PEMBENTANGAN Bajet 2013, Jumaat 28 September 2012 yang lalu, boleh memberi jawapan kepada seluruh rakyat Malaysia, mengapa Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak masih enggan membubarkan Parlimen bagi mengadakan PRU-13.
Walaupun Najib berkali-kali mengatakan beliau suka dengan spekulasi yang bergegar dan bergeger ke seluruh negara, tetapi, kesannya amat tidak baik kerana, rakyat lebih banyak bercakap "bila PRU-13" sedangkan mereka (rakyat) sepatutnya boleh menumpukan kepada kerja yang patut diutamakan (bagi mencari pencapaian).
Najib nampak tenang, ketika melakukan pembentangan Bajet 2013 di Parlimen, walaupun ramai menteri-menteri yang mengantuk, termasuk menguap ketika pembentangan berlangsung – tetapi ramai yang tahu, Najib sebenarnya terlalu ghairah.
Keghairahan Najib, ketika membacakan "teks Bajet 2013" bukan bagi mencari unjuran atau meraikan pencapaian, tetapi mencari tempat di mana beliau boleh mengumumkan pemberian tunai kepada rakyat secara langsung, yang sesetengah pihak mendakwa, ia adalah rasuah dan umpan untuk menagih sokongan.
Barangkali, dalam pemilihan Umno selama ini, termasuk ketika Najib bertanding jawatan Ketua Pergerakan Pemuda, Naib Presiden, Timbalan Presiden dan yang terakhir sebagai Presiden, "pemberian tunai" ini berlaku juga.
Ia seperti ada persamaan, pemilihan Umno dengan pilihan raya. Jika tiada pemberian tunai, undi dan sokongan seperti menjauh. Sebagai Menteri Kewangan dan Perdana Menteri, Najib tentunya tidak suka jika hasratnya meneruskan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dipertikaikan. Tetapi, apakah rakyat Malaysia mahu terus disogokkan dengan mentaliti bergantung kepada bantuan?
Nanti, apabila ada suara yang mempertikaikannya, ada pula para juak-juak Perdana Menteri berkata, "yang tak mahu jangan ambil. Yang muka tak malu jangan datang ke majlis penyampaian bantuan (BR1M)." Bantuan "one off" ini bukan bantuan peribadi dan duitnya bukan datang dari kocek pemimpin Umno dan BN.
Apabila BN menang pilihan raya, semua yang menyokong dan tidak menyokongnya adalah rakyat Malaysia, yang mesti diraikan sebagai rakyat. Termasuk mereka yang masih belum mengundi! Jadi, tidak timbul soal "muka tak malu", "mereka yang tak mahu" dan kata-kata sindiran termasuk "muka tebal dan sebagainya", kerana jika cukup syarat, mereka yang mempertikaikannya, juga berhak.
Yang tidak berhak, apabila pemimpin dan pegawai kerajaan yang mengambil rasuah dan menyeleweng. Rasuah dan menyeleweng bukan hak sesiapa. Ini yang perlu diserang, disindir dan ditangkap. Bukan rakyat yang setahun sekali diberikan BR1M, kemudiannya diberi tekanan (mental) supaya terus menyokong BN!
Orang bujang, berusia 21 tahun ke atas (yang sudah mendaftar sebagai pengundi), dilayan dengan BR1M bernilai RM250. Terima kasih kata mereka yang mendapat duit percuma dari kerajaan tetapi, apabila pemilihannya berlaku kepada mereka yang sudah layak mengundi, ia memberikan pelbagai tafsiran.
Begitu juga dengan voucher buku bernilai RM250 (dahulu hanya RM200) kepada penuntut IPTA dan IPTS (termasuk pelajar tingkatan 6), sepatutnya kerajaan mengkaji semula mekanisme penggunaannya. Jangan nanti, kedai buku terpilih sahaja yang mengaut keuntungan, manakala penuntut-penuntut ini tidak berkesempatan untuk menggunakannya dengan nilai maksimum.
Malahan, ada kedai buku yang "membeli voucher" dengan tukaran tunai – yang mengakibatkan penuntut tersebut ditangkap dan didakwa di mahkamah. Mungkin kejadian seperti ini merupakan isu terpinggir, tetapi kerajaan kena bertindak tegas dengan menarik balik kebenaran "kedai buku terpilih" kepada pihak yang berani menukarkan voucher buku itu kepada tukaran tunai.
Dalam pembentangan Bajet 2013 ini, Najib juga risau dengan sikap dan pendirian bekas tentera yang berhenti dari perkhidmatan yang tidak membolehkan mereka (bekas anggota tentera ini) menikmati pencen. Ada pemberian "one off" RM1,000 kepada mereka. Tentulah Najib berharap, seruannya supaya rakyat menilai kemampuan kerajaan BN sebagai "menagih sokongan" ketika pilihan raya nanti – dan bukan sebaliknya.
Satu perkara lagi yang kurang menarik telah Najib umumkan ialah potongan 20 peratus diskaun kepada peminjam PTPTN yang boleh menjelaskan bayaran terus dalam tempoh setahun dan potongan 10 peratus jika membuat pembayaran tetap sehingga langsai hutang!
Apakah Najib tidak memikirkan kepada mereka yang tidak meminjam PTPTN? Sepatutnya, jika mereka yang meminjam diberikan "tawaran", kepada yang tidak membuat pinjaman, juga ditawarkan "sesuatu". Janganlah melayan mereka yang berhutang tetapi kepada yang tidak berhutang, menjadi bahan "ketawa".
Memetik Titah Sultan Terengganu di Istiadat Penghadapan dan Pengurniaan Gelaran dan Bintang-Bintang Darjah Kebesaran negeri di Singgahsana Istana Maziah, Kuala Terengganu, budaya meminta dan mentaliti subsidi dalam kalangan rakyat perlu dikikis bagi membentuk sebuah masyarakat yang mempunyai daya saing tinggi.
Baginda bertitah, untuk berubah, rakyat perlu berusaha dengan gigih dan jangan berharap kepada bantuan semata-mata. "Bila dapat bantuan pula manfaatkanlah sepenuhnya dan janganlah disalah guna. Di samping itu, rakyat perlu memupuk budaya berterima kasih kepada kerajaan atas bantuan dan usaha yang dilakukan untuk mereka.
"Beta menghargai usaha kerajaan beta yang menitik beratkan kebajikan dan keperluan rakyat ke arah melahirkan persekitaran yang lebih sempurna dan memperbaiki taraf hidup mereka," titah baginda. Berbalik kepada pemberian langsung seperti BR1M dan RM100 kepada pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah, banyak pihak mengucapkan terima kasih kepada kerajaan tetapi dalam masa yang sama, mereka mahukan Najib lebih serius melihat keperluan fisikal sekolah, infra dan keperluan wang untuk menyediakan kertas peperiksaan.
Usah pula Najib terasa hati dengan sindiran dari rakyat yang mengatakan semua itu adalah "gula-gula" sebelum PRU-13 kerana tiada siapa boleh menjamin, setiap kali sampai tarikh pembentangan Bajet, ia boleh diteruskan! Ingat! Slogan "Janji Ditepati" itu lebih bermakna jika kerajaan dapat terus mengurangkan indeks jenayah, menghapuskan rasuah, mengawal harga barang keperluan supaya tidak terus naik dan memperbaiki sistem rawatan di hospital.
Walaupun, Najib agak berbangga dengan Klinik 1Malaysia, tetapi lihatlah sendiri bagaimana proses mendapatkan rawatan di hospital kerajaan dan berapa jam yang diperlukan untuk mengambil nombor giliran, berjumpa doktor dan mengambil ubat. Pemimpin-pemimpin BN mungkin tidak pernah melalui semua ini, tetapi dengarlah "denyut nadi rakyat" jika benar-benar mahu menggunakan slogan "rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan".
>> Komentar penulis prolifik politik Safar Jumaat
Tiada ulasan:
Catat Ulasan