KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, April 30, 2009

Pilihan Raya Kecil Dun Kota Alam Shah menyusul selepas Dun Penanti?

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam Shah, M. Manoharan, yang kini ditahan ISA di Kamunting dipercayai akan kosongkan kerusi


KEMUNGKINAN negara perlu bersedia untuk menghadapi pilihan raya kecil ketujuh? Kemungkinan ini mula 'terbayang' ekoran desas-desus bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam Shah, M. Manoharan, yang kini ditahan di Kamunting akan melepaskan kedudukannya, lapor G Manimaran dan Ariffuddin Ishak untuk mSTAR.Online.

Bagaimanapun sama ada beliau, antara pemimpin Hindraf yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), hanya akan diketahui Sabtu ini.

"Saya tidak mengesahkan apa-apa, tunggu sehingga Sabtu, saya menemui suami saya di Kamunting Sabtu ini," kata isterinya, S. Pushpaneela ketika dihubungi sebentar tadi.

Pushpaneela ditanya mengenai laporan media bahawa suaminya sudah memutuskan untuk melepaskan jawatan sebagai ADUN.

"Saya tidak tahu... tunggu sehingga saya menemui suami saya, tunggu saya di Kamunting Sabtu ini," katanya. Manoharan antara satu-satunya tahanan ISA yang bertanding dan memenangi pilihan raya umum 2008.

Beliau merupakan antara lima pemimpin Hindraf yang ditahan di bawah ISA sejak Disember 2007. Empat yang lain ialah P. Uthayakumar, R. Kenghadharan, V. Ganabatirau dan T. Vasanthakumar.

Bagaimanapun Kenghadharan dan Ganabatirau telah pun dibebaskan oleh Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak sebaik sahaja dilantik sebagai Perdana Menteri awal bulan ini. Walaupun dalam tahanan ISA, Manoharan bertanding dalam pilihan raya umum dan menang kerusi tersebut.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua ketika dihubungi turut mengesahkan mengetahui mengenai khabar angin tersebut.

"Ya kita juga ada mendengar khabar angin tersebut, tapi saya tak dapat pastikan mengenai kesahihannya," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyifatkan sebagai hanya satu spekulasi laporan sebuah laman web berita hari ini kononnya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor kawasan Kota Alam Shah, M. Manoharan, yang kini ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), sedang menimbang untuk melepaskan kerusi itu.

Beliau berkata isu itu timbul mungkin disebabkan bertambahnya bebanan tugas bagi setiap ADUN, termasuk kepada isteri Manoharan, S. Pushpaneela yang terpaksa menjadi wakil kepada suaminya.

"Tekanan dari permintaan untuk meningkatkan mutu perkhidmatan di setiap pusat perkhidmatan ADUN semakin bertambah tetapi isteri Manoharan telah mendapatkan beberapa pekerja untuk membantunya," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di sini hari ini.

Laman web berkenaan memetik sumber sebagai berkata Manoharan sedang menimbang untuk mengosongkan kerusi itu kerana kecewa tidak dapat memberi khidmat kepada pengundinya selain menyedari beban yang ditanggung isterinya kerana terpaksa membahagikan masa antara menjaga empat anak mereka dan menjaga firma guamannya serta kawasan pilihan raya itu.

Manoharan, penasihat undang-undang Hindraf, satu kumpulan yang diharamkan oleh kerajaan, ditahan pada 13 Disember 2007 bersama empat lagi pemimpin kumpulan itu.

Tiada ulasan: