KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, September 20, 2008

Zaid Ibrahim, lawan Pak Lah atau lawan ISA?

Perletakan Jawatan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato' Mohd Zaid Ibrahim telah mencatatkan sejarah dalam senario politik negara sejak 51 tahun kemerdekaannya.

Timbalan Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Mohamad Burok berkata peristiwa seumpama tersebut tidak pernah terjadi dalam sejarah sejak 51 tahun negara mencapai kemerdekaan.

"Ini merupakan kali pertama seorang menteri yang kecewa dengan pelaksanaan dasar dalam negara meletakkan jawatan.

"Ianya tidak pernah terjadi dalam sejarah negara sejak 50 tahun merdeka, seorang menteri yang mohon untuk diberhentikan," katanya ketika dihubungi Harakah.

Jelasnya, umum sebelum ini melihat perkembangan yang berlaku dalam negara apabila Zaid yang secara terang-terangan mengumumkan pandangan beliau yang seringkali bercanggah dengan kerajaan dan badan kehakiman.

"Jadi, menjadi hak Zaid untuk berhenti apabila pandangannya tidak diterima oleh kerajaan kerana beliau sememangnya dilantik untuk membantu melakukan perubahan dalam undang-undang serta badan kehakiman negara," ujarnya.

Mohamad Burok yang juga Penasihat kepada Persatuan Peguam Syarie Malaysia berkata rakyat mengalu-alukan tindakan serta pendirian Zaid yang berprinsip menggambarkan 'dia buat kerja' yang diamanahkan.

"Beliau telah diamanahkan untuk menjalankan kajian terhadap relevansi ISA yang kemudiannya hasil kajian tersebut tidak dapat diteruskan setelah didapati ianya tidak menepati kehendak kerajaan," katanya lagi.

Sementara itu, Naib Presiden PAS, Ustaz Ahmad Awang menegaskan perletakan jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Zaid Ibrahim dan pergolakan dalaman Umno menjelang pemilihan parti itu, memberi kelebihan kepada Pakatan.

Bagi AJK Jawatankuasa Hak Asasi Manusia Majlis Peguam, Edmund Bon pula, tindakan Zaid dianggap menjatuhkan kredibiliti Abdullah serta seluruh kabinet.

"Memandangkan ianya pertama kali dalam sejarah, sekaligus membuktikan menteri kabinet lain menyokong penggunaan ISA itu secara menyeluruh," ujarnya lagi.

Namun katanya, Zaid juga seharusnya turut melepaskan jawatan beliau sebagai senator bagi membuktikan kekecewaan serta rasa protes terhadap kepimpinan negara di bawah teraju Abdullah.

"Walaupun dia dah 'resign' sebagai menteri, tetapi jika beliau masih lagi senator Dewan Negara, menunjukkan beliau masih lagi bertanggungjawab sebagai 'back bencher' (penyokong) kerajaan.

"Ini membuatkan beliau masih kena ikut apa sahaja yang kerajaan buat, tidak cukup sekadar tidak berpuas hati dengan ISA sahaja," katanya lagi.

Ujar Ahmad, kerajaan Umno-BN yang mula diterajui Abdullah pada 2004 lalu kononnya berjanji untuk melakukan perubahan besar dalam negara.

"Kononnya ingin melaksanakan dasar yang lebih terbuka, telus dan bebas, lalu melantik menteri yang menjaga undang-undang dan badan kehakiman.

"Tetapi malangnya, apabila beliau menegur kerajaan dan kabinet ianya tidak dapat diterima.

"Bahkan beliau keseorangan dalam mempertahankan tuntutan serta pandangan yang dianggapnya memberikan kesan positif kepada badan perundangan dan sistem kehakiman, sekaligus memusnahkan agenda reformasi badan tersebut," tambahnya.

Tegasnya ia sekaligus membuktikan pihak kabinet yang menjadi penyebab kepada kerosakan nama baik negara.

"Bukan menteri yang rosakkan, tetapi kabinetlah yang memburukkan nama negara. Mula-mula lantik Zaid untuk buat perubahan tetapi diapun gagal berbuat apa-apa 'reform' pada kabinet," tambahnya lagi.

Tiada ulasan: