Tidak susah untuk membandingkan mana yang bernas dan mana yang palsu dalam Bajet 2013 seperti terbentang sudah – di depan mata kita semua, dengan pelbagai janji muluk yang tentunya tersekat apabila ia mahu dilaksanakan kelak.
Walaupun cadangan Bajet 2013 yang dibentangkan Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim diejek oleh penyokong kerajaan – tetapi ungkitan Ahli Parlimen Marang yang juga Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang mempertikaikan status Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) yang diisi dalam Bajet 2007 – tidak siap hingga sekarang sepatutnya menjadi "bahan bukti" kepada rakyat untuk menjadi saksi bahawa bajet setiap tahun hanya "janji lunak" kepada manusia yang mudah lupa.
Kenyataan seorang timbalan menteri yang mengatakan mahasiswa yang berusia 21 tahun ke atas layak mendapat BR1M RM250 (seperti tulisan saya dalam Harakah Bil 1781) terpaksa diperbetulkan Kementerian Kewangan yang menafikannya. Anwar menyebut, RM21.6 bilion dalam pembentangan Bajet 2013 kerana berlaku banyak ketirisan. Khidmat hutang meningkat kepada RM8 bilion. Apakah rakyat terbanyak dapat memahami istilah "khidmat hutang" yang disebutkan?
Peningkatan sebanyak 56 peratus sejak 2009. Subsidi pula, RM17.2 bilion, peningkatan sebanyak 85 peratus. Walaupun ia lunak didengar kerana subsidi disalurkan bagi tujuan kebajikan, tetapi yang pasti untung dan kaya ialah "kroni mereka". Kata Anwar lagi, perbelanjaan perbekalan dan perolehan melonjak 28 peratus – daripada RM7 bilion kepada RM15 bilion berbanding jika dilakukan tender secara terbuka.
Memetik kata-kata Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Mohd Azmi Abdul Hamid, pemberian "one off" yang terlalu banyak akan menyebabkan sindrom kebergantungan. Apakah hanya mengejar populis, kerajaan mahu membunuh sikap berdaya usaha? Kali ini pembentangan Bajet amat banyak memberikan "one off" antaranya BR1M 2.0 kepada ketua keluarga yang berpendapatan RM3,000 ke bawah, bekas tentera yang berhenti tanpa skim pencen dan orang bujang berusia 21 tahun ke atas, berpendapatan RM2,000 ke bawah!
Manakala "Catatan Hujung Ahmad Lutfi Othman" menyentuh bajet kali ini tidak dapat menangani masalah ekonomi semasa secara holistik. Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dipetik sebagai berkata, setiap kali bajet dibentangkan, ia kelihatan cantik dan elok, tetapi "amanah dan intergriti" ketika perlaksanaan dan penyampaian juga perlu bagi mengelak rasuah dan ketirisan.
Perlu diingatkan kepada semua rakyat yang ingin tahu secara dekat bajet kali ini, ia telah mengulangi defisit untuk kali ke15! Sementara itu Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berpandangan bajet ini adalah "Belanjawan Dalam Kerugian". Jika dalam tahun 2008 hutang hanya RM266 bilion tetapi kini, 2013 sudah bertambah sekali ganda. Pesannya, urus tabir kena cekap, belanja kena berhemah!
Bila menyebut belanja kena berhemah, inilah yang tidak ada pada mereka di kalangan pemimpin BN. Itulah sebabnya bekas menantu Ketua Menteri Sarawak, Shahnaz Abd Majid, bekas isteri Dato' Mahmud Abu Bekir Taib mendakwa bekas bapa mertuanya mungkin orang terkaya di Malaysia.
Terbaru, Ketua Menteri Melaka yang didakwa menghabiskan RM13 juta untuk menyempurnakan majlis perkahwinan anak lelakinya telah menafikannya. Sebaliknya, beliau mengakui menghabiskan RM600,000 sahaja. Itu tidak termasuk wang hantaran perkahwinan, pengangkutan, hadiah dan lain-lain cenderahati, termasuk masa yang digunakan seluruh Exco Kerajaan Negeri, Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai-pegawai kerajaan dan pegawai-pegawai SLC yang terlibat dalam menyusun atur majlis tersebut.
Jangan ada pemimpin BN yang terkejut, marah atau melenting apabila Presiden PAS mengungkit mengenai Lebuhraya Pantai Timur yang diisi dalam Bajet 1997 tetapi gagal disiapkan sehingga kini. Di mana silapnya? Apakah ini juga akibat ketirisan, rasuah atau tidak amanah? Bukankah penangguhan ini akan menyebabkan kos yang meningkat dan menyusahkan pengguna?
Lim Kit Siang pula mendakwa Najib dalam ketakutan. Ketua Dewan Muslimat PAS, Siti Zailah Mohd Yusof yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang hairan mengapa hanya RM50 juta sahaja diperuntukan untuk Wanita tetapi sebanyak RM1.2 diberikan kepada Tadika.
Ketua Dewan Pemuda PAS Sarawak, Mohammad Arifiriazul pula menganggap Najib tidak peka nasib rakyat Sarawak. Katanya, dari RM251.6 bilion Bajet yang dibentangkan, cuma 100 juta sahaja diperuntukkan untuk tong simpanan air yang merupakan projek sementara.
Dia mempersoalkan mengapa masalah tali air di Pulau Bruit di bawah Parlimen Tanjung Manis yang mula dibuat dalam tahun 1997 masih gagal memberi bekalan air bersih? Jika Ketua Penerangan PAS, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan Najib sebagai seorang yang ketandusan idea untuk memakmurkan ekonomi rakyat, menjana pendapatan dan mencari jalan bagi menerajui masa depan ekonomi negara yang lebih berdaya saing, jangan sesiapa di kalangan pemimpin BN terasa hati.
Kata Tuan Ibrahim, tindakan mengurniakan pembayaran "one-off" hanya mengembirakan penerima untuk sementara waktu, sedangkan peningkatan kos hidup terus bertambah dan seluruh rakyat akan menerima bebanan berterusan.
>> Ditulis oleh penulis prolifik, Safar Jumaat
>> Ditulis oleh penulis prolifik, Safar Jumaat
Tiada ulasan:
Catat Ulasan