KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Oktober 08, 2012

Wasotiyyah terpimpin: Kenduri kahwin anak KM Melaka cecah RM1.3 juta?


Dalam keadaan negara defisit 15 tahun berturut-turut dan tambahan hutang mencecah RM 500 bilion sehingga negara terdedah dalam bahaya, masih ada pemimpin Umno-BN yang berbangga hidup mewah, menggunakan kemudahan kerajaan, dan wang rakyat untuk kepentingan peribadi mereka seperti majlis perkahwinan anak Ketua Menteri Melaka.  

PAS Melaka mendakwa, lebih RM 1 juta dibelanjakan untuk majlis perkahwinan tersebut yang diadakan baru-baru ini, sekaligus menyangkal dakwaan kononnya perbelanjaan hanya mencecah RM 600,000 sahaja. Demikian ditegaskan Pesuruhjaya PAS negeri itu, Adly Zahari sewaktu mengulas isu kontroversi ini.

Terdahulu, Dato' Seri Ali Rustam menjawab persoalan yang ditimbulkan Pakatan Rakyat mengenai isu tersebut dan beliau hanya mengesahkan sebanyak RM 600,000 digunakan bagi tujuan itu. Ali turut membidas mereka yang mempersoalkan penjelasannya itu. Beliau kini menjadi tumpuan kritikan umum apabila kenduri kahwin anaknya, Mohd Ridhwan dengan Nur Azieha Mohd Ali dilapor melibatkan 130,000 jemputan.

Mengulas lanjut, Adly menegaskan, jumlah RM 600,000 itu juga berbeza dengan kenyataan pertama Ali yang menyebut jumlah kos bagi tiga perkara utama iaitu logistik, katering dan sukarelawan diperoleh secara percuma.

"Apabila Dato' Seri Ali menyatakan ianya secara percuma, ini menunjukkan semua kos itu ditanggung pihak tertentu. Tetapi apabila PAS Melaka mendesak beliau menjelaskan mengenai kos penyediaan makanan oleh 20 caterar itu, beliau memberi jawapan pula ia menelan kos RM 600,000. Ini jelas menunjukkan ia bukan percuma dan ia adalah kos yang dipungut daripada pihak tertentu yang dibayar kepada caterar ini, " dedahnya kepada Harakah.

Adly menjelaskan, maklumat dalaman daripada Mesyuarat Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka juga menyatakan kos logistik yang dianggarkan bagi khemah, bayaran sewa dewan dan pembayaran kepada petugas-petugas majlis perbandaran dianggarkan tidak kurang daripada RM 100,000.

Katanya, sepatutnya sesiapa sahaja yang  menggunakan dewan, khemah serta perkhidmatan majlis perbandaran harus membuat bayaran dan bukan secara percuma. Sebagai pemimpin juga tegas beliau, Ali perlu membayar jumlah tersebut kepada pihak majlis perbandaran. 

"Selain itu, Angkatan Tentera Malaysia juga terlibat sebagai petugas-petugas. Jadi, apabila mereka pegawai kerajaan, mereka bukanlah sukarelawan tetapi dikerah tugas untuk bertugas. Kita tahu tidak ada pegawai kerajaan yang engkar dengan arahan, tapi bagi saya mereka dikerah dan diperalat oleh seorang bernama Ketua Menteri Melaka," katanya lagi.

Tambah Adly lagi, persoalan juga timbul apabila Ali mengatakan 500 orang petugas adalah sukarelawan, jika seorang petugas dianggarkan diberi bayaran sebanyak RM50, bagi 500 petugas ia melibatkan kos hampir RM 25,000. 

Begitu juga katanya, dengan kos kad jemputan kepada seluruh rakyat negeri Melaka yang dianggarkan berjumlah RM 50,000 untuk 500,000 orang dengan anggaran kos 10 sen bagi setiap satu kad. Kos yang dianggarkan itu, ujarnya, belum termasuk kos pengiklanan dan kain rentang.

"Jika Dato' Seri Ali mengatakan Pakatan Rakyat hanya membuat tuduhan apabila mengatakan kos majlis tersebut RM 1.3 juta, apa yang kita anggarkan itu adalah betul. Dan angggaran tersebut belum termasuk kos pengangkutan yang membawa penduduk untuk ke majlis perkahwinan gilang gemilang itu," katanya lagi.

Menjawab tuduhan Ali yang meminta pemimpin PAS seperti Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang; Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Mohamad Sabu mengisytiharkan perbelanjaan perkahwinan anak-anak mereka, Adly berkata, majlis perkahwinan anak-anak mereka diadakan sebagaimana perkahwinan rakyat biasa dan tidak timbul sebarang isu seperti yang dilakukan Ali.

Sebaliknya, kata beliau, majlis perkahwinan yang diadakan Ali itu di luar kebiasaaan dan beliau berbangga dengan apa yang dilakukannya walaupun menggunakan duit rakyat.

Tiada ulasan: