Pemimpin Umno pun ramai yang tidak puashati dengan BN. Isu PAS-DAP sengaja diputar-belit untuk takutkan orang Melayu. Umno bimbang, Melayu kuat di bawah PAS dengan dokongan orang bukan Melayu DAP dan KeADILan. Maka serangan dilancar. Hakikatnya rakyat sudah menolak BN. Ikuti wawancara eksklusif AHMAD LUTFI OTHMAN, TARMIZI MOHD JAM dan NYZA AYOB bersama anak negarawan Tun Ghafar Baba, Tamrin Ghafar di Pejabat Harakah 21 Sept lalu. Foto NASIR SUDIN
---------------------------------------------------------------------------------------------------
"Pemimpin BN cukup tak senang PAS berbaik dengan DAP. Itu yang mereka dakyah dulu-dulu. Takutkan orang Melayu. Sekarang, PAS-DAP cukup erat dan orang Cina tidak takut lagi dengan PAS."
TAMRIN TUN GHAFAR BABA
---------------------------------------------------------------------------------------------------
Kejayaan Pakatan Rakyat merapatkan hubungan PAS-DAP telah mencemaskan Umno. Isu-isu Islam dan Melayu, sering PAS-DAP dimomok-momokkan. Apa yang sebenarnya Umno inginkan?
Ini sebenarnya, "lagu lama" yang dimainkan Umno sejak sekian dahulu, sejak zaman Tunku Abdul Rahman lagi apabila DAP ditubuhkan pada 1966. Kita mesti balik kepada sejarah. Mengapa Umno pada masa itu dan sehingga hari ini bermati-matian mempertahankan MCA? Ini kerana persahabatan mereka. Tahun 1946 apabila Umno diwujudkan dan pada 1955 rombongan pertama pergi ke London hendak mengadakan perbincangan dengan pihak British, wakil -wakil Cina dan India hadir sama. Ekoran itu, MCA diwujudkan kemudian MIC.
Umno pada mulanya mengikut pengasasnya Onn Jaafar hendak buka keahlian parti kepada bukan Melayu tetapi ditolak orang Melayu pada masa itu. Ini kerana Umno patut dijadikan alat untuk memperjuang orang Melayu. Akibatnya, Onn Jaffar keluar Umno. MCA pun seperti itu juga. Ia ditubuhkan semata-mata nak jaga kepentingan orang Cina dan mengembangkan kepentingan kaumnya. Itu tidak salah. Begitu juga MIC mengambil langkah serupa. Itu tidak salah. Tetapi perlu diingat, sejak Umno ditubuhkan sehingga sekarang, Umno belum pernah lagi letak calon bukan Melayu.
Sama ada orang Tionghua atau India. Yang ada mamak dua tiga orang. Seorang jadi Perdana Menteri dan seorang jadi menteri seperti (Tan Sri) Kadir itu. Kemudian, MCA yang ditubuhkan pada 1951 untuk orang Cina. Pernah tak MCA ini meletakkakn calon-calon bukan Cina bertanding atas tiket MCA, macam orang Melayu atau India? Begitu juga MIC tidak pernah letak calon daripada bangsa Melayu atau Cina bertanding. Masing-masing hendak jaga kepentingan parti dan bangsa masing-masing.
Bagaimana pula dengan DAP yang dituduh "chauvinist"?
Inilah yang menariknya. DAP apabila ditubuhkan pada 1966 pada awal-awal lagi DAP telah melantik dan memilih orang Melayu iaitu Daeng Ibrahim sebagai Naib Presiden parti dan bertanding di Grik. Saya ingin membuat perbandingan antara MCA yang dikatakan berjuang untuk semua bangsa dan DAP yang dituduh parti chauvinist, parti yang anti Melayu dan Islam.
Pada mula pernubuhan iaitu lahir sahaja parti itu, sudah ada orang Melayu iaitu Daeng Ibrahim kemudian diekori dengan Ibrahim Singgir bertanding di Tapah. Salleh Nakhoda Hitam menang di Dun Buntong, Ipoh pada tahun 60 an. Fadzlan Yahya pernah empat penggal menjadi wakil rakyat di Dun Pasir Berdamar, Perak dan ramai lagi yang saya tidak sebut nama. Mereka orang Melayu yang bertanding atas tiket DAP. Yang India memang ada sehingga sekarang. Dan ramai orang Melayu yang menjadi Ahli Jawatankuasa DAP. Selepas Tunku Aziz keluar baru-baru ini, tidak ada lagi Melayu. Tetapi saya difahamkan daripada 100,00 yang ada sekarang, tidak kurang 25 peratus adalah orang bukan Cina. Katakan 5,000 daripada mereka ialah orang Melayu, itu adalah lebih baik jika dibandingkan dengan MCA.
Umno juga tuduh DAP "chauvinist" sebab memperjuangkan "Malaysia Malaysian"...macam mana ini?
Itulah Umno. Mereka sengaja memutarkan DAP sebagai "chauvinist"... dalam hal ini parti mana yang chauvinist? DAP memperjuangkan "Malaysian Malaysia". Apa beza dengan "1Malaysia" hari ini? Mahathir sendiri kata "confuse" tapi dia tidak mahu mengaku "1Malaysia" ini "Malaysian Malaysia". Contohnya, hari ini DAP masih menghormati perlembagaan, orang Melayu dan asas-asas negara yang lain. DAP menghormati agama Islam sebagai agama rasmi dan DAP menghormati kedudukan Raja-raja Melayu.
Kalau dibanding dibawah konsep "1Malaysia", hak orang Melayu dihakis. Contohnya, dulu daripada segi ekonominya, syarikat-syarikat yang hendak disenarai di papan tanda BSKL mesti mempunyai 30 peratus bumiputera dan 30 peratus lembaga pengarah juga bumiputera. Tapi atas konsep "1Malaysia", oleh kerana nak mengambil hati MCA, maka perkara ini dihapuskan. Begitu juga dengan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Ini termaktub dalam perlembagaan Malaysia. British... apabila kita menuntut kemerdekaan dulu, nak jaga kepentingan Melayu maka terpaksa wakil India dan Cina menerima saranan British ini dimasuk dalam perlembagaan. British lebih mengasihani orang Melayu daripada Umno hari ini.
Macam mana saudara melihat Umno melayani isu-isu agama (Islam)...
Bercakap pasal agama (Islam) pula, hari ini Umno menggunakan ulama Umno menyerang dan mengeluarkan pelbagai tafsiran dan fatwa mengatakan undi DAP adalah haram. Maknanya parti yang bersekutu dengan DAP, kalau rakyat sokong pun akan jadi haram. Lepas itu kononnya DAP ini anti Islam. Sekarang, jika kita tengok akhbar The Star, setiap dua tiga hari sekali pemimpin MCA seperti (Dato' Sri Dr) Chua Soi Lek dan anaknya, timbalannya... ketua wanita MCA, buat statment dalam The Star, menghina Islam. Lawan hudud misalnya.
Mereka mengatakan jika hudud ini dilaksanakan akan menzalimi orang bukan Islam. Walhal dalam akta 38A, terang-terang menegaskan mana-mana pihak yang menghina mana-mana agama hukumannya dua tahun penjara. Tetapi ini tidak digunakan. Kemudian kita tengok perdebatan antara Lim Guan Eng dan Chua Soi Lek. Soi Lek kata MCA berani memberi amaran kepada pemimpin Umno sekiranya Umno melaksanakan hudud, dengan ugutan "MCA akan keluar BN". Najib sendiri buat kenyataan mengatakan Umno tidak akan laksanakan hukum hudud.
Tapi Umno kata, hudud yang diperdebat itu "hudud PAS" bukan hudud Islam....
Hukum hudud ini apa? Ini bukan hukum ciptaan PAS. Ini hukum Allah yang datangnya daripada al-Quran. Quran tidak ada Quran Umno dan tidak ada Quran PAS. Hanya ada satu Quran. Mengapa pemimpin Umno berdiam diri? Pemimpin DAP macam Karpal Singh hanya menegaskan bahawa DAP menghormati Islam sebagai agama rasmi sebagaimana termaktub dalam perlembagaan yang dihormati semua pihak. Oleh kerana undang-undang barat ini undang-undang sekular, yang telah dipersetujui daripada awal lagi sebelum membuat perlembagaan, maka mana-mana pindaan kena bawa ke parlimen dan mendapat majoriti dua pertiga. Kalau nak laksana hudud, dapat dua pertiga sokong, ok. Itu sebab hukum hudud yang diperkenal Kerajaan Kelantan tidak boleh dilaksanakan kerana ada kaitan dengan perlembagaan negara seperti Karpal sebut. Ia disebabkan perlembagaan negara mengatasi state.
Baik DAP terus ditanam persepsi buruk oleh Umno-BN secara terancang sebagai anti Islam. Bagaimana saudara melihat pentadbiran Pulau Pinang?
Di bawah Lim Guan Eng selaku Ketua Menteri daripada DAP, setelah mengambil alih Pulau Pinang, pelbagai peruntukan diberikan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR). Peruntukan tambahan SAR bagi taghun 2009 (RM1.5juta); 2010 (RM1.75juta) dan 2011 (RM1.75juta) berbanding tiada sebarang peruntukan di zaman BN memerintah. Inikah dikatakan Umno tolong agama Islam? Pada tahun 2012, sebanyak RM64.03 juta peruntukkan berkaitan hal ehwal agama Islam di negeri ini. Selepas menang 2008, perhatian diberi kepada agama Islam. Pada 2009 peruntukkan sebanyak (RM33.2juta); 2010 (RM38.9juta) dan 2011 (RM45.7juta). Sedangkan BN hanya memperuntukan RM25.7juta pada 2008, tahun akhir pentadbirannya.
Nampaknya Kerajaan Umno-BN dulu tak bantu pun SAR. Sebaliknya DAP yang anti-Islam beri sumbangan kepada Al-Huffaz...
Ini juga mencemaskan Umno. Kerajaan DAP membuktikan ia tidak anti Islam macam dituduh Umno. Mereka beri peruntukan kepada pelajar hafiz al-Quran di negeri ini. Umno-BN tak pernah buat sepanjang memerintah. Pada tahun 2009, sebanyak RM75,000 disumbangkan kepada al-huffaz. Angkat itu terus meningkat. Tahun 2010 (RM100,000) dan 2011 (RM130,000). Malah kerajaan juga membina kompleks Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Pulau Pinang di atas tanah seluas 3.49 ekar bernilai RM36.5 yang disediakan kerajaan negeri di Jalan Scotland juga akan pastinya menjadi satu mercu tanda baru.
Maknanya momokkan terhadap DAP hanya putar-belit pemimpin Umno untuk menakutkan orang Melayu...
Ini jelas putar belit surat khabar dan pemimpin Umno. Saya yakin mereka tidak faham perkara ini. Baik, kita tengok siapa pemimpin Umno yang sanggup masuk penjara kerana pertahan budak Melayu bawah umur yang diperkosa pemimpin Umno di Melaka? Akhirnya budak itu disumbat ke Pusat Tahanan Wanita dan bersalin di sana. Bukankah Lim Guan Eng yang membelanya? Jadi perkara ini penting untuk diterangkan kepada orang ramai. Sewaktu saya berceramah dengan Anthony Loke (Ketua Pemuda DAP), saya dapati DAP menghormati perlembagaan yang ada termasuk perlembagaan negeri yang mengatakan orang Melayu mesti jadi Menteri Besar. Kalau hendak kira, Umno tidak mempertahankannya. Contoh di Pulau Pinang, di satu ketika dulu Umno dapat majoriti 11 kerusi Dun. Gerakan 0 kerusi. Tapi, Gerakan juga jadi Ketua Menteri. Ini kita kena terangkan tapi masalahnya kita cuma ada Harakah yang terbit dua kali seminggu dan sebahagian media baharu.
1 ulasan:
Hi, of course this post is genuinely good and I have learned lot of things
from it regarding blogging. thanks.
Also visit my homepage; Diets That Work
Catat Ulasan