat resiko pada masa hadapan, kerana beliau tidak pernah memikirkan soal itu.

Namun bagi Amy jemputan menghadiri program tersebut merupakan suatu rezeki Allah yang tidak ternilai, apa lagi dapat membuat persembahan di hadapan Tok Guru.

Amy ketika berucap pada majlis itu turut menceritakan saat mula beliau bertemu dengan Tok Guru yang turut hadir ke restoran miliknya, Cheng Ho di Wangsa Maju. Selepas itu bertemu lagi di tanah suci Mekah selepas tiga hari berada di sana untuk menunaikan umrah.

Peminat kedua-dua artis rock itu tidak melepaskan peluang untuk melihat Amy dan Renggo dari dekat disamping bersalaman dan bergambar sehingga memaksa pengawal keselamatan mengawal ketat ketika Amy menaiki kereta selepas majlis berakhir.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Media, Fakulti Sains Sosial Universiti Malaya, Prof Dr Abu Hasan Hasbullah menyifatkan sikap artis yang enggan mengakui sokongan mereka terhadap parti politik khususnya pembangkang adalah berpunca dari rasa tidak berani serta bimbang kesan yang memburukkan karier mereka.

"Kita sedia maklum, artis merupakan golongan public figure yang menjadi tumpuan dan mempunyai pengaruh seperti mana ahli politik tetapi mereka ini juga ada hak untuk menyukai dan menyokong mana-mana pihak," katanya. - Foto Rizal Tahir