KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, April 23, 2009

Ekoran keputusan Mahkamah Persekutuan, krisis di Perak makin meruncing berlarutan!


NAMPAKNYA krisis politik di Perak semakin berlarutan dan tidak menampakkan tanda-tanda penyelesaian. Minggu lalu Mahkamah Persekutuan memberi keputusan yang membolehkan Dato Seri Dr Zambry Abdul Kadir bersama EXCOnya yang digantung oleh DUN, hadir sidang dewan. Ini membawa kepada pengeluaran perintah memanggil sidang DUN yang bagaimanapun dilanda masalah ekoran kedudukan setiausaha ewan yang sebenarnya telah digantung. Blogger TARMIZI MOHD JAM menemui pakar perlembagaan negara Profesor Dr ABDUL AZIZ BARI untuk mendapat pandangan mengenai isu-isu yang semakin kusut ini.

Nampaknya krisis politik di Perak tidak juga reda dengan kemenangan Pakatan Rakyat, khususnya dalam Pilihan Raya Kecil Bukit Gantang yang merupakan referendum terhadap Perdana Menteri Dato' Seri Mohd Najib dan rampasan kuasa di Perak awal Februari lalu?

PROFESOR DR ABDUL AZIZ: Ya, nampaknya begitulah dan ini menyedihkan kerana ia menyebabkan kepercayaan rakyat kepada institusi yang ada, yakni istana, mahkamah, perkhidmatan awam dan seterusnya terjejas.
Tetapi ini memang pendekatan 'bulldozer' Barisan Nasional (BN) yang jelas tidak mempedulikan keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang. Dan dalam keadaan seperti itu, saya tidak nampak bagaimana Pakatan Rakyat boleh kembali berkuasa di Perak dalam tempoh terdekat.
Mereka kena bersabar dan menunggu pilihan raya umum ke 13. Saya harap BN tidak main kotor. Melihat kepada perkembangan yang ada tidak mustahil mereka akan terus mengguna dan memanipulasi segala institusi yang ada hanya untuk kekal berkuasa. Cuma malangnya institusi-institusi berkenaan rela diri mereka dipergunakan.

Jadi profesor melihat institusi-institusi berkenaan rela dipergunakan?

Saya fikir begitulah kerana Mahkamah Persekutuan umpamanya mengambil pendekatan yang tidak memelihara perlembagaan sedangkan hakim-hakim – sebagaimana yang tertera di dalam sumpah jawatan mereka – lihat Seksyen 1 Jadual Keenam Perlembagaan Persekutuan – bertanggungjawab mempertahankan perlembagaan.
Dalam kes di Perak ini, bermula dari Mahkamah Tinggi di Ipoh kemudian ke Mahkamah Persekutuan di Putrajaya semuanya menyebelahi Barisan Nasional sedangkan peruntukan perlembagaan menentukan sebaliknya.
Saya lihat ini semua tak berbeza dengan senario yang kita lihat dalam kes-kes yang melibatkan bekas Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim bermula pada 1999 dahulu.

Boleh profesor ulas tentang keputusan mahkamah yang terbaru itu?

Saya telah menghubungi salah seorang peguam yang menangani kes ini dan beliau sendiri tidak pasti bila penghakiman bertulis akan dikeluarkan. Jadi masih belum jelas; yakni tentang asas kepada keputusan Tan Sri Alauddin Sheriff yang mengetuai panel lima hakim di situ.
Apa pun yang jelas kepada kita ialah Perkara 72(1) yang menjadi peruntukan penting tidak diberi perhatian. Ini saya fikir salah besar dan keputusan 'membebaskan' Zambry itu jadi salah kerana halangan besar di bawah Perkara 72(1) tidak ditangani atau dijelaskan oleh mahkamah.
Semua orang tahu, dibawah peruntukan ini sah atau tidaknya prosiding dalam DUN tidak boleh dipersoalkan oleh mana-mana mahkamah. Dengan kata lain mahkamah telah menceroboh masuk ke dalam kawasan yang tidak dibenarkan oleh perlembagaan.

Laporan mengatakan bahawa mahkamah menghukumkan bahawa Speaker V.Sivakumar tidak ada kuasa menggantung Zambry.

Baiklah, dari mana pula mahkamah dapat kuasa untuk menyemak kuasa atau kedudukan speaker itu? Laporan mengatakan mahkamah merujuk kepada Perkara 63 Perlembagaan Perak. Tetapi peruntukan ini hanya memberi autoriti untuk Mahkamah Persekutuan mentafsirkan perlembagaan negeri, bukan mempersoalkan kuasa speaker. Perkara 63 adalah peruntukan umum sedangkan Perkara 72(1) tadi adalah peruntukan yang khusus dan spesifik. Dari segi ilmu tafsiran yang umum tidak boleh mengatasi yang spesifik.

Kalau sudah begitu keadaannya bagaimana dengan beberapa perintah – yang dikatakan sepuluh kesemuanya – yang dipohon oleh pihak Umno?

Pada saya itu semua tertakluk kepada soal besar yakni kedudukan Perkara 72(1) tadi. Dan pada saya mahkamah gagal meyakinkan kita yang ia mempunyai autoriti untuk mengetepikan perintah speaker hanya dengan menggunakan peruntukan umum di bawah Perkara 63 Perlembagaan Perak.
Satu lagi isu ialah perintah-perintah itu selalunya terpakai dalam konteks agensi-agensi kecil yang diwujudkan oleh undang-undang contohnya majlis perbandaran, dan sebagainya.
Saya tidak pernah dengar ada kes di mana mahkamah mengeluarkan perintah melarang kerajaan (yakni eksekutif) atau badan perundangan (baik parlimen atau DUN). Saya fikir kita kena bezakan undang-undang pentadbiran dengan undang-undang perlembagaan.
Yang menjadi masalah di sini ialah apabila ada hakim dan peguam yang tidak jelas batasan antara kedua-dua bidang itu. Adalah tidak tepat untuk kita memahami, mentafsir perlembagaan dengan pendekatan dan metodologi undang-undang pentadbiran.

Profesor ada dilaporkan menyebut soal mahkamah menyimpang dari pendekatan dan keputusan yang dibuat selama ini? Boleh ulas sedikit...

Memang ada; tadi saya menyebut yang mahkamah tidak memberi perhatian kepada peruntukan pokok yakni Perkara 72(1). Sekarang saya nak sebut keputusan-keputusan yang konsisten; seperti kes Lim Cho Hock (1979), kes Tun Mustapha (1986) dan Haji Salleh Jafarudin (1986) yang kesemuanya melaksanakan peruntukan dalam Perkara 72(1) itu.
Jadi kes Zambry lwn Sivakumar ini lain pula. Sebab itu kita hendak tahu kenapa dia lain, apa alasannya. Saya berat mengatakan mahkamah membuat kesilapan dalam kes ini kerana ia melawan dan mengengkari yang lain-lain. Dan kita telah tunjukkan yang ia bertentangan dengan Perkara 72(1) yang begitu terang dan jelas.

Apakah ini bermakna Gobind Singh Deo dan Fong Poh Kuan – yang digantung dan pernah digantung - boleh mengambil tindakan ekoran keputusan Mahkamah Persekutuan oleh Tan Sri Alauddin itu?

Dalam konteks duluan mengikat (binding predent) nampaknya begitulah. Saya tahu nanti mahkamah akan mencari jalan untuk membezakan kes-kes itu. Tetapi rakyat bukan bodoh dan menerima bulat-bulat alasan mereka.
Sebab itu saya fikir dalam kes Perak ini mahkamah bukan sahaja salah tetapi juga telah dengan secara tidak langsung menyebabkan kredibilitinya dipersoalkan. Apalagi apabila di dalam korum itu ada hakim yang pernah mengambil kedudukan yang berbeza; contohnya Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin.

Boleh profesor jelas kedudukan Dato' Zulkefli ini?

Dalam satu kes yang melibatkan saman Dato' Seri Anwar Ibrahim tiga tahun lalu, Dato' Zulkefli tidak mahu memberi perhatian kepada soal prosedur yang Anwar bangkitkan dalam soal pemecatan beliau oleh Perdana Menteri Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad pada 1998.
Dalam kes itu Zulkefli terus pergi kepada isu pokok yakni kuasa Perdana Menteri dalam melantik dan memecat menteri cabinet. Ini memang betul: peruntukan perlembagaan dan amalan memang jelas. Jadi kedudukan dewan dan kuasa speaker pun begitu. Jadi saya pelik bila Zulkefli diam dan memilih untuk bersama dengan Alauddin dan yang lain-lain.

Maksudnya Hakim Zulkefli tidak konsisten?

Ya benar. Dan ini saya fikir tidak betul kerana undang-undang sendiri, melalui doktrin duluan mengikat atau 'binding precedent' mengkehendakki konsistensi dan ini perlu supaya undang-undang jelas dan tidak kabur. Kalau ia berubah-ubah, sekejap begitu dan sekejap begini dengan alasan yang pelik, tidak jelas maka undang-undang akan hancur dan hilang keberkesanannya.

Kalau begitu, apakah ini bermakna tidak bijak untuk menyelesaikan masalah politik melalui mahkamah?

Pada saya sistem politik yang matang dan 'advanced' tidak bergantung kepada institusi lain; baik mahkamah, istana apa lagi tentera. Ini semua berperanan dalam sistem atau negara yang demokrasinya tidak mantap.
Dan kita tahu kalau tidak ada keterbukaan maka akan berlaku penipuan dan manipulasi. Dan kita dapat hidu kesemuanya di sini. Memang mahkamah sering mendakwa ia boleh menangani soal politik tetapi kita juga tahu bahawa mahkamah memilih-milih dan apabila berasa ia tidak mahu campur nanti ia akan kata tidak ada bidangkuasa dan sebagainya.
Sistem yang adil, telus dan terbuka tidak memerlukan mahkamah kerana proses mahkamah kebiasaannya lambat, teknikal dan saya fikir boleh dimanipulasi. Di negara-negara maju ini tidak berlaku kerana di sana ahli-ahli politik bertarung di medan terbuka berbekalkan penampilan, karisma dan idea mereka. Bukan mencari jalan untuk mengelat dan mencuri!

Akhirnya, pada pendapat profesor, apa yang perlu pemimpin Pakatan Rakyat lakukan?

Saya fikir mereka tahu benar yang sistem kita berat sebelah dan institusi yang ada tidak mempunyai kredibiliti yang tinggi. Dengan itu mereka kena sabar dan terus bekerja untuk meyakinkan rakyat.
Isu-isu berkenaan dengan istana dan undang-undang ini perlu diperjelaskan supaya mereka tidak dituduh melawan istana dan mahkamah. Ini satu lagi hujah bangkrap yang dimainkan oleh BN yang menyedari bahawa majoriti rakyat tidak lagi bersama mereka dan BN sebenarnya hanya bergantung kepada institusi-institusi yang sanggup diperkudakan ini. Mereka tidak yakin dengan demokrasi.

Tiada ulasan: