KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, September 18, 2008

Sanglang, kemenangan untuk semua - Hasyim Jasin

Muqqaddimah: Akhirnya, Dun Sanglang yang sudah dimiliki oleh Umno (BN) secara teknikal terpaksa diserahkan melalui proses mahkamah kepada PAS, sebagai pemilik sah dan sebenar terhadap kerusi itu. Ia milik Ustaz Hasyim Jasin, Pesuruhjaya PAS Perlis yang menjadikan kini kerusi PAS dua di negeri itu, selain Simpang Empat.

Tahniah kerana ustaz diisytiharkan sebagai pemenang di DUN Sanglang.

Ustaz Hashim: Pertamanya saya mengucapkan syukur ke hadrat Allah. Kemenangan ini adalah kemenangan untuk semua. Terima kasih saya kepada pihak mahkamah yang telah memulangkan hak kepada pihak yang berhak iaitu PAS yang memenangi kerusi Dun Sanglang.
Terima kasih saya kepada semua pimpinan, ahli-ahli dan penyokong PAS serta para sahabat yang tidak putus-putus menyatakan sokongan dan mendoakan kemenangan dalam petisyen pilihanraya tersebut. Tak lupa juga saya ucapakan terima kasih kepada barisan peguam kita yang diketuai saudara Hanipa Maidin. Mereka telah bertungkus-lumus bekerja sehingga berjaya.

Adakah ustaz sudah menjangkakan kemenangan ini?

Dari awal lagi kita sudah berkeyakinan untuk memenangi petisyen ini kerana kita mempunyai fakta yang kukuh. Walau bagaimanapun, mahkamah pilihanraya di Kangar tempohari tidak pula mengisytiharkan kemenangan kepada PAS walaupun memutuskan kerusi tersebut dikosongkan.

Selepas disiytiharkan menang, apakah langkah seterusnya?

Mahkamah telah memutuskan demikian dan sekarang saya hanya menunggu jemputan dari pihak Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis. DUN Perlis dijangka bersidang bulan November ini.

Ramai yang menantikan keputusan Sanglang ini dan bercakap tentang pilihanraya kecil. Nampaknya tak jadilah ustaz...

Alhamdulillah tak perlu diadakan pilihanraya kecil. Bagaimanapun kita di pihak PAS memang sudahpun bersedia dengan segala kemungkinan. Jadi saya turut berterima kasih kepada jentera PAS yang sudah bersiap sedia dan juga kepada ahli-ahli PAS dari luar yang sudah menyatakan kesediaan mereka untuk ke Perlis sekiranya diadakan pilihanraya kecil.

Sekarang PAS ada dua orang wakil di DUN Perlis. Apa rancangan PAS Perlis selepas ini?

Insya-Allah, saya dan Rus'sele (Adun Simpang Empat) akan berganding dan memainkan peranan yang lebih baik dan efektif dalam DUN Perlis untuk memastikan segala permasalahan rakyat di negeri dapat di bawa ke atas.
Saya merasakan kali ini dengan kepimpinan kerajaan negeri yang baru kita dapat menjalin kerjasama yang baik sebagai wakil rakyat. Saya melihat kepimpinan baru ini lebih baik dan terbuka berbanding yang lalu.

Dalam politik Perlis, bagaimana Ustaz nampak kesan daripada kemenangan ini?

Petisyen Dun Sanglang ini bukan sahaja diikuti di Perlis, malahan di seluruh negara. Kesannya besar dari aspek politik. Di Perlis sendiri saya nampak dengan pertambahan satu lagi kerusi DUN dan ditambah dengan suasana politik semasa yang berkecamuk termasuk juga Umno Perlis yang berpecah belah, jadi saya optimis PAS dan Pakatan Rakyat dapat bergerak lebih maju di Perlis untuk mendapat sokongan rakyat.

Sambutan orang ramai tentang kemenangan ini macam mana?

Pagi tadi sebelum ke pejabat saya mengunjungi pasar sehari di Simpang Empat. Orang ramai tak putus-putus bertanyakan tentang kes ini. Selepas mendapat berita kemenangan ini, tak putus-putus pula orang ramai menelefon atau menghantar SMS mengucapkan tahniah. Ini terbukti kemenangan kita disambut baik orang ramai dari pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan bukan Islam.

Tiada ulasan: