KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, April 23, 2009

Jangan bunuh semangat demokrasi di Dun Penanti - Loke Siew Fook


KETUA Pergerakan Pemuda DAP, Loke Siew Fook menegaskan pilihan raya kecil tidak dapat dielakkan apabila berlaku kekosongan di mana-mana kerusi kerana ia bertepatan dengan prinsip demokrasi, lapor Anis Nazri.

Malah, katanya apabila seseorang wakil rakyat meletakkan jawatan, hak untuk memilih wakil rakyat baru harus dipulangkan kepada mereka (rakyat). Katanya demokrasi mesti disuburkan dan jangan kuburkan ia.

Mengakui setiap wakil rakyat harus bertanggungjawab dengan amanah yang diberikan rakyat sebelum ini, Loke bagaimana pun menyatakan penggubalan undang-undang untuk tidak membenarkan pilihan raya kecil diadakan tidak dapat menyelesaikan masalah.

Menurut Ahli Parlimen Rasah itu, kemungkinan dengan adanya undang-undang sedemikian akan menghalang mana-mana wakil rakyat yang terpalit dengan skandal rasuah untuk meletakkan jawatan.

"Jika dilihat di mana-mana negara maju pun, seperti di jepun contohnya, mana-mana pemimpin malah Perdana Menteri sekalipun boleh meletakkan jawatan atau digesa meletakkan jawatan jika bersabit dengan isu rasuah, salahguna kuasa atau apa-apa jua skandal yang merendahkan imej mereka. Perletakkan jawatan mereka itu juga (yang berkait dengan skandal) merupakan satu kebertanggungjawaban mereka," tegas beliau.

Bagi Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), Dr Nasir Hashim, untuk mengekalkan sistem demokrasi di negara ini, pilihan raya kecil wajar diadakan bagi memberi ruang kepada rakyat memilih wakil mereka.

Soal pembaziran wang yang dijadikan alasan BN, tegas Nasir yang juga Adun Kota Damansara, BN mungkin mempunyai sebab tertentu untuk tidak menyertai pilihan raya kecil Dun Penanti itu.

"Mungkin dengan beberapa siri pilihan raya kecil lalu yang tidak memihak kepada mereka, BN terpaksa melupakan pilihan raya kecil ini. Apatah lagi BN sudah banyak membelanjakan wang rakyat secara besar-besaran dalam setiap pilihan raya yang disertai mereka. Mereka mungkin ada sebab tertentu," tegas beliau.

Nasir turut menafikan bahawa kekosongan kerusi Dun Penanti merupakan satu keputusan politik bagi kepentingan pihak tertentu kerana setiap pertandingan itu mempunyai risiko menang atau kalah, biarpun di kubu kuat mana-mana parti sekalipun.

Tiada ulasan: