KLIK JOM FOLO DI SINI

Jumaat, April 10, 2009

Cina dekati Islam salah? Umno tolak Islam, tak salah? - Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat




Berikut tulisan dan komen TUAN GURU DATO' NIK ABDUL AZIZ NIK MAT terhadap keceluparan Umno dan badan NGO yang telah membuat laporan polis terhadap Exco Kerajaan Perak, Nga Kor Meng yang berceramah memetik dan membaca ayat al-Quran sewaktu kempen pilihan raya kecil Bukit Gantang:

"SEPATUTNYA sudah lama benda al-Quran ini dibaca dan digunakan dengan meluas oleh semua orang termasuk oleh orang Cina". (Berita TV1 pada pagi 6 April 2009 dan rancangan Berita TV9 jam 8.00 malam).

Inilah lebih kurang, bunyi kata-kata saya sewaktu diminta mengulas penggunaan dan sebutan ayat al-Quran oleh Exco Kerajaan Negeri Perak, YB. Nga Kor Ming.

Sebagai penjelasan lanjut, izinkan saya berkata begini. Islam ini pada dasarnya diturunkan untuk membawa petunjuk. Ia sumber hidayah. Ia menjadi rahmat dan penawar. Nilai gunanya adalah untuk seluruh semesta alam.

Ia bersifat "rahmatal lil ‘alamiin". Ia berguna untuk seluruh umat manusia tanpa mengira perbezaan kaum, suku bangsa, warna kulit dan bahasa.

Sepatutnya, al-Quran itu boleh digunakan dengan jujur dan ikhlas oleh penggunannya tanpa mengira sesiapa. Pada saya, kesediaan YB. berkenaan yang cenderung menggunakan ayat al-Quran adalah satu permulaan kepada satu perkembangan yang cukup menggalakkan.

Tidak ada sebab ia tidak dialu-alukan. Jika dalam zaman awal Islampun, Abu Lahab yang bukan Islam itupun diizin membaca dan memahami surah Al-Lahab yang mencela beliau, maka apa pilihan kita untuk menutup hak bukan Islam untuk mendekati, membaca dan cuba memahami al-Quran ?

Isu ini bermula sebaik saja pemimpin Umno mencetuskan keresahan demi meraih perhatian untuk mendapatkan populariti dan simpati ke atas partinya yang semakin dibenci orang. Saya diberi faham bahawa isu asal hanyalah kecil. Isu yang berbangkit ialah nama surah sahaja yang disebut salah tetapi ayat yang dikutip dan diterjemahan adalah betul.

Bacaannya masih OK. cuma intonasi dan sebutannya saja yang sedikit tersalah. Tetapi, taklah pula bacaannya itu sebaik seorang qari musabaqoh atau tilawah. Hatta, ada juga orang Islam baka, yang sudah lama Islamnya sekalipun; masih tidak sempurna dari segi tertib dan tartil, dari segi sebutan dan tajwid serta lafaz panjang pendeknya.

Apa yang saya nampak, YB. berkenaan tidak mentafsir. Dia cuma membaca terjemahan "Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat kebaikan". Dia terjemah perkataan "ehsan" sebagai 'belas kasihan'. Itu saja.

Dalam Islam, ada satu perkara yang disebut "Li iilaafi-quraisy" seperti yang terkandung didalam surah Quraisy ayat 1. Maksud bergerak dari kalimat ini saya ertikan sebagai "menjinak atau menjinakkan". Menjinakkan siapa, jika tidak orang-orang yang belum Islam kepada Islam?

Di sini, apa salah orang Cina jika dia baca Quran dengan tujuan untuk berjinak-jinak dengan Islam? Jika katakan tersalah (katakan), maka dengan lemah lembut dibetulkan. Tak berbangkit sama sekali soal keperluan laporan polis oleh sesiapapun.

Pada saya, ini percubaan menutup ruang dan menyekat langsung laluan non-Muslim mendekati Islam seperti yang pernah dilakukan oleh sebahagian dari penguasa masjid di tempat-tempat tertentu yang menghalang orang non Islam dari memasuki masjid. Sedangkan dalam Surah ‘Abasa, jelas yang Nabi SAW menerima, menegur dan membimbing orang Islam dan non Islam di dalam masjid.

Berbalik kepada isu, jika orang Cina baca salah, maka apa jaminan yang orang Melayu yang kebanyakannya datang dari jenis Islam baka inipun turut tidak salah?

Hal ini boleh disahkan oleh guru-guru tajwid seluruh negara pada bila-bila masa. Ambil saja surah al-Fatihah yang menjadi ummul kitab. Saya tidak suka mencabar tetapi saya hampir pasti akan kekurangan yang juga turut melanda orang Melayu yang diperanakkan dalam suasana Islam sepenuhnya ini.

Satu lagi ialah apa gunanya Quran jika tidak untuk dibaca? Bagaimana orang bukan Islam mahu memahami jika diharamkan mereka dari bertatih membaca al-Quran. Ini permulaan. Kita kena faham.

Hatta, Saidina Umar sendiri di waktu belum Islam (kufur) sekalipun direkodkan pernah merampas sesuatu dari tangan adik beliau. Beliau lalu mendapati bahawa ia satu tulisan dari Surah Toha lalu beliau membacanya dalam keadaan genggam dan lepas.

Sebenarnya kufur zaman dulu adalah orang Cina atau Indialah di zaman sekarang. Sepatutnya, kita berbangga apabila orang bukan Islam boleh memetik dan cuba-cuba membaca ayat dari kitab suci kita.

Salah satu punca kelemahan dalam menguasai ilmu pembacaan al-Quran ini ialah tidak dapat menguasai tulisan jawi. Ini kerja siapa jika tidak dari kerja pemimpin Umno akibat dari "dasar anti-jawi" mereka yang amat dungu?

Pemimpin Umno yang sebelum inilah? Dalam keadaan pemimpin Umno yang meninggalkan Quran dan telah membunuh tulisan jawi itu, tiba-tiba, apabila ada pemimpin Cina membaca Quran dalam pelat yang dipandang salah, pemimpin Umno sibuk mendesak DAP mengemukakan permohonan maaf secara terbuka.

Disini soalan pertama saya, mana lebih besar dosanya, menolak Quran dan mengherdik hukum Islam dengan dosa cuba membaca al-Quran?
Soalan kedua saya, apa kata, jika dalam satu masa terdekat, ada pihak yang dapat membuktikan, ada juga pemimpin Melayu dari Umno yang membaca Quran dengan salah? Mahu atau wajarkah mereka dimalukan dengan dituntut membuat permohonan maaf secara terbuka?

Saya perlu ingatkan di sini bahawa kita sedang hidup di zaman teknologi maklumat (IT). Ingatlah bahawa bukti cukup mudah untuk dicari. Saya pernah tengok keajaiban teknologi internet yang ditunjukkan oleh kawan-kawan dan anak cucu saya.

Di sana ada kamera digital, adanya "youtube", ada 3G, ada pen drive, CD, email dan pelbagai lagi rangkaian produk rakaman yang cukup sofistikated.

Dalam hal begini saya lebih gemar kita semua melakukan muhasabah. Jika ditakdirnyalah, rakan-rakan kita dari yang "belum Islam" ini ada kekurangan dari segi sebutan ayat-ayat Quran, kenapa kita tidak berfikir untuk adakan kelas-kelas asas pengenalan ilmu al-Quran kepada non Islam?

Dalam hal ini, gunakanlah semua rangkaian radio dan telivisyen kita untuk mengadakan slot-slot rancangan berupa kelas "mesra al-Quran" seperti yang ada dalam rancangan "learn a word a day" atau belajarlah satu perkataan satu hari.

Mungkin juga ia boleh disusuli dengan kelas-kelas malam percuma di semua masjid dan surau. Mungkin juga, kelas-kelas tuisyen malam di sekolah-sekolah boleh juga diatur seperti sistem sekolah dewasa di awal tahun 60-an.

Atau, kita ada IKIM, JAKIM, YADIM dan Jabatan-Jabatan Agama Islam setiap negeri. Saya percaya, kita boleh melakukan sesuatu; mengambil kesempatan dan menafaat dari trend keghairahan baru yang sihat ini demi membangun bersama Islam dan mendekatkan non Islam kepada Islam.

Di sini, tidak bolehkah kita sama-sama cuba berfikir dalam kerangka pemikiran sebuah kerajaan. Janganlah terlalu mahu berpolitik secara berparti dalam serba-serbi sehingga segenap perkara hendak dipolitik mengikut syak wasangka kepartian.

Sikit-sikit menuntut maaf. Ini seperti yang didesak oleh Naib Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu misalnya dalam akhbar semalam bertarikh 7 April 2009. Sikit-sikit laporan polis. Sikit-sikit ini perkara perkauman, menghasut, sensitif dan boleh menimbulkan pecah belah.

Jika kita tidak sensitifkan isu ini maka tidak sensitiflah ia. Perkara ini bukannya susah sangat tetapi sengaja nak dikeliru dan nak disusah-susahkan. Mungkin dalam kekeliruan dan kemarahan yang sengaja di api-apikan itulah Umno mengharapkan dirinya dijulang.

Sekarang, orang sudah ramai yang cerdik. Ini khususnya di kalangan orang-orang muda. Mereka biasanya lebih cepat menghidu dan dapat membezakan terus antara durian dengan tempoyak.

Sebagai penutup, mari kita mendalami keluhan dukacita YB. Nga di atas pendirian terbaru Umno ini. Kata beliau, "saya berasa amat kesal apabila masyarakat Tionghua yang cuba mengenali Islam dan al-Quran melalui kitab berkenaan, tiba-tiba dihalang".

Pendek kata, pelik sungguh Umno ini. Dia tolak Islam tak salah. Orang Tionghua nak dekati Islam melalui bacaan al-Quran di kira salah?

Sejak kalah di dua bukit, Umno ini, betul-betul sudah menjadi sebuah parti yang meracau. Tidak cukup dengan seribu satu masalah di kedua tangan, dia masih menimbulkan masalah. Kehadirannya cukup menimbulkan serba salah. Ajaran yang dibawanya semakin sehari semakin salah.

7 ulasan:

SuaraMuda berkata...

Tajuk yang paling sesuai adalah "UMNO bersahabat dengan MCA dan MCI dihukum kafir... PAS bersahabat dengan DAP dan PKR tak dihukum kafir?"

Mana datang Surah Aura?

Mat Jan berkata...

Ada satu lagi "ORANG ISLAM PERANGAI LEBIH KAPIR DARI ORANG KAPIR"...

Tak caya tengok kedai MAGMUM, SPORT TOTO...HARD ROCK CAFE...

nyampahnya org kg ni... berkata...

Cina dekati PAS bukannya dekati islam... Umno jauhkan PAS bukannya jauhkan Islam...

Apalah mizi mat jam ni.... org pas mcm inikah????

Kulop Semai Bote berkata...

Apa la "nyampahnya org kg ni" tak reti bahasa. Nik Aziz dah jelaskan apa yang terjadi. Dah simpulkan dalam komen tu. Awat hang baca tajuk jer. Baca isinya. Hang belajar balik apa erti saya menganut Islam, baru tau apa yang yang hang komen kat tulisan Nik Aziz tu... begung tak habih-habih!

Pak Aji UM berkata...

Tahniah kpd Tok Guru Nik Aziz. Saya dah baca surat beliau kpd Nga Kor Meng kat blog Misbah. Tapi yang ini komentar Tok Guru mengenai kes yang berkaitan.

Sekurang-kurangnya, Nga dan orang bukan Islam lain terjaga dari kejutan Tok Guru itu.

Biarkanlah orang Umno dan pemimpin BN tuduh dan tohmah kerana niat mereka bukan untuk membetulkan, mengajar dan mendidik tetapi nak menggodam saja.

Sebab itu dah lebih 50 tahun MIC, MCA dan Gerakan sekarang PPP, IPF dan parti-parti sekutunya di Sabah dan Sarawak tak "berbau Islam" pun sebab Umno pun tak mahu Islam.

Alhamdulillah, bila PAS berkawan dengan DAP, pemimpin DAP boleh baca ayat al-Quran. Boleh berusrah bersama. Boleh belek-belek tafsiran al-Quran dalam bahasa Cina.

Ringkasnya, mereka ada kemahuan untuk tahu. Nak belajar. Sebut dan baca tafsirnya. Tidak seperti pemimpin bukan Islam sekutu BN. Mereka takut nak belajar, nak sebaut sebab pemimpin Umno ajar jangan buat begitu.

Kalau buat begitu kamu dicap pula sebagai PAS. Inilah politik dan lanskap yang ada di negara kita!

Hamid Albary berkata...

Harapan Tok Guru terhadap Nga Kor Meng

13 Rabiul Akhir 1430
9 April 2009

YB Encik Nga Kor Ming
EXCO Kerajaan Negeri Perak
Pejabat EXCO Negeri Perak
30000 Ipoh
PERAK DARUL RIDZUAN.



Menemui YB Encik Nga dengan ucapan salam sejahtera Yang Berhormat, Alhamdulillah, dengan izin Allah, saya telah mengikuti isu di sekitar percubaan YB untuk mengenali Islam melalui pembacaan Ayat-Ayat Al-Quran dengan tekun.

Saya juga terharu mendengar keluhan YB yang berbunyi “saya berasa amat kesal apabila masyarakat Tionghua yang cuba mengenali Islam dan Al-Quran melalui kitab berkenaan, tiba-tiba dihalang.

"Saya boleh memahami dan menyelami perasaan kecewa yang sedang melanda hati YB. Mudah-mudahan dengan sikap “tidak mesra Umno” dan pemimpin-pemimpin Umno tentang kecenderungan masyarakat Tionghua dan India yang sihat ini, ia akan meningkatkan lagi kesedaran Non-Islam untuk lebih mengkaji, mendalami dan mengadakan forum serta wacana mengenai Islam dengan cara yang lebih meluas.

Saya mempunyai sebuah impian. Dalam tempoh tidak berapa lama lagi mudah-mudahan akan muncul lebih ramai orang dari kalangan masyarakat Tionghua, India, Siam, Bajau dan Kadazan yang tampil menjadi Qari, Ustaz, Khatib dan Imam di seluruh negara. Kalau Jenghiz Khan yang mengetuai tentera Moghul menyerang dan memusnahkan hampir seluruh Kerajaan dan tamadun Islam di Kota Baghdad, tetapi sempat ditebus semula keagungan Islam melalui cucunya yang bernama Aurangzeb yang menegakkan empayar Islam di India kemudiannya.

Maka saya mempunyai keyakinan yang kuat bahawa Islam akan kembali gemilang di negara kita melalui kaedah dan insiden yang hampir sama. Mudah-mudahan YB lah orangnya yang akan meletakkan batu asas pertama ke arah menyusun batu bata yang kukuh ini untuk terus bertumpang tindih.

Mari kita bina asas ini dengan mengatur langkah-langkah permulaan melalui seminar, muzakarah, muqabalah, dialog dan wacana. Tajuk-tajuk seperti “dimana tak kenanya Islam” atau “apa mesej al-Quran kepada orang bukan Islam” bolehlah difikirkan. Anggota panel boleh terdiri daripada tokoh-tokoh PAS, Umno, DAP, PKR dan pemimpin-pemimpin NGO, pensyarah serta pendakwah bebas. Ia boleh dijadikan sesi kuliah bersiri yang boleh dianjurkan di PWTC, di masjid-masjid, surau-surau, kuil-kuil dewan-dewan perhimpunan, di universiti-universiti, baik di IPTS atau IPTA.

Sekali lagi saya mengucapkan syukur kepada Allah S.W.T di atas kekuatan dan keberanian yang ada pada YB. Terus tekun dan beristiqamahlah dalam mengharungi ujian-ujian ini. Insya Allah saya seakan-akan sedang melihat sekerdip lilin yang bercahaya di hujung sana. Marilah kita sama-sama ke sana.


MEMBANGUN BERSAMA ISLAM

TUAN GURU DATO’ HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT)
Menteri Besar Kelantan
Merangkap
Mursyidul Am PAS

Sumber: Misbahul Munir

Intan Payung berkata...

Kalau orang PAS rasuah, hampa terajang, pijak-pijak dia
Labels: DAP, Pas, Perak, Pilihan raya, Rasuah
Beberapa pengundi Cina di dalam kawasan parlimen Bukit Gantang berkata, "Undi PAS. Talak lasuah punya!" Dengar tu wahai orang PAS sekelian, depa undi PAS sebab depa yakin PAS tak rasuah!

Saya tak kata semua pengundi bukan Melayu mengundi PAS kerana mereka yakin PAS tidak rasuah. Masing-masing mungkin ada sebab masing-masing. Mana aku tau hati perut depa.

Yang saya nak tekankan di sini ialah mengenai sebahagian pengundi Cina yang mengundi PAS kerana mereka yakin PAS tidak rasuah. Orang-orang PAS bukan maksum. Dalam PAS pun mungkin ada banyak jebon, babun dan babi. Maksudnya jebon, babun dan babi dari segi perangai.

Contohnya kalau betul ada orang PAS yang bagaikan duduk atas riba pemimpin tertentu kerana laparkan balak, setan lapar balak tu tentulah berperangai seperti babi. Menyondol sana-sini mencari peluang.

Tetapi, apa sekalipun kelemahan orang-orang PAS, jangan terbiang nak melantak rasuah. Semua ahli dan penyokong PAS menjadi pasukan pemantau untuk memastikan para pemimpin PAS yang menjadi pemegang jawatan di dalam kerajaan tidak mentekedarah rasuah.

Kalau ada dan terbukti pemimpin PAS yang menjadi pemegang jawatan di dalam kerajaan yang mentekedarah rasuah tanpa sebarang keraguan yang munasabah, ahli-ahli dan para penyokong PAS mesti pakat-pakat ludah, tendang, sepak, terajang dan pijak-pijak itu binatang.

Jangan sama sekali mengamalkan 'asabiyyah. Saya petik hadith dari sumber mazhab Sunnah wal Jemaah mengenai 'asabiyyah:

Wathilah bin al-Asqa pernah bertanyakan makna 'asabiyyah kepada Nabi Muhammad s.'a.w.w, lalu Nabi yang suci menjawab: "('Asabiyyah ialah) kamu menolong kaummu atas kezaliman" (Riwayat Abu Daud)

"Sesiapa yang berperang di bawah panji kebutaan, marah kerana 'asabiyyah, menyeru orang lain agar bersikap 'asabiyyah atau membantu golongan asabiyyah, lalu terbunuh, maka kematiannya adalah jahiliyah" (Riwayat Muslim)
Jangan hanya pandai lawan Umno sahaja. Jika ada syaitan di dalam PAS, yang itu mesti diperangi dahulu. Ingat dan jangan lupa sama sekali, antara sebab orang sokong PAS ialah kerana mereka yakin PAS tak rasuah.

Tu satu perkara. Perkara kedua ialah mengenai undi yang diperolehi PAS dalam pilihan raya Bukit Gantang itu. Kenapa majoriti pengundi Cina mengundi PAS? Saya diberitahu oleh salah seorang pekerja pilihan raya PAS bahawa antara punca meningkatnya undi Cina ialah kerana para pemimpin DAP berkerja begitu kuat. Bak kata orang utara, mereka pulun sungguh. Tidak hairanlah undi Cina meningkat.

Pekerja pilihan raya PAS itu juga mengkritik para pemimpin PAS yang berlagak seperti negarawan. Tidak bergelumang bersama rakyat seperti yang dilakukan oleh, contohnya, para pemimpin PAS peringkat pertengahan dari Kelantan dan beberapa negeri lain. Malah, ada pemimpin PAS yang datang sebagai pelancong pilihan raya. Tau-tau nak tanya laporan perkembangan semasa. Jenis macam tu patut bubuh penampaq sampai dia pitam!

Saya pernah mengkritik mengenai sikap sebahagian pemimpin PAS yang berlagak seperti negarawan dan enggan bergelumang dengan rakyat dan pengundi dalam satu tulisan yang disiarkan akhbar Siasah selepas pilihan raya Pengkalan Pasir dahulu. Apa nak buat, kalau dah jenis berlagak, takkan habis perangai suka berlagaknya.

Para pemimpin PAS tidak berkerja sekuat para pemimpin DAP dalam pilihan raya Bukit Gantang itu. Itu yang diberitahu kepada saya oleh salah seorang petugas pilihan raya PAS. Saya tak tau benar atau tidak. Itu yang dilaporkan kepada saya. Lagi pun, saya bukan petugas PAS. Macam mana nak jadi petugas, saya hanya setakat penyokong Fasal 5 Perlembagaan PAS sahaja.

Saya hanya cari adik-beradik dan kawan-kawan saya di dalam kawasan Parlimen Bukit Gantang itu dan merayu mereka mengundi PAS.

Seorang petugas PAS yang lain pula mendakwa kepada saya bahawa Timbalan Presiden PAS memberitahu satu taklimat tengah malam selepas majlis-majlis ceramah bahawa PAS mungkin kalah. Saya tak tahu sama ada dakwaan itu benar atau tidak. Hanya Allah dan mereka yang mendengarnya sahaja yang tahu. Saya harap sangat tidak benar. Tetapi, kalau benar pemimpin tertinggi PAS bercakap macam Ketua Pemuda Umno cawangan, apa kelayakan beliau untuk menjadi pemimpin?!!

Kesimpulannya, jika PAS kehilangan undi yang sepatutnya ia perolehi, ia berpunca dari sikap berlagak negarawan, pemalas dan enggan turun padang habis-habisan beberapa pemimpin PAS.

Percayalah, kalau pemimpin rajin, kita nak buat perangai pemalas pun naik malu. Saya beri contoh dalam pilihan raya kecil Anak Bukit dan Pendang selepas Almarhum Ustaz Fadzil Noor yang dikasihi pulang ke pengkuan Kekasihnya.

Waktu itu, bila kami tengok Tok Guru Mursyidul Am berjalan dari rumah ke rumah untuk berkempen (masa itu beliau berkempen kepada masyarakat Cina), kami malu teramat malu nak tengok dari jauh sahaja atau menjadi penonton sambil duduk-duduk atas kereta yang berhawa dingin sahaja.

Kalau setakat nak berlagak negarawan dan malas bergelumang dengan rakyat dan pengundi, berhentilah jadi pemimpin PAS. Buat semak ja!!