KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, September 22, 2008

Gagalkah 16 September? Ia tetap jadi kejayaan Pakatan Rakyat - Tian Chua

Muqqaddimah: Pada 12 September lalu, empat orang wakil KeADILan telah ke Taiwan bagi menemui dan berunding dengan Ahli Parlimen BN yang telah diarahkan 'bercuti' di negara tersebut bermula 8 September lepas. Salah seorang wakil KeADILan yang terbang ke Taiwan menjejaki mereka adalah Ketua Penerangannya, Tien Chua. Apakah maklumat terkini hasil pertemuan empat wakil KeADILan itu. Ikuti temubual bersama Tien Chua yang juga Ahli Parlimen Batu.

Boleh saudara ceritakan apa tujuan empat orang wakil KeADILan ke Taiwan baru-baru ini dan bagaimana boleh timbul cadangan untuk pergi ke sana?

TIAN CHUA: Kami ke Taiwan kerana Kelab Penyokong Barisan Nasional (BN-BBC) ke Taiwan, jadi kita perlu ikut kerana nak pastikan sokongan kita masih ada untuk tukar kerajaan.Tujuannya dua iaitu yang pertama untuk memastikan orang yang mahu ikut masih tetap bersama kita. Kedua kita gunakan untuk beri penerangan kepada masyarakat Taiwan apa yang berlaku di Malaysia. Masyarakat Taiwan memang berminat untuk mengetahui apa yang berlaku di Malaysia memandang mereka menerima sejumlah yang besar rombongan dari BN-BBC.Mereka pun nak juga tahu kenapa begitu ramai ahli politik tiba-tiba datang buat lawatan sambil belajar ke Taiwan.

Adakah tercapai matlamat bila pergi ke sana? Dan apakah dapat ditemui ahli parlimen BN yang berada di sana ketika itu?

Saya tak boleh beritahu tentang itu.

Kumpulan saudara tiba di sana ketika Ahli Parlimen BN sudah bersiap untuk kembali ke tanahair, jadi adakah tercapai sasaran untuk ke Taiwan?

Mereka balik keesokan harinya. Mereka diarahkan meninggalkan Taiwan untuk pergi ke Hong KOng. Kita sampai hari ini, esok mereka pergi ke Hong Kong.

Adakah ketika di Taiwan langsung tidak dapat berhubung dengan mana-mana ahli parlimen BN memandangkan mereka semua ke Hong Kong sehari selepas kumpulan saudara tiba?

Kita dapat berkomunikasi. Kita dapat maklum balas daripada mereka. Sebab kita tinggal di hotel yang sama. Saya tidak dapat menceritakan lebih lanjut kerana seperti yang sudah dijelaskan oleh Anwar Ibrahim, Pakatan Rakyat sudah memperolehi lebih dari 30 orang ahli parlimen BN yang akan menyertai penubuhan kerajaan baru.
Biarpun mereka diarahkan ke Hong Kong sehari selepas kami tiba tetapi saya boleh katakan misi kami berjaya kerana kami masih dapat berkomunikasi dengan mereka dan rakyat Taiwan juga dapat menerima penerangan kami tentang situasi politik di Malaysia.

Apa komen saudara bila Perdana Menteri melabelkan Anwar Ibrahim sebagai ancaman kepada kerajaan?

Bagi pihak pemerintah siapa pun yang menentang itu ancamanlah (ketawa). Saya pun pernah jadi ancaman (ketawa). Jadi ini satu perkara yang kurang bertanggungjawab.

Bila kenyataan begitu dikeluarkan oleh Perdana Menteri, pada hemat saudara, ada kemungkinan atau tidak Anwar Ibrahim akan ditahan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)?

Saya tak nampak begitu. Saya yakin Anwar tidak akan ditangkap di bawah ISA. Kalau mereka tangkap Anwar, ini akan mempercepatkan lagi pertukaran kerajaan.

Pada 17 September lalu, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi telah mengumumkan pertukaran portfolio antara beliau dan Dato' Seri Najib Razak. Pertukaran dari jawatan Menteri Kewangan dan Menteri Pertahanan itu berkuatkuasa serta merta. Apa komen saudara mengenai perkara tersebut?

Ianya merupakan satu drama yang lucu. Saya anggap ini satu lakonan yang agak lucu. Dan Abdullah kata biasanya Perdana Menteri ini kalau nak ada peralihan kuasa kena jadi Menteri Kewangan dulu.
Itu salah dari segi fakta. Tidak ada seorang pun yang memegang jawatan Menteri Kewangan pun yang berjaya jadi Perdana Menteri. Abdullah jadi Menteri Kewangan selepas dia jadi Perdana Menteri. Menteri Kewangan sebelum ini tak ada yang jadi Perdana Menteri kerana mereka ini dipecat atau disingkirkan.

Namun begitu timbul pula spekulasi mengatakan bila Abdullah memegang jawatan Menteri Pertahanan, beliau akan menggunakan kuasa tentera untuk menggagalkan usaha Pakatan Rakyat, bagaimana pendapat saudara mengenai spekulasi ini?

Kita tak boleh tolak ada kemungkinan. Tetapi saya nampak apa yang dia lakukan ini akan mempercepatkan kejatuhan beliau. Sebagai rakyat dan aktivis, saya tak nampak itu ada risiko yang besar, bagi saya kalau pemerintah sekarang mengguna kekerasan atau mana-mana cara yang kejam ianya tidak akan didukung oleh rakyat dan rakyat akan lebih cepat lagi bangkit untuk mengulingkan mereka.

Ada pihak yang mengatakan Pakatan Rakyat telah tersasar dari target sebenar untuk menubuhkan kerajaan pada 16 September lalu?

Kita tak terlepas sasaran. Kita pilih tarikh 16 September sebagai tarikh Hari Malaysia supaya semua rakyat ingat ini adalah tarikh pembentukan Malaysia iaitu pengabungan Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung.
Pada hari itu kita mempunyai cukup ahli parlimen untuk menubuhkan kerajaan baru. Pengistiharan itu menandakan kejayaan kita. Sama seperti pengistiharan Malaysia, ia ditubuhkan pada 16 September. Pada hari itu bukannya semua wakil Inggeris keluar dari Malaysia. Pada hari Malaysia dibentuk bukan institusi kerajaan atau jabatan telah dipegang oleh orang Malaysia tetapi masih banyak yang dipegang oleh Inggeris. Selama setahun atau dua tahun kemudian baru orang kita pegang semua ini.
Jadi dalam kes Pakatan Rakyat, untuk mengambil alih kerajaan kita kena hadapi proses teknikal tetapi pada 16 September lalu kita berjaya mendapat sokongan lebih dari 30 orang ahli parlimen untuk bersama kita. Itu juga satu kejayaan dan itu merupakan satu pengistiharan ke arah pembentukan kerajaan baru.

Media arus perdana mencanangkan bahawa kegagalan menubuhkan kerajaan pada tarikh tersebut telah memberikan kesan negatif kepada Pakatan Rakyat dan Anwar Ibrahim. Apa komen saudara?

Media arus perdana memang tidak pernah bersama kita. Kalau dia kata memberi kesan kepada Pakatan Rakyat atau Anwar, apa kesannya? Yang pasti kesannya kita telah berjaya. Soal ini teknikal boleh kita pinda, bila kita boleh ambil alih kerajaan mengikut perlembagaan. Tidak timbul soal memberi kesan buruk kepada Pakatan Rakyat atau kepada Anwar Ibrahim.

Apa nasihat saudara untuk penyokong Pakatan Rakyat yang ternanti-nantikan penubuhan kerajaan baru ini?

Rakyat perlu bersabar kerana Pakatan Rakyat sudah semakin hampir untuk menubuhkan kerajaan. Kita sekarang sedang menyelesaikan masalah teknikal. Bila perkara ini selesai, kerajaan yang lebih berwibawa akan ditubuhkan. Dan rakyat pastinya tidak akan lagi terbeban seperti yang dilakukan oleh kerajaan yang sedia ada.

Tiada ulasan: