KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, September 20, 2008

Pak Lah belum 'mati akal' dengan asakan Anwar

KETIKA rakyat menunggu Kerajaan 16 September tajaan Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim jadi realiti, tiba-tiba Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim meletak jawatan menteri dan meninggalkan kabinet Abdullah.

Kemarahan dan rasa tidak senangnya terhadap perangkap ISA yang digunakan oleh Abdullah untuk menangkap Raja Petra Kamaruddin dan Teresa Kok serta seorang wartawan dari akhbar Shin Chew Daily, Tan Hoon Cheng kononnya telah mengancam keselamatan negara, tidak dapat dibungkus lagi.

Zaid Ibrahim kental dengan keputusannya meletak jawatan selepas gagal meyakinkan kerajaan untuk melaksanakan pembaharuan dalam sistem undang-undang. Langkah Abdullah memperalatkan ISA untuk menahan tiga individu itu, sangat-sangat tidak boleh diterima oleh mantan Ketua Bahagian Umno Kota Bharu itu.

Barangkali, inilah kali pertama dalam sejarah, ISA ditentang nekad oleh seorang menteri kabinet hingga sanggup melepaskan jawatan menteri kerana tidak bersetuju dengan akta zalim itu.

Sekalipun Tan Hoon sudah dibebaskan namun apa yang tersurat, seolah-olah ISA boleh digunakan sesuka hati mengikut budi bicara menteri atau sesiapa yang memegang kuasa.

Alasan dangkal Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Tan Sri Syed Hamid Albar kononnya untuk 'menyelamatkan' beliau dari ugutan bunuh tidak boleh diterima, untuk ISA digunakan terhadap wartawan tersebut.

Zaid bertegas dengan keputusannya. Berhenti dan meninggalkan kabinet Abdullah yang berpangkalan di Putrajaya.

“Saya tidak letih. Saya hanya kecewa. Keputusan saya kekal. Saya akan letak jawatan,” katanya dalam satu sidang akhbar di pejabatnya di Putrajaya pagi 16 September.

Zaid amat kecewa dan berasa gagal untuk meyakinkan kabinet Abdullah, barangkali Perdana Menteri sendiri untuk melaksanakan perubahan tentang bagaimana kerajaan perlu melangkah ke hadapan.

Beliau yang pernah menyaman Kerajaan Kelantan untuk menghalang perlaksanaan hukum hudud, telah menghantar surat perletakan jawatannya 15 September, sehari selepas beliau membidas kerajaan kerana menahan tiga individu di bawah ISA.

Cadangan Abdullah agar Zaid bercuti selama dua minggu, tidak dihiraukannya.

Barangkali beliau turut kecewa dengan kekalahannya bagi merebut jawatan Ketua Umno Bahagian Kota Bharu, yang dikatakan sarat dengan 'politik wang'.

Zaid agak istimewa di mata Abdullah. Beliau dilantik senator bagi membolehkannya menjawat Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang dipertanggungjawab menjaga hal ehwal undang-undang dalam rombakan kabinet selepas pilihanraya umum Mac lalu.

Banyak pihak yang menyokong perlantikan itu. Dengan harapan Zaid mampu melaksanakan pembaharuan dalam bidang kehakiman, seperti yang diinginkan oleh Abdullah. Namun Zaid ternyata kesal kerana penahanan di bawah ISA itu telah memberi tamparan kepada usaha-usahanya sejak enam bulan lalu untuk memulihkan bidang kehakiman.

Ini ditambah pula dengan pengakuannya banyak pendapat mengenai perkara-perkara tertentu tidak boleh diterima oleh rakan-rakannya dalam kabinet.

Apa yang terjadi, bukan sahaja memalukan tetapi cukup mengaibkan Abdullah ketika buntingan pelbagai isu dalaman BN bakal meletup. Di sisi lain, asakan Anwar menyebabkan Abdullah hilang kawalan dan tapi belum 'mati akal' lagi.

Tiada ulasan: