Nampaknya Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak mengalabah apabila sengaja mengada-ngadakan isu kabinet bayangan bagi memperlekehkan Pakatan Rakyat. Niat utamanya ialah bagi memberitahu rakyat betapa Pakatan Rakyat belum bersedia untuk memerintah negara kerana mereka tiada kabinet bayangan seperti yang diuar-urakan oleh Najib sehari dua ini.
Apa yang jelas, Najib sepatutnya mengamalkan apa yang beliau katakan dan tidak berat sebelah, hanya mahukan kabinet bayangan daripada Pakatan Rakyat semta-mata. Sedangkan BN juga amat wajar mengarahkan BN di Kedah, Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor untuk membentangkan kabinet bayangan mereka sekiranya BN bersungguh mahu menawan kembali negeri-negeri tersebut.
Najib terlupa barangkali, BN juga ada negeri yang tiada diketahui kabinetnya dan mereka cukup takut untuk mengumumkan barisan kepimpinan kabinet itu, khuatir akan menimbulkan porak peranda dalam komponen tersebut. BN sebenarnya lebih teruk daripada Pakatan Rakyat kerana BN bukan sahaja tidak mempunyai kabinet bayangan untuk negeri-negeri yang dikuasai oleh Pakatan tetapi juga tidak melantik calon Menteri Besar di Selangor, Kelantan dan Kedah sehingga saat ini.
Sungguhpun BN berbohong bahawa Pakatan tiada bakal Perdana Menteri, tetapi Pakatan telah pun bersepakat dan bersetuju bahawa Perdana Menteri Malaysia adalah Dato' Seri Anwar Ibrahim. Pakatan tidak pernah berdolak-dalik dalam isu ini. Ia disepakati dan ini diketahui oleh rakyat. Maka tiada perlunya kabinet bayangan digembar-gemburkan oleh Pakatan sementara belum membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan.
Pakatan Rakyat telah menggunakan pendekatan unik untuk kabinet bayangan dengan melantik tiga orang daripada setiap parti (PAS, DAP dan KeADILan) bagi setiap portfolio kementerian. Jika Najib dan Umno-BN memahami hal ini, maka tiada timbul isu kabinet bayangan melainkan dengan sengaja dibangkit untuk menimbulkan amarah rakyat.
Ini menunjukkan yang pemimpin Pakatan Rakyat bukan gilakan kuasa tetapi dahagakan dasar yang bermanfaat untuk kebaikan rakyat. Sebelum menang, tidak perlu diuar-uarkan kabinet bayangan seperti yang diminta oleh Najib. Jika kabinet bayangan diumumkan pula, sudah pasti Najib akan menuduh Pakatan Rakyat "gila kuasa" dan ini sebenarnya yang dimahukan oleh Najib agar Pakatan melatah dan melompat.
Budaya politik baru oleh Pakatan dengan dasar berkesan berpaksikan rakyat, amat berbeza dengan dasar memuja tokoh Umno-BN yang mengkayakan kroni. Bagi Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim pula melihat persoalan yang ditimbulkan Najib itu sepatutnya dimulai oleh beliau untuk negeri-negeri yang Umno-BN tewas dalam pilihan raya lalu.
Najib tidak mengumumkan siapa Menteri Besar Selangor jika BN berjaya merampas kembali negeri tersebut. Kenapa tidak umumkan? Amat wajar sebelum menyentuh batang tubuh Pakatan, maka Najib boleh mengumumkan bakal MB Selangor jika BN menang kelak.
"Masalah kabinet bayangan, (ada) Datuk Seri Najib umum siapa Menteri Besar Selangor? (Ada) Dia umum siapa Menteri Kewangan lepas dia menang? Tak ada…," katanya pada sidang media di lobi Parlimen selepas perbahasan Bajet 2013, 1 Oktober lalu.
Sebenarnya kabinet bayangan yang dicabar Najib supaya Pakatan menubuhkannya adalah amalan negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen. "Kabinet bayangan hanyalah amalan di United Kingdom, di Australia, tidak di Perancis, di Amerika, tidak di Indonesia dan Thailand."
Pakatan sudah menyediakan senarai nama pimpinan kanan sebagai persediaan jika mengambil alih Putrajaya nanti. Ia sepatutnya telah diketahui oleh Najib, sebagai pemimpin lawan kepada Pakatan. Tetapi dengan sengaja Najib memadamkan hal itu, bagi memperlekehkan Pakatan di mata rakyat yang kian menolak kepimpinan Umno-BN dalam negara ini.
"Siapa dia yang bakal menjadi menteri dan timbalan menteri, itu senarai pimpinan kanan kalau kita menang. Ada yang ditugaskan seorang daripada setiap parti dalam Pakatan Rakyat untuk setiap sektor," jelas Anwar. Najib sebelum ini dengan angkuh mendakwa Pakatan Rakyat tidak layak bercakap mengenai hasrat untuk mengambil alih pentadbiran kerajaan semata-mata kerana Pakatan masih belum bersedia dengan kabinet bayangan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan