KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, April 16, 2009

Mahkamah bersikap konservatif : Bagaimana nak pertahan Akta ISA yang zalim, kejam dan tidak berperikemanusiaan!


KEJAM, tidak bertamadun, zalim; itulah antara label yang diberikan oleh pejuang hak asasi manusia kepada Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960. Bagi pihak yang mempertahankannya pula, ia dianggap satu 'kezaliman' yang perlu untuk keselamatan dan ketenteraman negara.

Perdebatan tentang perlu atau tidaknya ISA berterusan dari semasa ke semasa dan isu ini menjadi hangat semula setelah Perdana Menteri yang baru dilantik, Dato' Seri Najib Tun Razak, dalam ucapan sulungnya selepas mengangkat sumpah menerajui kerajaan, mengumumkan bahawa kerajaan akan mengkaji semula secara menyeluruh akta ISA.

Pengumuman Najib itu disambut baik oleh pelbagai pihak termasuk daripada parti komponen Barisan Nasional (BN) sendiri yang mengharapkan akta tersebut dihapuskan atau dikaji semula.

Sejak diperkenalkan sehingga 2005, 10,662 orang telah ditahan di bawah ISA. Sejumlah 4,139 diberikan arahan penahanan secara formal, sementara 2,066 ditahan di dalam wilayah yang terhad dengan aktiviti yang juga terhad. Sehingga kini masih ada 27 orang yang ditahan di bawah akta tersebut dan belum dibebaskan.

Hujah terbesar bagi mereka yang menentang ISA ialah sifatnya yang membenarkan penahanan tanpa bicara, yang bertentangan dengan piagam asas hak asasi manusia.

Di bawah ISA seseorang itu akan ditahan tanpa sebarang perbicaraan atau pertuduhan. Ini bererti, seseorang itu tidak diberi peluang untuk membela diri, sebaliknya terus dipenjarakan tanpa disahkan bersalah. Seseorang yang disabitkan dengan ISA akan ditahan oleh polis sehingga 60 hari tanpa sebarang perbicaraan terhadap kesalahan yang dilakukannya.

Selepas 60 hari Menteri Dalam Negeri boleh membebaskan orang yang ditahan, atau melanjutkan tempoh tahanannya tanpa sebarang perbicaraan selama dua tahun lagi.

Jika Menteri Dalam Negeri mengarahkan supaya seseorang itu ditahan di bawah ISA selama dua tahun, orang yang ditahan itu kemudiannya akan dibawa ke Kem Kamunting, Perak untuk ditahan selama tempoh tersebut. Undang-undang membolehkan Menteri Dalam Negeri memperbaharui tempoh tahanan tersebut tanpa had.

Presiden Majlis Peguam Malaysia, Ragunath Kesavan berpendapat, akta tersebut bertentangan dengan prinsip "tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah. Ia tidak adil kerana menteri boleh mengeluarkan pelbagai kenyataan dan tuduhan di kahalayak ramai mengenai orang yang ditahan sedangkan orang yang ditahan tidak dibolehkan membela diri," katanya.

Seksyen 8(1) ISA memberikan kuasa budi bicara kepada Menteri Dalam Negeri untuk menahan seseorang untuk tempoh dua tahun "jika beliau berpuas hati" bahawa seseorang itu mengancam keselamatan negara dan sebagainya.

"Saya telah bertemu ramai tahanan ISA di Kamunting dan mereka tidak mendapat gambaran yang jelas apa tuduhan yang dikenakan kepada mereka. Mereka tidak diberi peluang untuk membela diri dan tidak tahu apa yang akan berlaku selanjutnya," kata Ragunath.

"Jika kita bersalah dan dipenjarakan, sekurang-kurangnya kita tahu apa penghujungnya," katanya dengan menambah bahawa ada di kalangan tahanan ISA malah ditahan lebih 15 tahun.

Katanya, mahkamah enggan mengkaji semula apa-apa berkaitan "keselamatan negara" dan hanya bersedia mengkaji aspek teknikal penahanan yang dibuat. Beliau menambah, umumnya mahkamah bersikap konservatif dalam hal ini biarpun Mahkamah Tinggi tahun lepas mendapati penahanan selama dua tahun editor Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin di bawah ISA sebagai tidak sah dan menyalahi undang-undang.

Pada asasnya ISA diperkenalkan dalam 1960 untuk membendung apa yang dipanggil ancaman komunis tetapi ia telah disalahgunakan untuk menahan pelajar, musuh politik, ahli Parlimen Pembangkang, ketua-ketua kesatuan, wartawan, malah pemalsu pasport negara.

Pengerusi Gabungan Mansuhkan ISA (GMI), Syed Ibrahim Syed Noh berkata, ramai orang hilang kehidupan normal mereka setelah ditahan di bawah ISA.

"Keluarga jadi berantakan dengan isteri minta cerai, anak-anak mengalami masalah mental, menjadi trauma dan perlu rawatan," katanya. Beliau turut mendakwa bahawa ramai tahanan ISA diperlakukan dengan kejam sewaktu dalam tahanan. Beliau mengambil contoh bekas tahanan ISA Abdul Malik Hussein yang mendakwa dipukul dan diseksa sewaktu ditahan pada 1998.

Kes lain katanya, Sanjeev Kumar yang didakwa menjadi agen asing, menjadi lumpuh daripada pinggang ke kaki.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Kelang, Shaari Sungib - yang pernah ditahan di bawah ISA - menjelaskan bahawa ISA bertentangan dengan ajaran Islam. Menurutnya beliau pernah mempersembahkan kajiannya tentang perkara itu kepada para mufti dan hanya seorang mufti sahaja yang didapati mempertahankan ISA.

Dato' Zaid Ibrahim, bekas Menteri Undang-Undang kerajaan BN pula berpendapat, ISA terlalu rumit, justeru ia perlu dimansuhkan sahaja, bukan mengkajinya semula. Zaid berkata, sekiranya benar-benar terdapat keperluan untuk mempunyai satu undang-undang tentang keselamatan negara seperti Anti-Terroris Act di Britain, maka undang-undang baru perlu dirangka dan ia perlu jelas dan adil.

Ragunath sependapat dengan Zaid bahawa ISA perlu dihapuskan sahaja, bukan mengkajinya semula. Adun Kota Damansara, yang juga Presiden Parti Sosialis Malaysia (PSM), Dr Mohd Nasir Hashim berkata Malaysia tidak memerlukan ISA dan ia juga perlu dihapuskan.

"Kita tidak perlukan ISA. Kewujudannya tidak betul. Jika kita ada ISA, kita tidak perlukan Perlembagaan. Ia bercanggah dengan hak asasi manusia dan kebebasan untuk membentuk persatuan," katanya yang pernah ditahan di bawah ISA bersama Lim Kit Siang dan Mohamad Sabu.

Sementara itu bagi Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Dato' Dr Maximus Ongkili - yang pernah ditahan selama 59 hari pada Januari 1991, semasa menjadi pegawai kanan Ketua Menteri Sabah, Dato' Joseph pairin Kitingan, dan pernah berhadapan dengan siksaan serta deraan akibat ditahan di bawah akta tersebut - masih mempertahankan kewujudan akta itu.

Menurutnya, akta tersebut masih diperlukan untuk menjamin keselamatan negara ini, namun cara pelaksanaannya perlu diperbaiki.

"Akta tersebut perlu digunakan hanya untuk keselamatan negara sahaja, bukan bertujuan untuk mendapatkan maklumat daripada seseorang yang difikirkan berbahaya," katanya.

Selain itu katanya, kuasa mutlak terhadap akta itu tidak harus terletak di tangan seorang individu sahaja kerana ia dengan mudah boleh disalahgunakan. Beliau menyokong penuh ISA dikekalkan tetapi ia hendaklah bagi tujuan keselamatan sahaja.

"Jika tidak bagaimana kita hendak menangani masalah terorisme? Selain itu, ISA tidak boleh ditentukan oleh seorang sahaja - jika tidak ia akan digunakan untuk tujuan politik," sambungnya. - Susunan MUHAMMAD NOR ABD SAMAD

Tiada ulasan: