KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, September 18, 2008

Anwar akan menang mudah di Permatang Pauh

Muqadimmah: Calon KeAdilan pada Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh, Dato' Seri Anwar Ibrahim diyakini menang. Isu-isu dan kelebihan yang ada, benar-benar sarat menyebelahi Ketua Umum KeAdilan itu. Ikuti pandangan Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa.

Sejauhmana Ustaz melihat pilihan raya kecil Permatang Pauh mampu merubah landskap politik negara?

Nasharudin: Dato' Seri Anwar merupakan orang yang lama dalam pentadbiran kerajaan, yang dengan adanya beliau pembangkang akan menjadi bertambah kuat. Namun, semuanya bergantung kepada kalau-kalau sungguh apa yang akan berlaku pada apa yang disebut 16 September itu.
Kalau berlaku apa yang disebut itu, barulah landskap baru akan berubah. Kalau seorang sahaja keluar, seorang masuk tiada nampak perubahan.Jika tidak berlaku, cuma ada Ketua Pembangkang baru yang ada cukup pengalaman dan sudah tentu boleh menggunakan pengalaman itu untuk menjadi pembangkang yang berkesan.
Selepas 16 September, barulah kita boleh membuat andaian. Saya sendiri tidak boleh memastikan sama ada ia benar-benar akan berlaku atau sebaliknya.

Isu liwat dilihat dimainkan begitu dominan bagi membenamkan Anwar. Namun, rakyat dilihat menolak isu berkenaan. Apakah signifikannya?

Tarikh 26 Ogos akan menjadi tarikh penentu. Dari segi isu, kita boleh bangkitkan pelbagai isu. Tapi pada tarikh itu iaitu 26 Ogos, rakyat akan keluar untuk membuat pilihan. Kalau soal mainan isu, berbagai isu dibangkitkan sepanjang kempen.
Masalahnya sekarang ini kepercayaan rakyat kepada media semakin berkurangan. Apa yang disiarkan di dalam media itu banyak yang tidak betul, sengaja diada-adakan dan dimanipulasi. Ini menyebabkan rakyat hilang percaya. Semua maklumat yang didapati dari media diragui. Jadi, bawalah apa isu pun, ia tidak berjaya mengembalikan keyakinan rakyat.

Media digunakan sepenuhnya untuk menabur propaganda jahat dan berusaha memecah-belahkan Pakatan Rakyat. Setakat ini, apakah media arus perdana masih berada di tahap teruk?

Rakyat sudah lama mengetahui tentang peranan media. Sudah lama orang tahu yang media itu tidak pernah seimbang dalam laporannya.

Tangkapan BPR terhadap dua orang Exco Kerajaan Negeri Perak, dikatakan ada kaitan dengan kempen pilihan raya kecil Permatang Pauh?

Perkara itu tidak dapat dipastikan sebab BPR yang bertindak. Harap-harap BPR tidak terlibat dengan politik kepartian. Mengenai dakwaan wujudnya konspirasi, saya tidak dapat pastikan. Waallahu 'alam.

Sekiranya pilihan raya kecil ini menyaksikan kemenangan Anwar, pada pandangan ustaz mampukah lebih ramai ahli-ahli parlimen BN akan menyertai Pakatan Rakyat bagi membolehkan kerajaan baru rakyat didirikan.

Soal mampu dan tidak mampu itu, terserah kepada ahli parlimen BN. Andaian-andaian memang ada, tetapi kita tidak tahu sejauh mana ia boleh berlaku. Penafian sudah dibuat banyak pihak. Andaian itu, sama ada berlaku atau tidak bergantung pada BN sendiri.

Adakah tiada sebarang perbincangan mengenainya (16 September) sesama Pakatan Rakyat, yang jelas menunjukkan isyarat bahawa ia benar-benar boleh berlaku?

Secara 'detail'nya, maklumat mengenainya kita tidak ada. Kita tidak ada perbincangan sesama Pakatan Rakyat mengenainya.

Secara keseluruhannya, bagaimana Ustaz melihat potensi Anwar di Permatang Pauh? Kenapa?

Secara keseluruhannya, Anwar ada potensi untuk menang di sana. Mengapa? Kerana Permatang Pauh sudah lama menjadi kawasan yang dimenangi KeADILan. Tambah pula dengan isu semasa yang kita lihat banyak berpihak kepada KeADILan, jadi tidak mustahil Anwar akan menang.

Tiada ulasan: