KLIK JOM FOLO DI SINI

Jumaat, Oktober 19, 2012

Rakyat sudah mengaum: Belanjawan Pakatan Rakyat boleh benam Bajet BN 2013


APABILA Pakatan Rakyat membentangkan Alternatif Bajet 2012 – "Ekonomi Rakyat Negara Berkat", dua hari lebih awal dari Pembentangan Bajet 2013 oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak yang merupakan Menteri Kewangan – memberi kesan yang cukup positif.

Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh ketika memberi taklimat di Parlimen, Rabu lalu menyebut tiada kenaikan cukai dibuat kecuali mengawal ketirisan yang meningkat akibat gejala rasuah dan ketidakcekapan.

Lebih menarik, apabila Anwar menyebut, cadangan untuk menubuhkan PetroSabah, PetroSarawak dan PetroTerengganu – di mana Petronas diminta menaungi syarikat-syarikat ini hingga ia berjaya berjalan sendiri.

Sebenarnya, Pakatan Rakyat boleh sahaja membentangkan bajet mereka selepas pembentangan Bajet 2013, supaya penambahbaikan yang diutarakan pihak pemerintah boleh ditegur, namun – atas rasa tanggungjawab kepada rakyat, Pakatan mengambil daya usaha untuk membentangkannya lebih awal.

Dengan meramalkan Barisan Nasional (BN) akan membentangkan bajet untuk meraih undi dan mencari populis, Anwar lebih optimis perkembangan ekonomi negara pada 5.2 peratus, dengan saiz ekonomi Malaysia RM1,064 bilion, kadar inflasi 3 peratus dan bajet defisit 3.5 pratus. Kata Anwar, BN tidak pernah memenuhi ramalan ekonomi mereka. Mereka tidak jujur tentang angka.

Itulah sebabnya, setiap tahun ada sahaja pertambahan yang diperlukan dengan meminta sokongan ahli-ahli Parlimen, kerana mereka sebenarnya tidak cekap menguruskan kewangan sehingga membabitkan lebihan peruntukan yang sudah disediakan.

Jika sesiapa menyemak setiap kali ada persidangan Parlimen, hari-hari terakhir, dalam kesuntukan masa, akan ada pembentangan "bajet tambahan" yang secara tergesa-gesa diluluskan, walaupun pembangkang akan membantah.

Kelulusan bajet tambahan ini tidak memerlukan sokongan 2/3 yang membolehkan BN meluluskan ikut suka hati mereka. Lebih menarik lagi, apabila Anwar mensasarkan keuntungan kroni pemerintah berlaku sejak zaman Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri. Maka, Pakatan Rakyat akan menghapuskan DEB kerana selama ini polisi Bumiputera disalahgunakan oleh kumpulan minoriti.

Menurutnya, anak-anak bekas Perdana Menteri mengawal berbilion ringgit hasil daripada petroleum. Jika anak-anak bekas Perdana Menteri boleh menjawab dakwaan Anwar ini, tentulah rakyat akan tahu, siapa sebenarnya pemilik Petron – minyak yang dulunya kepunyaan Mobil dan Esso. 

Khabarnya, Shell juga sedang "diintai" oleh orang yang sama – untuk mereka bolot dan kuasai! Pakatan Rakyat berjanji, apabila berkuasa, mereka akan bersikap lebih telus untuk menangani rasuah. Kandungan alternatif bajet juga menyentuh cadangan membubarkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang fungsinya sama dengan Khazanah Nasional.

Beliau juga menyebut untuk kesekian kalinya untuk menurunkan harga kereta, pemansuhan tol, pemansuhan pinjaman pendidikan yang dipercayai merujuk kepada PTPTN yang menjadi tuntutan mahasiswa sejak kebelakangan ini.

Bagi kaum wanita, mereka juga tentunya berbangga apabila Anwar menyebut akan memperkenalkan Caruman Wanita Nasional dengan peruntukan yang besar sebagai tanda penghargaan kepada golongan ini terhadap pembangunan negara.

Walaupun bajet alternatif ini menjadi bahan ketawa wakil-wakil rakyat BN, namun, Anwar memberitahu wartawan bahawa apa yang dibentangkan ini adalah berdasarkan pengalaman di Pulau Pinang dan Selangor – di mana, kedua-dua negeri ini dapat mentadbir pembangunan negeri dengan jaya.

Kata Anwar, walaupun DEB dimansuhkan, orang Melayu tidak akan rugi apa-apa kerana jika bantuan diberikan kepada orang India yang layak, orang Melayu juga akan menikmati tempiasnya. Malangnya, selama ini, walaupun DEB dijalankan, namun orang Melayu masih ketinggalan kerana pelaksanaannya tidak dibuat secara adil. DEB disalahgunakan oleh pihak berkuasa dan kroni mereka yang mengaut keuntungan dari perlaksanaan dasar tersebut.

Belum pernah selama ini BN menghadapi persaingan yang begitu hebat, berbanding dengan kewujudan Pakatan Rakyat – dengan persaingannya seolah-olah sistem dua parti sudah mendatari politik negara ini. Para menteri dalam kabinet Najib sedang berhempas pulas mengkaji bajet alternatif ini kerana mereka juga ingin menyerang pembangkang yang mereka anggap mengganggu perjalanan kerajaan.

Lebih awal, Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas, Dato' Ibrahim Ali membidas Anwar yang mahu membentangkan bajet alternatif ini sebagai menyalahgunakan Parlimen. 

Namun, kenyataan Ibrahim tidak mendapat sokongan dari mana-mana menteri dan Ahli Parlimen BN yang lain. Dimensi politik Malaysia kini sudah terbuka. Rakyat boleh berfikir secara matang dan membuat pilihan. Selama ini, rakyat tidak pernah "dibentangkan" dengan dua bajet, tetapi kini, ia sudah berbeza.

Rakyat sudah tahu, ada cara yang lebih baik untuk mengurus tadbir kewangan, asalkan ia tidak tiris dan gejala rasuah dapat dikawal. Malangnya, kos yang meningkat selama ini, akibat dari rasuah, terpaksa ditanggung oleh rakyat dan pembayar cukai.

Itulah sebabnya, indeks rasuah negara tidak pernah berubah sejak sekian lama – walaupun, menubuhkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam era kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi tidak disenangi kepimpinan sebelumnya.

Ramai yang risau, kalau menjadikan Badan Pencegahan Rasuah (BPR) kepada SPRM akan menyebabkan "kroni" mereka sendiri yang akan terperangkap! Kerisauan itulah yang menyebabkan mereka yang "terkejut" dengan BPR bertukar menjadi SPRM berhempas pulas menjatuhkan Abdullah dari kerusi Perdana Menteri dan Presiden Umno, kerana khuatir Abdullah mahu menggunakan SPRM untuk "menangkap" mereka yang bergelumang dengan gejala rasuah.

>> Komentar penulis prolifik politik Safar Jumaat

Tiada ulasan: