KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, September 20, 2008

Apa perlu Abdullah terajui Mindef?

Muqadimmah: Pandangan Dato' A Kadir Jasin berhubung isu pertukaran suka sama suka portfolio kabinet antara Pak Lah dan Najib cukup menarik untuk disorot. Najib kini Menteri Kewangan 1 dan Pak Lah pula Menteri Pertahanan.

ANTARA bukti keakraban dua sahabat adalah apabila mereka saling tukar menukar. Tukar menukar kereta. Engkau pakai kereta aku, aku pakai kereta engkau. Tukar menukar pakaian. "Engkau pinjam baju aku, aku pinjam baju engkau."

Di sesetengah tempat dan dalam sesetengah masyarakat dan kumpulan, mereka memanifestasikan keakraban mereka dengan bertukar-tukar isteri atau suami - 'wife/husband swapping'.

Maka begitulah akrabnya perhubungan di antara Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya Mohd Najib Abdul Razak apabila mereka (pada 17 September) saling tukar menukar kementerian.

Abdullah memberikan Kementerian Kewangan kepada Mohd Najib dan Mohd Najib menyerahkan Kementerian Pertahanan kepada Abdullah.

Perdana Menteri berkata ini adalah sebahagian daripada persetujuan peralihan kuasa di antara beliau dengan Mohd Najib.

Boleh jadi saya buta maklumat atau nyanyuk, tetapi tidak pula terbaca atau teringat bahawa tukar-menukar kementerian ini adalah antara syarat peralihan kuasa di antara Abdullah kepada Mohd Najib.

Tetapi tidak apalah. Saya rasa pemindahan Kementerian Kewangan kepada Mohd Najib adalah langkah yang baik di dalam suasana ekonomi negara yang terumbang-ambing dan ekonomi dunia diancam kemelesetan akibat krisis pembankan di Amerika Syarikat sekarang.

Saya sangat berharap Mohd Najib dapat memberi gambaran yang lebih jelas dan meyakinkan kita semua mengenai hala tuju ekonomi dan kewangan negara.

Seperti saya nyatakan terdahulu: "Hatta ahli ekonomi yang terbaik dan ahli perniagaan yang paling bijak pun tidak pasti arah tuju ekonomi negara sekarang".

Saya secara terus terang dan terbuka pernah menulis di dalam kolum Other Thots, majalah Malaysian Business bahawa Abdullah tidak patut memegang jawatan Menteri Kewangan terlalu lama kerana kementerian itu memerlukan penumpuan masa yang rapi dan kewibawaan yang tinggi.

Semua orang tahu bahawa ekonomi dan kewangan bukanlah 'forte' atau kepakaran Abdullah.

Jadi sangat eloklah pada ketika ekonomi negara dan dunia diancam krisis ini jawatan Menteri Kewangan dipindahkan kepada seorang yang lebih tahu.

Saya tidak mahu mempertikaikan pengambilan alih Kementerian Pertahanan oleh Abdullah selain mengatakan bahawa Abdullah mungkin berasa perlu ada sebuah kementerian di bawah jagaannya.Namun sudah pun ada orang yang bertanya apa perlunya Abdullah mengambil alih kementerian tentera.

Abdullah sekali lagi mengulangi yang dia tidak akan berundur sebelum 2010.

Tiada ulasan: