KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, September 20, 2008

Suhakam akui GMI tidak keseorangan sanggah ISA

Penahanan tiga individu di bawah akta ISA, baru-baru ini mencatatkan sejarah tersendiri apabila ramai pihak, khususnya di kalangan pimpinan BN sendiri bangkit menentang penggunaan akta itu.

Pesuruhjaya Suhakam, Dato' Dr Denison Jayasooria berkata demikian dalam respons awalnya berkenaan memorandum yang diserahkan Gerak Mansuh ISA (GMI) kepada badan hak asasi itu, di ibu negara, 15 September lalu.

Denison berkata, sebelum ini tentangan hebat mengenai ISA hanya disuarakan NGO dan parti politik pembangkang, serta pertubuhan-pertubuhan hak asasi lain.

"Namun, kali ini banyak pihak di kalangan pemimpin kerajaan sendiri sudah bangkit menentang penggunaan akta ini, yang bagi Suhakam memang tidak wajar digunakan kepada mana-mana pihak," tegas beliau mengulas penahanan pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin, dan Exco Kerajaan Negeri Selangor, Teresa Kok.

Sementara itu, GMI dalam memorandum yang diserahkan menggesa Suhakam segera mengambil langkah tegas menemui Raja Petra dan Teresa di Bukit Aman, bagi memastikan keadaan kedua-duanya baik, khususnya Raja Petra yang melancarkan mogok lapar.

"GMI dimaklumkan isteri beliau, Marina Lee Abdullah, bahawa Raja Petra akan meneruskan mogok laparnya dan perkara ini boleh menyebabkan kesihatan beliau terganggu," tegas Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh yang menyifatkan penahanan itu kerana penulisan Raja Petra yang kritikal terhadap kerajaan, bukannya menghina Islam.

Dalam pada itu, GMI turut melahirkan rasa bimbang dengan keadaan Teresa, khususnya kemungkinan tekanan yang dikenakan terhadapnya seperti tahanan-tahanan lain sebelum ini.

AJK Pusat Sokongan Keluarga GMI, Norlaila Othman, mendakwa seseorang yang ditahan pihak polis biasanya akan dipaksa dan dimalukan dengan pelbagai cara, termasuklah dipaksa membuka pakaian.

"Saya cukup bimbang dengan kemungkinan tersebut, memandangkan beliau adalah wanita. Saya bimbang jika beliau dipaksa berbuat sesuatu seperti berbogel, di hadapan pegawai lelaki," kata beliau, menggesa Suhakam segera campur tangan dengan melawat tahanan di Bukit Aman.

Kebimbangan itu disokong Adun Hulu Kelang, Saari Sungib yang juga bekas tahanan ISA, yang menyatakan kemungkinan tersebut berdasarkan pengalaman beliau dan testimoni tahanan-tahanan ISA sebelum ini.

Tiada ulasan: