KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, April 09, 2009

Keputusan Bukit Gantang bukti kemarahan rakyat terhadap "rampasan kuasa" BN di Perak



KEMENANGAN PAS di Bukit Gantang merupakan isyarat penolakan rakyat terhadap tindakan BN merampas Kerajaan Perak dengan cara kekerasan dan di luar batas perlembagaan, lapor Nyaza Ayob.

Perkara ini ditegaskan oleh Naib Presiden PAS, Ustaz Ahmad Awang sewaktu diminta mengulas mengenai kemenangan Dato'Seri Mohamad Nizar Jamaluddin dalam pilihan raya kecil Bukit Gantang.

Malahan katanya, kejayaan yang dicapai juga merupakan tamparan kepada Perdana Menteri, Dato' Seri Najib yang ingin membawa perubahan di bawah pemerintahannya dengan membentuk sebuah kerajaan yang dilihat memberi kebebasan kepada rakyat.

"Keputusan di Bukit Gantang serta Bukit Selambau merupakan cabaran yang beliau perlu sahut untuk mengambil pertimbangan bahawa kerajaan BN di Perak tidak diakui oleh rakyat. Tindakan Najib membebaskan 13 tahanan ISA serta menarik kembali penggantungan Harakah dan Suara Keadilan merupakn gimik politik beliau untuk meraih undi.

"Dakwaan Naib Presiden Umno, Dato' Seri Zahid Hamidi kononnya Bukit Gantang dipinjamkan kepada PAS melalui Pilihan Raya Umum ke-12 kini telah menjadi dakwaan kosong. Jadi keputusan pilihan raya kecil ini memberi isyarat kepada Zahid agar tidak mudah 'lembut lidah' membuat dakwaan tersebut.

"Jelas rakyat menolak pentadbiran dan pimpinan BN di Perak. Dalam proses untuk mengatasi krisi perlembagaan, mahkamah pada asasnya menerima tuntutan yang dibuat Nizar untuk mengisytihar beliau sebagai Menteri Besar Perak yang sah," katanya yang dihubungi sebaik sahaja keputusan pilihan raya kecil Bukit Gantang diumumkan.

Mengulas mengenai 75 peratus pemilih yang keluar mengundi, beliau percaya peratusan tersebut akan meningkat sekiranya pilihan raya diadakan pada hari cuti.

Ahmad juga berpendapat, sekiranya pilihan raya diadakan pada hari cuti, pengundi di kalangan anak muda juga akan meningkat.

"Kita dapati golongan muda ramai yang tidak pulang mengundi. Dan jika diadakan pada hari cuti, saya yakin kalangan pengundi muda yang bekerja di luar Bukit Gantang akan pulang mengundi," katanya.

Dalam pada itu Ahmad turut menganggap kemunculan semula mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir sewaktu kempen di Bukit Selambau dan Bukit Gantang hanya menjatuhkan imejnya sebagai seorang negarawan.

Tindakan itu katanya memberi tamparan kepada Mahathir kerana rakyat seolah-olah tidak peduli dengan kemunculan kembali mantan Presiden Umno itu.

Tiada ulasan: