KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, September 22, 2008

Kelab Penyokong PAS: Pesuruhjaya & YDP mesti ambil serius

Muqqaddimah: Transformasi Kelab Penyokong PAS menjadi sayap penting membuka lembaran baru dalam PAS. Namun bagi meraih sokongan yang berterusan daripada bukan Islam, komitmen semua pihak harus digemblengkan. Menelusuri pandangan Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional, Dr Mujahid Yusuf berhubung isu ini.


Kelab Penyokong PAS kini semakin berkembang dan akan menjadi sayap PAS. Bagaimana Dr melihat sokongan ahli Kelab Penyokong PAS boleh bertahan dalam pilihan raya ke 13 akan datang?

Dr. Mujahid: Kelab Penyokong PAS kini telah berkembang. Mesej yang jelas apabila Muktamar baru-baru ini, Presiden dan kepimpinan yang lain bersetuju Kelab Penyokong PAS menjadi sayap parti. Dan untuk melaksanakan sedemikian, terdapat beberapa implikasi. Kelab juga perlu distrukturkan semula dari segi keahlian dan kepimpinan di peringkat kawasan dan negeri.
Oleh kerana ia akan menjadi sayap parti, mungkin ia mesti ada perlembagaan sendiri. Dan mungkin implikasi pada tubuh badan Perlembagaan PAS sendiri yang akan mengiktiraf sebagai sayap penting. Dan kita sudah pun menjalankan penyusunan semula kelab. Sekarang ini kita sedang mengutip data.
Alhamdulillah data tersebut telah kita perolehi. Sekarang ini kita mempunyai kira-kira 10,000 ahli Kelab Penyokong PAS seluruh negara. Sebab itu saya katakan pentingnya Kelab Penyokong PAS ini kita jadikan sayap dalam PAS.
Sebagai sayap penting parti ia mempunyai peranan strategik yang mengekalkan kekuatan dan sokongan moral yang boleh mendekati masyarakat bukan Islam. Dengan adanya sayap ini, tujuannya ialah untuk mengekalkan sokongan bukan Islam kepada PAS.
Jadi golongan bukan Islam ini akan melihat PAS sebuah parti yang meletakkan bukan Islam dan satu elemen penting bukan sahaja untuk mendapat sokongan mereka tetapi memberi kedudukan yang baik kepada mereka.

Sehingga kini bagaimana sokongan negeri-negeri kepada Kelab Penyokong PAS ini?

Negeri yang terakhir menubuhkan Kelab Penyokong PAS ialah Perlis, walaupun bilangan penduduk bukan Islam tidak signifikan. Kelab Penyokong PAS tetap ditubuhkan di Perlis mungkin kerana PAS Perlis melihat kepentingan kelab itu sendiri dan mereka telah berjaya menubuhkan.
Sehingga hari ini tidak ada mana-mana negeri yang tidak ada Kelab Penyokong PAS. Kelab Penyokong PAS hari ini menjadi keperluan kepada parti. Di kawasan-kawasan khususnya negeri Perak tumbuh bagaikan cendawan.

Difahamkan terdapat sesetengah kawasan menyerahkan perkara berkaitan Kelab Penyokong PAS ini kepada Lajnah Perpaduan Nasional semata-mata dan ini menyukarkan perkembangan kelab. Sejauh mana kebenaran tersebut?

Di peringkat awal pihak yang bertanggung jawab dalam kelab ini ialah Lajnah Perpaduan Nasional. Bagaimanapun, apabila ia sudah menjadi satu keperluan strategik dan berkembang begitu pesat, akhirnya lajnah melihat keperluan untuk memastikan perkembangan ini bukan sahaja terletak atas bahu lajnah semata-mata.
Ia sebenarnya sebagai elemen penting kepada kawasan secara seluruhnya. Begitu juga di Pusat. Di Pusat sekarang ini telah kita rasai dengan perkembangan kelab dan keperluan strategik jelas tidak mampu menampung keperluan ini. Walaupun ia mengasas dan mengendali serta mentadbirnya.
Dari segi perkembangan pesat ini, apabila timbul isu 'sayap' (kelab) ia akan terbang sendiri dan menjadi elemen tersendiri, bukan hanya diperhatikan oleh lajnah tetapi sebagai elemen strategik parti. Begitu juga di peringkat kawasan.
Saya harap di kesempatan ini untuk menyampaikan mesej bahawa kelab ini apabila ia sudah muncul sebagai satu sayap parti, ia bukan hanya di bawah tugas lajnah. Ia merupakan tanggung jawab organisasi secara menyeluruh bagi memastikan perjalanan sayap ini bergerak lancar. Lajnah Perpaduan Nasional terbatas.
Justeru saya menyeru Pesuruhjaya dan Yang DiPertua PAS mengambil berat mengenai Kelab Penyokong PAS ini. Mereka sendiri yang kena mengendalikan kelab ini dan bukan menyerahkan kepada pengerusi lajnah. Dari segi penumpuan dan fokus kepada Lajnah Perpaduan Nasional perlu diberi perhatian oleh Pesuruhjaya dan Yang DiPertua Kawasan.

Bagaimana Dr melihat sokongan bukan Islam terhadap arus 16 September yang diuar-uarkan baru-baru ini?

Saya melihat masyarakat bukan Islam lebih ghairah dengan isu tersebut. Mungkin impak pilihan raya yang lalu dan momentum sokongan itu belum lagi berakhir. Ini bermakna mereka masih ghairah memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat. Dan idea 16 September itu disambut baik.
Saya sempat hadir pada sebuah forum anjuran Suaram di Pulau Pinang baru-baru ini. Hampir semua yang hadir ialah golongan Cina dan India. Dan saya melihat sambutan dan respons, mereka mengharapkan 16 September benar-benar berlaku.
Dan tidak kiralah walaupun bukan 16 September, tetapi yang penting mereka mengharapkan perubahan besar politik berlaku di Malaysia. Itu respons kaum bukan Melayu. Dan jika dilihat suasana di Permatang Pauh dalam pilihan raya kecil yang lalu, berdasarkan undian yang diperolehi Dato' Seri Anwar Ibrahim, sokongan orang Melayu meningkat.
Jadi, mungkin trend ini yang membimbangkan Barisan Nasional (BN) . Jika orang Melayu betul-betul dapat berubah, keadaan ini menjadikan BN lebih parah.

Berkenaan isu muzakarah atau muqabalah yang timbul dalam PAS baru-baru ini, adakah Dr merasakan isu ini akan menghalang sokongan bukan Islam kepada PAS?

Sudah tentu harapan besar kepada PAS ialah PAS menyertai perubahan ini. Mereka melihat PAS merupakan faktor utama yang memungkinkan perubahan ini berlaku. Apa sahaja langkah yang boleh mengalih perhatian supaya tidak berlaku perubahan itu, seterusnya dengan isu muzakarah dan muqabalah sudah tentu akan menjejaskan PAS itu sendiri.
Memang menjejaskan. Saya sebagai Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional dan wakil rakyat, sewaktu meninjau kawasan, saya mendengar luahan dan harapan mereka. Kata mereka, kalau boleh mereka mahu PAS terus bersama Pakatan Rakyat.
Ada antara mereka yang merayu, 'tolonglah pastikan PAS bersama perubahan ini'. Rayuan mereka ini memberi mesej bahawa isu PAS bermuzakarah dan muqabalah ini boleh menjejaskan perubahan. Dalam pilihan raya yang lalu, mereka tidak mahu mana-mana parti yang dikaitkan dengan Umno.
Contohnya Gerakan yang telah tumbang. Gerakan ini tidak semuanya tidak elok. Dari segi idealisme, PAS boleh berbincang dengan sesiapa. Tetapi dari segi pergerakan dan strategi buat masa ini, saya rasa lebih baik ditumpukan kepada memupuk kemenangan dan kekuatan Pakatan Rakyat. Dan sudah tentu isu yang besar dalam bab ini ialah tentang Melayu dan tentang Islam.
Tetapi kita mesti ada kekuatan dan tidak semestinya perpaduan Melayu itu ada melalui hanya dengan Umno. Perpaduan Melayu boleh berlaku dalam Pakatan Rakyat. Isu Melayu ini adalah paksi dalam kekuatan mana-mana politik. Kalau dalam Pakatan Rakyat Melayu mesti kuat, dalam BN pun Melayu mesti kuat.
Isu Melayu ini termasuk dalam perlembagaan dan sebahagian daripada sejarah. Dan jika orang menyatakan kita menyertai Pakatan Rakyat, jiwa akan lemah dan Islam akan lemah, itu tidak betul.
Islam dan Melayu sama ada BN atau Pakatan Rakyat tetap menjadi faktor yang sama. Jadi terpulang kepada kita untuk memastikan Melayu Islam itu terus terjamin dalam konteks yang lebih prinsipal daripada emosi dan sentimen.

Apabila Kelab Penyokong PAS sudah menjadi sayap parti, bagaimana dengan isu keahlian bukan Islam.

Menjadi sayap parti tidak semestinya mensyaratkan keahlian penuh. Ia masih menjadi ahli kepada sayapnya sahaja dan di waktu yang sama terikat dengan strategi parti secara menyeluruh. Isu jika ditubuhkan sayap dan untuk menukar syarat keahlian, tidak menjadi isu.
Mereka boleh menjadi ahli kelab penyokong PAS. Dan apa yang berubah ialah dari segi struktur sahaja. Penyertaan kelab berada pada sayap parti. Dan tidak timbul isu kena ubah keahlian. Jika Kelab Penyokong PAS menjadi sayap parti, isu keahlian bukan Islam bukan menjadi satu keperluan dan kemestian.


Akhir sekali, apakah pesanan Dr kepada ahli-ahli Kelab Penyokong PAS dan sokongan daripada ahli PAS kepada mereka?

Apabila Kelab Penyokong PAS telah 'transform' kepada sayap parti, ahli kelab itu sendiri menunjukkan kesungguhan mereka. Ahli-ahli PAS harus melihat bagi menjayakan misi ini sebagai keperluan strategi parti dan keperluan Lajnah Perpaduan Nasional lagi.
Ahli PAS harus memastikan kelab yang wujud di bawah mereka ini diberi perhatian dan mendekatkan mereka dengan ideologi parti. Apabila mereka dekat dengan PAS, mereka bukan sahaja menubuhkan kelab tetapi pada masa yang sama mereka mengenali PAS dan ideologi perjuangan PAS.
Memang selama ini mereka menyokong PAS bukan sekadar untuk menubuhkan kelab. Cuma perlu diperkukuhkan lagi. Dan Insya-Allah apabila proses tersebut berjalan lancar dan satu seminar kepada seluruh ahli kelab kepada seluruh Malaysia akan diadakan. Kita akan mengetengahkan PAS ini kepada mereka supaya mereka melihat kesamaan mereka dengan kita sebagai bukti keyakinan mereka terhadap keadilan yang diperjuangkan oleh PAS ini.

Tiada ulasan: